Jumaat, 20 April 2012

ISU KENEGARAAN : Ruang demokrasi yang matang


Oleh Mohd. Ayop Abd. Razid

KETIKA menyampaikan ucapan sempena menyambut Hari Malaysia 2011, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dan pemansuhan Akta Buang Negeri.

Pada 5 Oktober pula, Perdana Menteri semasa membentangkan cadangan pemansuhan Akta Kediaman Terhad di Dewan Rakyat mengumumkan pembebasan serta merta kesemua 125 orang tahanan Perintah Kediaman Terhad dan pembatalan lebih daripada 200 waran yang belum disampaikan di bawah akta terbabit.

Kesemua pengumuman itu menjadi detik bersejarah bagi politik Malaysia kerana ia membuka lembaran baru ke arah pengamalan demokrasi yang lebih matang dan terbuka.

Najib melihat akta-akta terbabit tidak lagi relevan dengan prinsip demokrasi dan keadilan dalam arus politik masa ini. Walaupun pengumuman itu mengejutkan banyak pihak terutamanya ahli-ahli dan aktivis badan-badan bukan kerajaan (NGO), namun mereka menyambutnya dengan positif dan menyifatkannya sebagai satu keberanian politik yang dilakukan oleh Najib.

Selama ini parti-parti politik pembangkang menganggap ISA dan beberapa akta lain sebagai tidak bertamadun dan tidak berperikemanusiaan. Ia dijadikan modal politik untuk mengkritik dan menghentam kerajaan. Malah, pada 1988 Tun Abdullah Ahmad Badawi turut mengkritik ISA yang didakwanya disalahgunakan untuk melakukan tahanan politik ke atas orang lain.

Pada Oktober 2008, sebanyak 65 buah NGO bergabung bagi menentang ISA yang dikenali sebagai Gerakan Mansuhkan ISA (GMI). Namun, langkah kerajaan memansuhkan ISA bukan atas tekanan itu tetapi didorong oleh semangat transformasi yang sedang dilaksanakan Najib.

Pemansuhan ISA tidak bermakna negara tidak lagi memerlukan undang-undang khusus untuk melindungi keselamatan dan kedaulatan negara. Negara masih memerlukan undang-undang baru yang berfungsi melindungi keselamatan negara dari ancaman bentuk baru yang melanda dunia hari ini iaitu ancaman ekstremis dan pengganas.

Amerika Syarikat (AS) sendiri yang pernah menggesa kerajaan memansuhkan ISA telah menggubal dua akta yang hampir serupa dengan ISA. Kedua-dua akta terbabit yang digubal selepas berlakunya peristiwa 11 September 2001 ialah 2001 USA Patriot Act dan Anti- Terrorism Act of 2001 yang membolehkan pihak berkuasa AS menahan dan memenjarakan mana-mana orang yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengganas tanpa melalui perbicaraan mahkamah.

Dalam trend keganasan global hari ini, negara pada bila-bila masa boleh diancam oleh pengganas sama ada yang datang dari dalam mahupun dari luar. Justeru, satu bentuk undang-undang yang dapat mencegah dan membendung kejahatan kemanusiaan seperti ini amat diperlukan.

Untuk itu, kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 di Dewan Rakyat pada Isnin lalu dan ia diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 17 April lalu tanpa sebarang pindaan. Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2012 yang akan melengkapi Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Dalam menggubal Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, kerajaan turut mengkaji beberapa akta keselamatan di beberapa negara seperti Akta Pencegahan Pengganas di Britain dan Akta Patriot di AS. Kedua-dua negara berkenaan meluluskan akta berkenaan selepas serangan pengganas di New York dan Washington DC pada 11 September 2001.

Akta baru itu membabitkan peruntukan untuk menangani ancaman pengganas, sabotaj, pengintipan dan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen. Seperti yang diungkap Najib bahawa Penguatkuasaan Akta Kesalahan Keselamatan 2012 itu nanti akan mengekang kegiatan seseorang atau kumpulan yang mahu mengguling atau melemahkan demokrasi berparlimen dengan cara ganas dan tidak berlandaskan Perlembagaan.

