PUTRAJAYA : Kerajaan akan menjalankan kajian mendalam berhubung
modul baharu menggunakan teknologi maklumat (IT) bagi menaik taraf dan
meningkatkan kemahiran guru dan bukan membandingkannya dengan cara tradisional
dan konvensional, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata modul
baharu itu boleh membawa kepada kemungkinan yang sangat menarik daripada
menghantar mereka ke institut semasa cuti persekolahan.
"Kita perlu mengenal pasti
beberapa guru cemerlang dalam setiap subjek pada setiap tahun, mendapatkan
mereka bagi membangunkan kandungan dan meletakkannya dalam talian manakala
guru-guru lain menjadi mentor dan fasilitator," katanya pada akhir
mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa MSC Malaysia (IAP) di sini, Selasa.
Najib berkata Timbalan Perdana
Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin
Yassin pada mesyuarat itu bersetuju untuk meneliti perkara itu.
"Ini adalah kelebihan utama
dalam soal bagaimana kita boleh menggunakan dan mengembangkan IT bagi
meningkatkan kualiti pendidikan dan bakat yang kita ada dalam negara,"
katanya.
Najib berkata trend di Amerika
pada masa ini adalah bagi profesor terkemuka untuk mengajar secara online dan
mereka boleh mencapai 100,000 hingga 150,000 pelajar berbanding saiz bilik
darjah tradisional.
Dalam mesyuarat hari ini, beliau
berkata satu spektrum baharu diperlukan dalam pendidikan.
"Kita boleh menyebarkan
spektrum pendidikan bukan sahaja dalam hasil yang asas tetapi membuka lebih
banyak peluang bagi perkongsian dengan sektor swasta untuk menghasilkan lebih
banyak peluang pada masa depan," katanya.
Sementara itu, Najib berkata
kerajaan mengiktiraf mereka yang berpencapaian tinggi atau ikon dalam industri
IT bagi menggalakkan lebih ramai orang menggunakan ICT sebagai satu pendekatan
baharu dalam negara.
Sambil memberikan contoh, beliau
berkata seorang usahawan rumpai laut dari Kunak, Sabah dengan pendapatan RM450
sebulan meraih pendapatan RM20,000 sebulan selepas menggunakan IT bagi
mengintegrasi produk-produknya ke pasaran dunia.
"Itu adalah satu cerita yang
menarik. Apabila kita sebut ICT sebagai pendekatan baharu, ia adalah satu bukti
nyata mengenai apa yang membolehkan wanita itu (petani rumpai laut) meraih
pendapatan begitu banyak dengan menggunakan teknologi IT dan mengintegrasikan
produknya ke pasaran dunia.
"Kita perlu lebih ramai
orang yang sedemikian. Kita perlu mengiktiraf kejayaan mereka agar mereka boleh
menjadi pemangkin dan ikon bagi menggalakkan lebih ramai orang menggunakan IT.
"Kita percaya konsep mengiktiraf
mereka yang berpencapaian tinggi, mereka yang menggunakan IT dengan cara
pendekatan baharu yang signifikan tidak sepatutnya dihadkan kepada usahawan
tetapi juga kepada golongan profesional termasuk guru-guru yang boleh menjadi
ikon kepada guru-guru lain dan pelajar-pelajar," katanya.
Najib menyifatkan mesyuarat IAP
hari ini sebagai sangat produktif kerana banyak kemungkinan baru yang menarik
dibincangkan.-BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan