Sabtu, 4 April 2009

STRATEGI PENULISAN RUMUSAN SPM

Strategi 1 : Menganalisis soalan
a) Baca arahan soalan dengan teliti.
b) Kenal pasti dan garisi dua frasa dalam arahan soalan yang menjadi fokus pertama dan fokus kedua.

Strategi 2: Membaca petikan
a) Baca petikan yang diberi dengan teliti
b) Fahami isu keseluruhan yang ingin disampaikan.

Strategi 3: Menulis Pendahuluan – Bagaimana menulisnya?
a) Patuhi fokus pertama arahan soalan (terletak selepas perkataan ‘tentang’)
b) Tukarkan kata kunci dengan kata seerti dan mulakan ayat dengan Petikan membincangkan…
c) Tulis pendahuluan rumusan dalam satu ayat sahaja.

Contoh:

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor pencemaran alam sekitar di negara kita dan langkah-langkah mengatasinya.Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Analisis soalan:

Fokus 1 : Faktor-faktor pencemaran alam sekitar di Malaysia.
Fokus 2 : Langkah-langkah mengatasi pencemaran alam sekitar
.
Contoh Pendahuluan:

Petikan membincangkan punca-punca terjadinya pencemaran alam sekitar di Malaysia.

Starategi 4: Menulis Isi Tersurat
Patuhi fokus pertama dalam arahan soalan.
Tulis 6-8 isi tersurat.
Mulakan ayat pertama dengan frasa pertama dalam arahan soalan
.
Kaedah Mengesan/mengenal pasti isi tersurat
Cari dan kenal pasti ayat yang menjawab fokus pertama.
Garisi ayat tersebut.
Tulis semula ayat dalam satu perenggan.

PERINGATAN:

=Maksimum isi untuk fokus 1 ialah 6 isi. Oleh itu anda tidak perlu memasukkan kesemua isi kerana jumlah perkataan yang agak terhad.
-Adalah dicadangkan jumlah perkataan untuk fokus 1 ialah 60 – 65 patah perkataan.
-Anda perlu menulis kata tugas untuk Fokus 1 dalam ayat pertama perenggan isi tersurat.

PANDUAN MENGENAL PASTI PERKATAAN / RANGKAI KATA DALAM AYAT YANG MERUJUK ARAHAN SOALAN

CONTOH

Arahan Soalan: Kesan
Kata/rangkai kata yang mungkin digunakan;
-menyebabkan…, kebaikan/keburukan, implikasi…, kesan…, impak…, akibatnya dll
.
Arahan Soalan: Faktor
Antara rangkai kata yang mungkin digunakan;
…disebabkan oleh,punca / berpunca…, …akibat daripada…, didorong oleh…, kerana…

ISI TERSIRAT

-Isi tersirat dibina berdasarkan Fokus 2 soalan. Isi ini tidak terdapat dalam petikan yang diberikan. Contoh dalam Petikan 1 Fokus 2 ialah: langkah-langkah mengatasi pencemaran alam sekitar.

-Isi tersirat dibina melalui tafsiran dan analisis yang mendalam berdasarkan isi tersurat dan Fokus 2 dalam arahan soalan.

-Binalah perenggan isi tersirat dengan memasukkan sekurang-kurangnya 2 isi tersirat.

-Kata tugas untuk Fokus 2 perlu dimasukkan dalam ayat pertama perenggan isi tersirat.

Strategi Menulis Isi Tersirat

1. Jika Fokus Soalan ‘Langkah’. Pelajar boleh fikir
a)Apakah tindakan ibu bapa
b)Apakah tindakan sekolah
c)Apakah tindakan kerajaan.

2. Jika Fokus Soalan ‘Faktor’.Pelajar boleh fikir
a)Apakah faktor persekitaran
b)Apakah faktor ibu bapa
c)Apakah faktor media massa

3. Jika Fokus Soalan ‘Kesan’.Pelajar boleh fikir
a) Apakah kesan pada diri sendiri/ibu bapa
b) Apakah kesan pada masyarakat
c) Apakah kesan pada negara.

KESIMPULAN / PENUTUP RUMUSAN

Wajib ada dua unsur penting iaitu CADANGAN dan HARAPAN

Kesimpulannya, semua pihak perlu_____________(cadangan)___________________ supaya/agar
________________(harapan)______________________________
.
Contoh A:
Kesimpulannya, semua pihak perlu berusaha mengatasi masalah pencemaran alam sekitar supaya/agar masyarakat dapat hidup selesa.
Contoh B:
Kesimpulannya, semua pihak perlu memupuk minat membaca supaya/agar dapat melahirkan warganegara yang berilmu.