Ia turut mengambil kira keseimbangan antara hak asasi manusia dengan kepentingan keselamatan negara. Justeru, terdapat beberapa perbezaan antara ISA dan akta baru ini. ISA memberikan kuasa untuk menahan mana-mana individu yang dikehendaki selama 60 hari tanpa perbicaraan. Selepas 60 hari, Menteri Dalam Negeri boleh meluluskan untuk menahan orang yang ditahan itu selama tempoh dua tahun tanpa merujuk mahkamah.

Sebaliknya di bawah akta baru itu, polis akan diberikan tempoh selama 29 hari sahaja untuk menahan seorang suspek bagi tujuan siasatan. Selepas tempoh tersebut berakhir, suspek mesti didakwa atau dibebaskan. Individu yang ditahan di bawah undang-undang baru berhubung anti keganasan pula boleh mencabar penahanan mereka di mahkamah. Ini berbeza daripada peruntukan ISA, di mana habeas corpus tertakluk kepada tujuan penahanan.

Mengikut akta baru itu, tahanan berkenaan boleh memfailkan writ habeas corpus ke atas sebab dan tujuan penahanan mereka. Jelaslah kepada kita bahawa di bawah penguatkuasaan akta baru itu nanti, kuasa untuk membuat semakan kehakiman ke atas sebab penahanan itu dikembalikan semula ke mahkamah. Selain itu, akta baru berkenaan turut menyatakan secara khusus tiada siapa akan ditahan kerana fahaman politik masing-masing.

Langkah pembaharuan perundangan bukan sahaja menyentuh soal pemansuhan ISA, malah turut melibatkan penyemakan dan pembaikan beberapa akta lain. Misalnya, kerajaan telah pun membentangkan di Dewan Rakyat untuk Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974.

Tahun lalu, kerajaan telah pun menggubal Akta Perhimpunan Aman 2011. Selain itu, kesediaan kerajaan untuk mengkaji semula Akta Hasutan dilihat akan memberi kesan positif terhadap hak asasi manusia.

Kerajaan juga telah membatalkan tiga proklamasi darurat yang masih berkuat kuasa dan semua ordinan di bawah perisytiharan itu mansuh pada bulan Jun depan. Tiga perisytiharan darurat terbabit itu ialah perisytiharan darurat ekoran daripada rusuhan kaum 13 Mei yang diisytiharkan pada 15 Mei 1969, pengisytiharan darurat bagi menyelesaikan pertikaian politik yang berlaku di Sarawak (14 September 1966 ) dan Kelantan pada 8 November 1977.

Tiga lagi ordinan yang berkaitan dengan RELA, Rukun Tetangga dan Undang-undang Laut Wilayah turut dibentangkan sebagai rang undang-undang baru di Dewan Rakyat.

Selain pemansuhan dan penyemakan beberapa akta, kerajaan juga telah berusaha membaiki sistem pilihan raya di negara ini. Untuk itu, kerajaan telah membentuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.

Jawatankuasa itu dianggotai oleh wakil- wakil dari parti pemerintah tetapi juga wakil- wakil dari parti pembangkang. Kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengkaji semua 22 syor PSC bagi tujuan menambah baik perjalanan sistem pilihan raya di negara ini. SPR juga sedang berusaha untuk membersihkan senarai daftar pemilih dan bersedia untuk melaksanakan penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Hakikatnya, kerajaan di bawah kepemimpinan Najib menyedari bahawa rakyat pada hari lebih bijak dan lebih berpengetahuan. Mereka melihat demokrasi dalam konteks yang luas dan universal merentasi sudut pandang politik kepartian. Mereka mahu hak-hak rakyat dan hak asasi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara ditegakkan sepenuhnya.

Namun, rakyat juga perlu faham bahawa setiap kebebasan itu perlu berasaskan kepada konsep 'hak berserta tanggungjawab' (rights with responsibility). Malah, dalam Artikel 29 (2) Piagam Sejagat mengenai hak asasi manusia ada menggariskan bahawa setiap orang hendaklah dikenakan had yang ditentukan oleh undang-undang bagi tujuan menegakkan dan mengiktiraf hak dan kebebasan orang lain. Ini bermakna hak kolektif (collective or community rights) tidak harus diketepikan.

Kesimpulan, kesediaan kerajaan di bawah kepemimpinan Najib melaksanakan transformasi politik adalah sejajar dengan perkembangan terkini di mana rakyat sudah bersedia untuk memasuki era politik baru. Rakyat mahukan kerajaan mendaulatkan hak-hak asasi seperti yang dijamin dan dilindungi perlembagaan.

Kini, kerajaan telah pun menunjukkan iltizam seperti yang pernah disebut Najib bahawa apa yang dilakukan kerajaan hari ini adalah bertepatan dengan pengertian demokrasi iaitu "pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat".

PENULIS ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Sekat lambakan gajet seludup demi keselamatan pengguna


PENDEDAHAN Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai lambakan peralatan telekomunikasi, terutama telefon bimbit seludup atau 'underwater' yang tidak memenuhi piawaian keselamatan teknikal antarabangsa di negara ini tidak boleh dipandang ringan. Pendedahan itu sepatutnya membuka mata, sekali gus menyedarkan masyarakat serta penguat kuasa agar melakukan tindakan segera bagi menyekat gejala tidak sihat itu. Umum mengetahui telefon bimbit atau gajet komunikasi canggih lain seperti komputer riba dan komputer tablet kini sudah menjadi keperluan dalam kehidupan seharian. Ia bukan lagi lambang kemewahan pengguna. Boleh dikatakan setiap isi rumah di negara ini memiliki lebih daripada satu alat atau gajet komunikasi kerana harganya yang berpatutan dan mampu dimiliki, termasuk pelajar sekolah dan penuntut universiti. Disebabkan permintaannya yang tinggi itu, kedai menjual gajet komunikasi canggih kini tumbuh seperti cendawan terutama di pusat beli-belah di bandar utama seluruh negara. Kewujudan kedai menjual gajet dan aksesori komunikasi ini menjadi satu fenomena kerana ia menjanjikan pulangan tinggi. Keadaan itu memungkinkan alat yang dijual itu diseludup masuk ke negara ini termasuk yang tidak memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan dengan tujuan mengaut keuntungan berlipat ganda. Peralatan yang tidak memenuhi piawaian antarabangsa boleh menimbulkan risiko bahaya kepada pengguna seperti meletup atau terbakar ketika digunakan.

Kita pernah dikejutkan dengan kejadian seorang pelajar kolej nyaris rentung apabila telefon bimbit yang sedang dicas meletup lalu terbakar dalam kejadian di rumahnya di Kampung Bendang Perang, Jabi, Alor Setar pada 21 Februari 2007. Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, Norhazwani Johari pelajar Kolej Polytech MARA Kuala Lumpur, melecur empat jari dan telapak tangan kanannya. Setahun sebelum itu, pada 28 Januari 2004, bekas penyanyi Kumpulan Olan, Mohamed Radzuan Yasin melecur di pinggang selepas telefon bimbitnya yang sedang dicas tiba-tiba meletup di rumahnya di Kampung Beting, Kuala Pilah. Kedua-dua kejadian ini seharusnya menimbulkan kesedaran di kalangan pengguna untuk mengelak mengguna peralatan komunikasi yang diragui keselamatannya, sama ada yang diseludup atau dijual di bawah paras harga semasa. Sudah sampai masa kita sebagai pengguna, bukan saja perlu bijak dalam membeli gajet telekomunikasi ini, tetapi juga perlu teliti dalam soal keselamatan dan piawaian bagi mengelak kemalangan atau sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Dalam hal ini, kementerian dan agensi berkaitan perlu meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan hanya gajet telekomunikasi memenuhi piawaian keselamatan saja dibawa masuk ke negara ini sebagai langkah melindungi rakyat. Adalah sukar bagi rakyat biasa untuk mengenal pasti mana satu gajet telekomunikasi tulen yang selamat digunakan atau sebaliknya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 19 April 2012