Jumaat, 3 April 2009

Perutusan Datuk Seri Najib Razak



Berikut adalah sedutan ucapan YAB Datuk Seri Najib Razak sempena penerimaan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia Keenam. Sama-samalah kita menghayati inti pati ucapan beliau.

Bismillahirrahmanirrahim

Bagi pihak seluruh Rakyat Malaysia, pertama sekali saya merakamkan rasa penghargaan dan ucapkan terima kasih kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi atas sumbangan khidmat cemerlang sepanjang 31 tahun kepada negara. Begitulah juga komitmen Tun dalam pengukuhan demokrasi dan institusi penting dalam negara, serta teladan kepemimpinan yang cukup berhikmah.

Secara peribadi, saya amat berterima kasih atas keyakinan Tun Abdullah menamakan saya sebagai penggantinya. Saya juga merakamkan ucapan junjungan kasih setinggi-tingginya atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong melantik saya sebagai Perdana Menteri dalam istiadat mengangkat sumpah jawatan pagi tadi.
Dengan penuh rasa tawaduk dan kerendahan hati, saya menerima amanah tanggungjawab ini untuk berkhidmat kepada Rakyat dan Negara.

Sesungguhnya seawal usia yang masih muda, dan sepanjang hidup dewasa, telah saya abdikan berkhidmat untuk rakyat. Semua ini lahir, hasil dari inspirasi dan dorongan serta suri teladan Allahyarham Ayahanda saya. Memang saya tersentuh dan terpanggil untuk meneruskan agenda besar kerajaan untuk membasmi kemiskinan, menstrukturkan semula masyarakat Malaysia, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua, serta meniupkan semangat sebuah generasi baru untuk menumpah khidmat kepada Malaysia.

Justeru itulah, sepanjang khidmat awam saya, pentingnya aspek keberhasilan sentiasa ditekankan. Sama ada melalui kemudahan yang lebih selesa bagi para pendidik, meningkatkan kualiti hidup para perwira tanah air, mahupun dalam memperkasakan ekonomi bagi memelihara kesejahteraan rakyat di saat kita menghadapi cabaran ekonomi global.

Dalam waktu terdekat ini, saya akan bertukar-tukar pendapat dengan pelbagai lapisan pemimpin masyarakat dari seluruh negara dalam menentukan keutamaan kerajaan.
Dalam hal ini, saya amat menyedari bahawa kita perlu mengambil manfaat dari kejayaan kini dan beriktibar pula dengan pengajaran masa lalu.

Pada asasnya, kepimpinan yang bakal diwujudkan wajar membawa pendekatan baru, bagi menempa sebuah zaman baru, demi menjelmakan sebuah kerajaan yang mengutamakan prestasi berpaksikan keutamaan rakyat.

Rakyat diutamakan akan merentasi seluruh lapisan masyarakat dan kumpulan etnik di setiap pelosok tanah air. Tidak ada sesiapa yang patut merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada wacana nasional. Kita akan rapatkan hubungan Rakyat dan Kerajaan dari dikelirukan dan diperdaya oleh permainan muslihat politik.

Dalam hal ini, potensi golongan anak muda akan kita bangunkan setinggi-tingginya. Kita percaya merekalah generasi pewaris,. bakal pendidik, doktor, peguam, akauntan, saintis, jurutera, tokoh perniagaan, cerdik pandai dan saf pemimpin masa depan.

Maka dengan itu, pada hari yang bersejarah ini saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengumumkan bahawa pihak kerajaan akan menarik balik larangan penerbitan sementara bagi dua surat khabar serta membebaskan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkuat kuasa serta-merta. Proses kajian semula terhadap Akta ISA akan juga dimulakan.

Saya sedar sudah tepat masanya kita mengambil langkah-langkah demikian untuk mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap pihak yang berwajib atas soal keselamatan negara serta mengembalikan keutamaan kita untuk menangani ancaman-ancaman yang dianggap berbahaya dan munasabah. Kementerian Dalam Negeri akan memberikan butir-butir selanjutnya selepas ini.

Atas segalanya, saya menyedari bahawa sekarang adalah masa yang cukup mencabar bagi setiap warga. Saya komited memastikan kepimpinan terus berdiri teguh bagi menghadapi krisis ekonomi yang kini melanda seluruh dunia termasuk di negara kita. Saya akan tetap berpegang kepada iltizam untuk memenuhi keperluan, kepentingan dan aspirasi setiap warga Malaysia.