ISU ALAM SEKITAR : Bencana angkara kerakusan manusia


Elak laksanakan pembangunan yang boleh jejaskan keseimbangan ekologi

Ketika ini kita sering dikejutkan dengan peristiwa bencana alam seperti gempa bumi, tsunami, banjir besar, tanah runtuh, jerebu, ribut, kemarau dan lain-lain lagi. Peristiwa sebegini sebenarnya peringatan daripada Allah SWT kepada makhluknya agar bermuhasabah terhadap diri masing-masing.

Dalam al-Quran, Allah SWT menceritakan banyak tamadun umat manusia dimusnahkan Allah SWT melalui bencana alam, antaranya kaum Nabi Nuh dimusnahkan dengan banjir, kaum Nabi Luth dengan gempa bumi dan kaum Aad pula dilanda ribut taufan tujuh hari, tujuh malam.

Jelasnya, bencana alam yang memusnahkan kaum itu adalah kerana hukuman Allah SWT atas kekufuran dan kemungkaran mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 40 bermaksud: “Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara menggemparkan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.”

Peringatan ayat Allah SWT ini menjadi pengajaran bagi kita bahawa kekufuran dan perbuatan maksiat akan menjadi penyebab datangnya kemurkaan Allah SWT.

Setiap bencana yang menimpa manusia mempunyai tiga pengajaran berbeza.

Pertama: Bagi mereka yang terselamat daripada bencana, maka bencana yang menimpa orang lain menjadi peringatan bentuk kasih sayang Allah agar mereka kembali pada jalan-Nya.

Kedua: Bagi orang yang tidak beriman, maka bencana yang menimpa adalah azab dan seksa dari Allah di alam ini yang disebabkan kekufuran dan derhaka terhadap perintah Allah dan rasul-Nya.

Ketiga: Dengan bencana juga, Allah SWT menunjukkan kepada manusia antara orang yang benar keimanannya dan mana yang tidak beriman.

Perlu difahami bahawa bencana alam boleh berlaku disebabkan kesilapan dan kerakusan manusia kerana mengejar kemewahan dunia. Akibatnya sistem ekologi dan keseimbangan alam semesta tergugat.

Insafilah peringatan Allah dalam surah ar-Rum ayat 41 bermaksud: “Telah berlaku pelbagai kerosakan dan bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

Ayat ini menyatakan bencana alam di muka bumi ini ada kaitannya dengan perilaku manusia yang tidak berhemah dan menghargai alam semesta. Tindakan manusia yang mengganggu dan memusnahkan keseimbangan ekologi adalah satu tindakan membawa manusia ke arah kemusnahan.

Kerakusan manusia mengganggu dan memusnahkan keseimbangan ekologi adalah satu tindakan yang akan membawa manusia ke arah kemusnahan.

Malangnya berdasarkan kepada pemerhatian, ada sesetengah pihak melihatnya sebagai satu kebijaksanaan melalui penggunaan teknologi moden dan kreativiti akal manusia sedangkan ia sebenarnya hanya satu kebodohan yang boleh menyumbang kepada bencana dan kemusnahan alam.

Ini kerana hubung kait antara manusia dengan alam sangat rapat sekali kerana ia saling perlu memerlukan.

Menyedari bencana alam sebagai hak mutlak Allah SWT yang tidak diduga, maka kesedaran mengenai peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam mengurus serta mengurangkan kesan bencana alam perlu dilakukan.

Di negara kita, Jabatan Alam Sekitar (JAS) adalah agensi kerajaan bertanggungjawab terhadap pemuliharaan alam sekitar. Fungsi utamanya adalah untuk mencegah, menghapus, mengawal dan membaiki alam sekeliling agar senantiasa terpelihara melalui penguatkuasaan dan program kesedaran serta pendidikan kepada masyarakat. Namun segala usaha itu perlu diperkukuhkan melalui sokongan dan kerjasama padu semua pihak.

Menjadi kewajipan semua pihak memastikan bumi yang kita duduki ini terus selamat. Sebarang rancangan pembangunan dan kegiatan sosio ekonomi masyarakat mestilah tidak merosakkan ekologi alam sekitar.

Elakkan daripada menarah bukit, melakukan pembalakan haram, pembakaran terbuka dan pembuangan sampah tidak terkawal. Berusahalah untuk menghindari diri dan tempat tinggal daripada sebarang bencana dengan menunai segala perintah Allah SWT dan meninggalkan tegahan-Nya.

Justeru, marilah kita bersama bersatu hati di bawah satu lambang perpaduan, menyemai sikap kasih sayang dan bermuafakat untuk kemajuan demi agama, bangsa dan negara.

Mimbar yakin jika semua manusia kembali kepada matlamat kehidupan yang sebenar maka bumi yang kita diami ini akan kembali aman dan tenang serta tiada lagi kegelisahan, ketakutan dan kebimbangan.

Marilah sama-sama kita mengurus bumi Allah SWT ini dengan rasa bertanggungjawab, beramanah, jujur bagi mengelak berlakunya kesan buruk terhadap kehidupan, ekonomi dan sosial negara.

Ingatlah anugerah Allah SWT ini akan menjadi rahmat kepada kita dan dalam masa yang sama juga boleh menjadi bala bencana serta azab. Dengan itu seharusnya umat Islam mengambil manfaat dan menambahkan ketakwaan atas kebesaran kejadian Allah ini. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah dalam surah al-Araf ayat 97-98 bermaksud:

“Patutkah penduduk negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? Atau patutkah penduduk negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka leka bermain-main?”.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Mendisiplinkan hati budi insan


Prof Dr Sidek Baba

Mendisiplinkan hati budi insan dengan landasan fikir dan zikir yang betul memberi kesan langsung terhadap diri manusia. Ia membawa kesan kepada amal seseorang.

Menolak faktor zikir dalam maksud yang luas menjadikan hasil berfikir kosong. Sumber fikir yang baik bakal menyerap ke dalam hati dan proses ini menyebabkan akal budi terbentuk dalam acuan yang baik dan menghadirkan nilai-nilai rohaniah yang baik juga.

Sifat amanah umpamanya terhubung langsung dengan ALLAH SWT supaya maksud amanah itu bukan sahaja dengan manusia dan organisasi tetapi pedoman utamanya ialah sifat ihsan yang tinggi.

Sifat adil pula hanya akan berlaku sekiranya hubungan dengan ALLAH terjadi dan kemampuan meletakkan sesuatu pada tempatnya berlaku supaya tidak terjadi kezaliman. Pertimbangan ALLAH Yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui menjadi saksi yang amat utama.

Sifat telus dan tulus juga terkait dengan ALLAH. Keihsanan dan ketaqwaan yang terbina dalam diri menyebabkan sebarang tindakan terjadi secara ikhlas dan telus.

Pertimbangan kerana ALLAH (ikhas) ini bukan maksud zahirnya ALLAH memerlukan sesuatu daripada manusia. Sebaliknya manusia memerlukan sesuatu daripada ALLAH. Manusia terpedoman melakukan sesuatu dengan ikhlas dan hikmahnya akan kembali kepada manusia juga.

Rasulullah SAW merujuk dalam diri manusia ada seketul daging, baik daging itu baiklah sahsiah manusia. Ia dirujuk sebagai hati. Imam al Ghazali dalam kitab Ihya’nya sering menyebutkan mengenai penyakit hati.

Hati secara fizikalnya adalah gambaran seketul jantung tetapi memiliki rasa dan keupayaan mengimbang. Darinya tercetus nilai-nilai tertentu yang menjadi neraca pertimbangan amal seseorang. Hati sering menjadi rujukan salah-benarnya sesuatu.