Dengan ini, saya mengajak seluruh warga untuk sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat Negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan.

Saya panjatkan doa ke hadrat Ilahi supaya terus dikurniakan kekuatan, kemudahan serta hikmah dalam menjalankan amanah besar ini.

Dengan izin Allah jua, marilah kita memulakan langkah perjalanan hebat ini - bersama-sama. – Bernama.

Catatan penulis : Dengan penuh rasa hormat; penulis selaku guru yang mengajarkan bahasa Melayu di sekolah, mewakili pendokong bahasa kebangsaan, berharap semoga blog Datuk Seri di http://1malaysia.com.my/ disediakan juga dalam bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu (Malaysia) untuk dilayari oleh semua golongan. Hal ini adalah untuk melibatkan semua lapisan rakyat memandangkan Datuk Seri telah memberitakan kepada kami, rakyat; bahawa aktiviti Datuk Seri akan dikemaskinikan menerusi blog ini. Segala perhatian Datuk Seri kami alu-alukan dan didahului dengan jutaan terima kasih. Sekian dan selamat menjalankan tugas.

Rabu, 1 April 2009

MENYELAMI MAKSUD YANG TERSIRAT (Siri 3)

BIDUK LALU KIAMBANG BERTAUT



Kali ini kita cuba menyelami maksud peribahasa biduk lalu, kiambang bertaut. Peribahasa ini bermaksud permusuhan atau perselisihan pendapat yang berlaku antara mereka yang mempunyai pertalian persahabatan atau persaudaraan biasanya seketika. Apabila masalah antara mereka dapat diselesaikan, permusuhan turut dihapuskan dan rasa persaudaraan pun kembali pulih .

Biduk adalah sejenis perahu yang sering digunakan di sungai. Kiambang pula adalah sejenis tumbuhan yang hidup di permukaan air, biasanya dalam kolam atau tasik yang agak banyak jumlahnya. Akarnya tidak jejak ke lumpur. Hal ini menyebabkan kiambang akan terkuak atau terpecah ke kiri atau ke kanan apabila dilalui oleh biduk. Oleh sebab sifatnya yang sedemikian juga memudahkan kiambang bertaut semula sebaik-baik sahaja biduk berlalu.

Yang penting di sini, sebagai insan yang tidak mungkin dapat lari daripada kesilapan , maka sifat berlapang dada dan berbaik sangka sesama kita perlu menjadi pegangan kerana sifat ini dapat membantu kita menyelesaikan sebarang masalah yang berlaku dalam jalinan hubungan persahabatan atau persaudaraan. Selain itu, apabila bermusuhan dengan seseorang jangan dianggap ia sebagai musuh selama-lamanya kerana tidak ada sesiapa yang mengetahui mungkin pada suatu hari nanti persahabatan akan akrab kembali.

PENULISAN KARANGAN STPM

1. Sukatan pelajaran bahasa Melayu STPM menyatakan bahawa pelajar perlu menulis karangan yang panjangnya antara 650 hingga 700 patah perkataan.

2. Empat tajuk dikemukakan dan anda perlu memilih satu daripada empat tajuk.

3. Sukatan pelajaran memperuntukkan 50 markah untuk karangan.

4. Terdapat empat jenis karangan berformat, iaitu:

i. Rencana
ii. Laporan
iii. Ceramah/syarahan/ucapan/pidato
iv. Memorandum

5. Karangan boleh dibahagikan kepada yang berformat atau tidak berformat. Sama ada berformat atau tidak, karangan masih mempunyai struktur tertentu. Rumus yang paling umum untuk mencirikan karangan ialah, mempunyai pendahuluan, tubuh dan penutup. Setiap bahagian itu mempunyai perenggan untuk menyatakan tiap-tiap unit pemikiran.

6. Apakah yang perlu anda kuasai untuk menghasilkan sebuah karya yang baik? Sebagai permulaan, anda perlu faham konsep wacana, laras dan retorik dengan baik, serta mempunyai asas tatabahasa yang mantap.

7. Sepertimana yang dijelaskan dalam (5), perenggan ialah "satu kumpulan gagasan (idea) yang didasari oleh satu gagasan utama (idea utama). perenggan merupakan satu unit fikiran yang lengkap."