Memperkasa hati menerusi pembersihan jiwa menjadikan kedudukan hati sesuatu yang fitrah. Hati yang diserapi akal fikir baik akan serasi dan menjadi landasan kepada setiap amalan. Hati yang baik akan mempedoman amal menjadi baik juga.

Al-Quran memberi pedoman tentang kebaikan hati. Dari situ seseorang akan berlaku jujur, amanah, ikhlas dan adil kerana keihsanan merasakan ALLAH Maha Mengetahui walaupun manusia tidak mengetahui.

Sebab itu manusia perlukan latihan hati supaya ia tidak mati. Hati yang hidup adalah hati yang sentiasa bertaut dengan ALLAH.

Walaupun nilai-nilai yang murni hanya suatu pernyataan ia boleh dilihat dalam amalan. Hati budi insan boleh diketahui daripada amalan. Pecah amanah, tidak tunai janji, zalim dan tidak bercakap benar boleh dilihat pada manusia kerana pertimbangan hati budi tidak terjadi.

Seorang pendakwah atau pemimpin umpamanya harus memiliki hati budi yang tinggi. Sifat kasih sayang dan belas kasihan bagi pendakwah dan rasa ukhuwah yang tinggi bagi pemimpin boleh mengukuhkan status hati budi. Sebaliknya pendakwah yang emosional dan pemimpin memilih sifat kebencian dan dendam, memperlihatkan kerendahan akal budi kerana ia lari dari maksud dai’ dan qiyadah (kepimpinan) itu sendiri.

Pendakwah dan pemimpin harus memiliki jiwa besar dan kebijaksanaan. Pemimpin yang memiliki jalur dakwah harus sabar dengan kerenah manusia atau kelompok. Jangan memilih jalan mudah melepaskan nafsu amarah yang tinggi dengan mengejek orang lain seolah-olah dirinya saja benar dan berwibawa.

Ia menggambarkan sifat angkuh dan putus asa terhadap manusia lain yang memang dilarang oleh agama.

Pendakwah dan pemimpin yang memiliki hati budi bersih sentiasa menghubungkan diri dengan ALLAH, bahawa tugas nubuwwah atau kenabian sentiasa berdepan dengan cabaran. Nabi Nuh dan Nabi Lut umpamanya tidak pernah putus asa untuk mendekati manusia hatta isteri dan anak-anaknya.

Al-Quran dalam Surah al Asr memberi pedoman kepada pendakwah, watawasaubilhaq watawasaubissabr – kebenaran atau haq itu perlu dinyatakan dengan sabar. Terdapat pendakwah kita suka memainkan emosi mengenai sesuatu isu berasaskan kepentingan jemaah atau kelompoknya. Lalu faktor fakta dan data selalunya tidak diambil kira. Ia tidak membantu kefahaman, malah menimbulkan kekeliruan dan konflik.

Pemimpin yang memiliki imej agama perlu memiliki hati budi tinggi, matlamat perjuangannya ialah mengembalikan manusia kepada fitrah. Label-label hodoh yang diberi tidak menggambarkan dia pemimpin berhati budi, tetapi pendekatan begitu bakal hasilkan konflik dan meminggirkan rasa persaudaraan yang tinggi untuk memahami realiti dan situasi.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Pelajar tajaan perlu kembali berkhidmat untuk negara


KUALA LUMPUR: Pelajar cemerlang tajaan kerajaan yang melanjutkan pelajaran di luar negara perlu menyerlahkan potensi diri dan kembali berkhidmat untuk negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata potensi seseorang individu hanya akan dapat diserlahkan apabila mereka diberi peluang.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, dalam mengharungi persekitaran global yang semakin kompetitif dan mencabar tidak mustahil generasi pelajar hari ini akan mencapai kejayaan yang tidak mampu dicapai ketika ini.

"Sehubungan itu, saya ingin berpesan kepada pelajar sekalian selaku generasi muda bahawa masa depan negara kita terletak di bahu anda semua.

"Oleh itu, gunakanlah peluang ini untuk belajar bersungguh-sungguh dan apabila tamat pengajian nanti, curahkanlah khidmat bakti anda kepada negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian surat tawaran Biasiswa Nasional kepada 50 pelajar yang mendapat A+ bagi semua mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 di Institut Tadbiran Awam Negara di sini, hari ini. - BERNAMA

ISU SOSIAL : 2,419 kes seksual, rogol direkodkan sepanjang tahun lalu


Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR, MARZITA ABDULLAH dan KAMIL MASLIH
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 18 April - Sebanyak 2,419 kes jenayah seksual atau rogol terhadap remaja perempuan berusia 16 tahun ke bawah direkodkan dalam statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perangkaan tersebut menunjukkan peningkatan daripada 1,777 kes yang direkodkan pada tahun 2010.

Kata beliau, statistik 2009 untuk jenayah tersebut adalah sebanyak 2,049 kes, 2008 (1,871 kes), 2007 (1,653 kes), 2006 (1,301 kes) dan 2005 (924 kes).

"Jika seseorang remaja perempuan berumur di bawah 16 tahun, sebarang aktiviti seksual dengan atau tanpa kebenaran wanita tersebut adalah diklasifikasikan sebagai perkosaan atau rogol menurut undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) yang bertanyakan jumlah kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak serta sebab-sebab utama ia berlaku pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menurut Hishammuddin, antara faktor utama yang dikenal pasti menjadi punca kes jenayah seksual tersebut adalah mangsa berada sendirian sama ada di dalam atau di luar rumah, diculik serta diugut.

Selain itu, katanya, jenayah tersebut turut berpunca daripada masalah institusi kekeluargaan, kurang pendidikan agama, pengaruh media massa dan media alternatif serta mangsa dan suspek melakukannya secara suka sama suka.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : PTPTN bantu selesai masalah golongan berpendapatan rendah


Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my

ISU Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus menjadi topik perbincangan hangat kebelakangan ini. Topik itu membabitkan 917,054 pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) serta politeknik.

Kemuncaknya, ada segelintir pelajar terus berhimpun dan berkhemah di Dataran Merdeka Kuala Lumpur hingga hari ini, yang mendesak kerajaan menghapuskan PTPTN sekali gus menanggung keseluruhan kos pengajian rakyat.

Malaysia memperuntukkan sejumlah besar peruntukan untuk sektor pendidikan, bermula dengan pendidikan prasekolah, sekolah rendah, menengah hinggalah ke institusi pengajian tinggi (IPT.

Sebahagian kos ditanggung pelajar pada paras subsidi dengan kadar tanggungan sehingga 90 peratus bagi setiap pelajar, bergantung kepada bidang pengkhususan dan tempoh pengajian. Justeru, tidak adil membandingkan Malaysia dengan Jerman dan United Kingdom yang menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat.

Malaysia masih memegang status negara membangun, sedangkan dua negara itu berstatus negara maju. Faktor kepelbagaian kaum juga perlu diberi perhatian kerana Malaysia mempunyai masyarakat majmuk dan terikat dengan kontrak sosial dipersetujui bersama.

Jika kos pengajian peringkat tinggi diberikan percuma, dasar ini gagal membezakan masyarakat pribumi dengan rakan mereka yang lain, pastinya menimbulkan reaksi pelbagai. Bagi merebut peluang mendapatkan tempat di IPTA dengan kos pengajian lebih rendah, pelajar perlu bersaing. Hanya yang cemerlang akademik dan kokurikulum diberi keutamaan.

Begitu juga dengan pemberian biasiswa, konsepnya tetap adil dan saksama. Mereka yang gigih dan cemerlang pastinya mendapat hak. Daripada jumlah keseluruhan pelajar itu 508,256 menuntut di 20 IPTA, IPTS (319,506), manakala politeknik pula 89,929 pelajar.