Ayat-ayat yang mengandungi idea utama dikenali sebagai ayat topik atau ayat judul. Ayat-ayat lain dalam sebuah perenggan dikenali sebagai ayat sokongan. Ayat-ayat ini berfungsi menghuraikan, menyokong dan memperteguh idea utama dalam ayat topik.

Ayat topik ayat yang menyatakan idea utama atau gagasan utama secara penyataan pendapat atau penyataan niat.

Ayat-ayat sokongan ayat-ayat yang menghuraikan, menyokong, atau memperjelas idea utama dalam ayat untuk menjelaskan sesuatu. contoh, statistik, atau petikan daripada sumber tertentu.

8. Struktur Karangan 1-6-1

Sebagai sebuah wacana, karangan terdiri daripada tiga bahagian iaitu pendahuluan tubuh karangan, dan penutup. Berasaskan panjang karangan yang dikehendaki oleh sukatan pelajaran, iaitu antara 650 hingga 700 patah perkataan, karangan anda sesuai menggunakan struktur 1-6-1, iaitu satu perenggan untuk pendahuluan, enam perenggan untuk tubuh karangan, dan satu perenggan penutup.

9. Teknik yang berkesan untuk menulis karangan di peringkat tingkatan enam ialah menggunakan pendekatan penulisan akhbar, iaitu prinsip piramid terbalik, atau piramid songsang.

10 Perenggan pendahuluan mempunyai fungsi tarikan yang penting, yang akan menentukan sama ada pembaca berminat untuk meneruskan pembacaan atau tidak.

11. Perenggan pendahuluan mesti menggambarkan tajuk karangan yang diberikan untuk anda buat dan merupakan gagasan idea yang menjadi inti kepada keseluruhan tubuh karangan anda.

12. Perenggan penutup berbeza dengan perenggan lain kerana berfungsi menyimpulkan buah fikiran dalam satu atau dua perenggan sahaja.

13. Keutuhan karangan merujuk kepada kebulatan dan kesepaduan karangan yang dicirikan oleh sifat-sifat kohesi dan koheren. Kohesi merujuk kepada idea atau isi karangan yang dijalin dengan rapi. Koheren merujuk kepada kesinambungan ayat-ayat atau perenggan-perenggan yang membawa idea-idea yang dipersembahkan.

14. Beberapa ciri berikut perlu diketahui oleh pelajar dalam proses memantapkan karangan:

i. Diksi - pemilihan kata yang sesuai dengan tajuk serta laras karangan. teknik penggunaan medan kata adalah penting. daripada medan kata itu, anda boleh pula mencatatkan perkataan yang bersinonim, berantonim dan sebagainya.

ii. Tatabahasa dan ejaan - berhati-hati dengan tatabahasa kerana banyak markah akan ditolak jika berlaku banyak kesalahan tatabahasa. Tunjukkan kematangan anda berbahasa dengan menggunakan tatabahasa yang betul. sebagai contoh, bezakan dari dengan daripada, ialah dengan adalah, dan sebagainya

Selasa, 31 Mac 2009

DOA BUAT AYAHANDA DAN BONDA TERCINTA



Ya Allah,
Rendahkanlah suaraku bagi mereka,
Perindahkanlah ucapanku di depan mereka.
Lunakkanlah watakku terhadap mereka dan
Lembutkanlah hatiku untuk mereka.

Ya Allah,
Berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya
Atas didikan mereka padaku dan
Pahala yang besar
Atas kesayangan yang mereka limpahkan padaku,
Peliharalah mereka
Sebagaimana mereka memeliharaku.

Ya Allah,
Apa saja gangguan yang telah mereka rasakan,
atau kesusahan yang mereka derita keranaku,
atau hilangnya sesuatu hak mereka karena perbuatanku,
jadikanlah itu semua
Penyebab gugurnya dosa-dosa mereka,
Meninggikan kedudukan mereka, dan
Bertambah pahala kebaikan mereka dengan
perkenan-Mu, ya Allah
sebab hanya Engkaulah
yang berhak membalas kejahatan dengan kebaikan
berlipat ganda.

Ya Allah,
Apabila maghfirah-Mu telah mencapai diri mereka sebelumku,
Izinkanlah mereka memberi syafa'at untukku.
Tetapi jika magfirah-Mu lebih dahulu mencapai diriku,
Maka izinkahlah aku memberi syafa'at untuk mereka,
sehingga kami semua berkumpul
Bersama dengan santunan-Mu
di tempat kediaman yang dindungi kemuliaan-Mu,
ampunan-Mu serta rahmat-Mu.
Sesungguhnya Engkaulah
yang memiliki kurnia Maha Agung,
serta anugerah yang tak berakhir dan
Engkaulah yang Maha Pengasih di antara semua pengasih

(Doa syahdu ini dipetik daripada KEBUN HIKMAH)

Isnin, 30 Mac 2009

MENYELAMI MAKSUD YANG TERSIRAT (Siri 2)




BULAT AIR KERANA PEMBETUNG BULAT MANUSIA KERANA MUAFAKAT

Dalam siri kedua ini, marilah kita sama-sama cuba menyelami maksud yang tersirat di sebalik peribahasa bulat air kerana pembetung bulat manusia kerana muafakat. Peribahasa ini bermaksud keputusan sebulat suara akan dicapai dengan adanya persepakatan atau muafakat.

Dalam Kamus Dewan, pembetung merujuk “alat untuk membetung (menyalurkan air)”

Di kampung, khususnya di kawasan sawah tempat padi ditanam, air didapati dari sungai atau anak sungai yang disalurkan melalui tali air. Dari tali air inilah pembetung dipasang. Pembetung yang berbentuk selinder itu, biasanya dibuat dari buluh atau kini digantikan dengan besi paip.

Orang tua-tua dahulu memerhatikan keadaan air yang berubah menjadi bulat apabila melalui pembetung yang mengalirkan air dari tali air ke dalam sawah. Bekalan air yang cukup yang disalurkan menerusi pembetung di sawah telah membesarkan dan menyuburkan padi yang ditanam. Dalam hal ini, air yang pada awalnya berselerak dan mengalir tanpa kawalan telah menjadi bulat dan dapat dialirkan menurut kemahuan kita apabila melalui pembetung.

Keadaan yang sedemikian dapat dibandingkan dengan kepentingan amalan pemuafakatan dalam menjalani kehidupan bermasyarakat. Peribahasa muafakat membawa berkat membuktikan bahawa seandainya amalan ini disuburkan dalam komuniti setempat, apa-apa juga perancangan yang dibuat pasti akan dapat dijayakan. Secara tidak langsung, kesejahteraan hidup masyarakat juga akan terhasil dan dapat dipertahankan. Oleh itu, semangat peribahasa ini sewajarnya menjadi amalan dalam kehidupan seharian.

Ahad, 29 Mac 2009

Dua Kematian Yang Mengejutkan...

Maksud Firman Allah S.W.T:

“dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.”
(Al A’raf : 34)

Demikianlah firman Allah S.W.T dalam Al- Quran tentang kematian. Hakikatnya setiap yang hidup pasti akan menghadapi kematian. Cuma tidak dapat dipastikan bilakah kita akan berhadapan dengannya. Yang penting sebagai insan yang beriman, kita bertanggungjawab untuk mempersiapkan diri kita bagi menghadapinya.

Pada hari Selasa 24 Mac yang lalu, sewaktu penulis berada di Temerloh, untuk menjalankan tanggungjawab yang ditetapkan oleh JPNP, penulis mendapat perkhabaran yang menyedihkan tentang kematian yang menimpa suami Cikgu Salmi salah seorang guru di SMKTPPTM. Khabarnya, mayat arwah ditemui di sebatang sungai tempat arwah pergi memancing, selepas dilaporkan tidak pulang beberapa hari.

Tidak sampai seminggu selepas itu, satu lagi peristiwa kematian berlaku. Kali ini melibatkan rakan guru BM yang berdedikasi, iaitu Cikgu Mohamad Loai Md Lor. Arwah menghembuskan nafas yang terakhir di Hospital Tengku Ampuan Hajah Afzan, pada malam tadi. Sepanjang hayatnya, beliau yang penulis kenali, amat aktif dalam aktiviti kebahasaan di peringkat Daerah Pekan. Kegigihan beliau untuk menuntut ilmu amat ketara apabila beliau yang sebelum itu mengajar di sekolah rendah akhirnya berjaya melanjutkan pengajiannya ke universiti walaupun dalam usia yang semakin meningkat. Setelah itu, beliau mengajar di beberapa buah sekolah menengah di daerah Pekan termasuk di SMK Paloh Hinai dan SMK Ahmad.

Takziah penulis ucapkan kepada keluarga yang ditinggalkan. Marilah sama-sama kita berdoa semoga roh kedua-dua mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh. Amin!