Warga menara gading seluruh negara kurang daripada sejuta, dan golongan muda ini mempunyai pilihan sama ada untuk meneruskan pengajian tanpa bergantung kepada PTPTN, bagi yang berkemampuan, atau terpaksa akur dengan tuntutan semasa dan terpaksa meminjam. Pilihan di tangan mereka, jika yakin keputusan meminjam itu dapat meneruskan kesinambungan hidup bagi mendapatkan pekerjaan lebih baik berbanding rakan yang hanya setakat tamat sekolah menengah, teruskan perjuangan.

Ini pilihan, bukan paksaan. Jika tidak mahu berhutang, lebih baik tinggalkan kampus dan cari pekerjaan yang menjanjikan pendapatan lumayan. Ramai rakyat Malaysia mampu hidup mewah tanpa segulung ijazah.

Jika peluang pendidikan diberikan percuma bermakna golongan kaya tetap menerima hak, sedangkan mereka berkemampuan menampung kos berkenaan. Perlu diingat, tujuan asal PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan. Perkara ini mungkin tidak diperhalusi segelintir pelajar hingga mereka gagal membuat keputusan tepat dan menjadi mangsa pihak berkepentingan.

Setiausaha Kehormat Kelab Belia Graduan 1Malaysia, Ezaruddin Abdul Rahman, berkata maklum balas pihaknya mendapati, mahasiswa yang berhimpun dikatakan tidak mengetahui secara mendalam mengenai cadangan menghapuskan PTPTN.

Beliau berkata, pelajar terpedaya dengan dakwaan pembangkang jika mereka memerintah, agensi berkenaan akan dihapuskan dan kos pendidikan ditanggung kerajaan. Malah perhimpunan mereka juga katanya, atas ajakan rakan senior selain duduk melepak dan menghabiskan masa tanpa tujuan.

Laporan yuran pengajian setiap semester bagi pelajar prasiswazah sesi pengajian 2011/2012 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), mencatatkan jumlah perlu dibayar pelajar Fakulti Perubatan RM900 manakala pelajar Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat RM600.

Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding kadar yuran sebenar untuk tempoh sama iaitu masing-masing RM17,000 dan RM4,600. Bagi program pengajian perubatan di Universiti Malaya (UM) pula, kadar yuran sepanjang tempoh pengajian lima tahun berjumlah RM20,000.

Pengiraan mendapati jumlah itu berbaloi di dua institusi bertaraf universiti penyelidikan dan kualiti pendidikannya diiktiraf peringkat global. Logiknya wajar bagi pelajar membuat pinjaman untuk mendapatkan perkhidmatan berkenaan. Bagaimanapun, berbincang mengenai keupayaan kerajaan menyediakan kemudahan itu secara percuma, juga wajar. Oleh kerana subsidi kerajaan di IPTA sehingga 90 peratus, tidak menjadi halangan 10 peratus daripada kos itu diserapkan dalam peruntukan pendidikan.

Bagaimanapun, adakah keputusan itu memberi kebaikan kepada semua pihak dalam usaha kerajaan melahirkan generasi muda yang lebih berdaya saing dan bertanggungjawab? Apa saja yang didapati secara percuma, nilainya terus terhakis, manusia sukar menghargai sesuatu diperoleh dengan mudah.

Jumlah bayaran pada kadar 10 peratus itu adalah sebahagian daripada komitmen pelajar untuk terus gigih belajar dan ibu bapa turut berperanan terhadap kebajikan anak masing-masing. Berbanding yuran di IPTS bagi program perubatan, kadarnya jauh lebih tinggi. Jika kos sebenar di IPTA RM17,000 pastinya nilai itu lebih tinggi dan jumlahnya tidak termasuk kos tuisyen dan bayaran tambahan lain.

Di sinilah peranan PTPTN. Bagi mereka yang tidak layak mendapat tempat di IPTA tetapi berpeluang ke IPTS untuk program pengajian sama, masing-masing boleh mendapatkan pembiayaan dan meneruskan hasrat murni itu.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/