Sabtu, 27 Oktober 2012

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Pelaksanaan AES terus dipersoal


Oleh : Rejal Arbee
 
Teliti kaedah penguatkuasaan bagi pastikan pemandu patuhi peraturan

Pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) terus saja menimbulkan pelbagai reaksi yang mempersoalkan pelbagai aspek sistem itu termasuk cara ia dilaksanakan dan bagaimana perkara untuk mengurangkan kemalangan pun perlu diswastakan.

Diakui ia diwujudkan dengan tujuan mengurangkan kemalangan yang semakin meningkat dan meragut banyak nyawa. Dua daripada sebab utama kemalangan yang dikenal pasti ialah tidak mematuhi lampu isyarat dan memandu laju. Oleh itu, kamera untuk mengesan pesalah di bawah sistem itu dipasang di tempat di mana banyak berlaku kemalangan kerana melanggar lampu merah atau memandu dengan laju. Sememangnya hasrat kerajaan adalah baik tetapi niat baik saja tidak memadai sekiranya ia menimbulkan banyak rungutan ramai.

90 negara sudah laksana

Kementerian Pengangkutan berusaha sedaya upaya untuk menghadapi rungutan tetapi perasaan tidak puas hati terus saja timbul walaupun ia dilaksanakan dengan tujuan mendorong pengguna jalan raya lebih bertanggungjawab apabila memandu.

Dikatakan kerajaan telah meneliti sistem itu sejak 2003 lagi dan mendapati lebih 90 negara di seluruh dunia sudah melaksanakannya hingga ada yang mendapati ia berjaya mengurangkan kejadian kemalangan jalan raya sehingga 60 peratus.

Bagaimanapun, kerajaan juga menyatakan bahawa sistem itu diadakan bukan bertujuan menghukum pemandu tetapi ditujukan hanya kepada mereka yang tegar melakukan kesalahan dengan harapan penguatkuasaannya boleh mendorong mereka mengubah corak memandu supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.

Ramai pemandu, baik kenderaan awam, teksi, lori dan bas dan penunggang motosikal tidak menghiraukan pengguna jalan raya lain dan hanya mementingkan diri sendiri saja. Kementerian Pengangkutan menjamin bahawa isyarat mengenai wujudnya kamera diadakan secukupnya untuk memberi amaran awal kepada pemandu mematuhi had laju. Malangnya ia berupa janji saja kerana tanda amaran awal tidak terdapat di semua tempat. Misalnya di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) kira-kira 200 meter selepas persimpangan dari LDP menghala ke Bangi dan Semenyih, papan tanda amaran tidak jelas. Malah tanda had laju di situ juga tidak kelihatan.

Sebagai sebuah lebuh raya tentunya pengguna menganggapkan had lajunya ialah 110km/j tetapi bagi laluan itu hingga ke persimpangan ke Uniten (Universiti Tenaga) ia adalah hanya 90 km/j saja. Ini menimbulkan kesangsian kenapa diwujudkan had laju berbeza untuk lebuh raya dengan tanpa tanda yang jelas lagi kerap?

Kononnya bagi kawasan di mana lebuh raya melintasi sebuah bandar atau perkampungan had lajunya hanya 60km/j saja seperti laluan PLUS di Jitra tetapi bagi SKVE ini ia tidak pula melalui perkampungan atau bandar di situ. Maka timbul persoalan kenapa had laju berbeza, ditambah pula tanda hadnya tidak jelas atau diperbanyakkan. Di sepanjang beberapa kilometer SKVE itu hanya ada satu saja tanda had laju 90 km/j.

Had laju lebuh raya berbeza

Ini memberi gambaran seolah-olah pihak berkuasa sengaja mahu memerangkap pemandu. Tanda had laju sepatutnya diadakan dengan lebih kerap dan terpampang supaya boleh dilihat dengan mudah memandangkan lebuh raya kita mempunyai had laju yang berbeza. Persoalan juga timbul kenapa usaha ini pun diswastakan kerana umum mengetahui penswastaan beberapa projek demikian seperti PLUS dan projek penjanaan elektrik lebih memihak kepada syarikat yang berterusan mengaut keuntungan melampau.

Sebenarnya tidak salah diswastakan asalkan penjawat awam yang diberi amanah melihat butiran perjanjian tidak berat sebelah dan terlalu memihak kepada syarikat hingga mengabaikan hak kerajaan dan orang ramai.

Misalnya syarikat PLUS yang mengendalikan Lebuhraya Utara Selatan hingga kini berterusan mengaut keuntungan yang berlebihan hanya kerana jumlah kenderaan yang menggunakannya bertambah berlipat kali ganda daripada apa yang diunjurkan pada waktu mahu mendapatkan kontrak. Walaupun demikian, ia berterusan diberi kebenaran untuk menaikkan kadar tol setiap tiga tahun. Sekiranya kerajaan tidak mahu benarkan kenaikan, kerajaan terpaksa membayar jumlah lebihan yang syarikat itu sepatutnya boleh raih.

Jadi sudah sampai masa kerajaan melihat kembali perjanjian yang amat berat sebelah ini seperti  juga yang berkuat kuasa untuk beberapa syarikat penjana elektrik (IPP) seperti YTL Power yang meraih keuntungan melampau hanya kerana perjanjian menetapkan syarikat tenaga elektrik mesti menerima semua kuasa elektrik yang dijananya walaupun TNB tidak memerlukannya pada sesuatu masa tertentu. Jadi ia berterusan menjana sehingga hampir 100 peratus daripada kapasitinya.

Elektrik bukanlah barangan yang boleh disimpan. Apa-apa kuasa dijana harus digunakan pada waktu sama kalau tidak, ia terbuang saja tetapi TNB tetap perlu membayar keseluruhan tenaga dijana syarikat.

Perjanjian ini menunjukkan bahawa penjawat awam yang diberi amanah mesti melihat setiap butiran dengan teliti supaya tidak membebankan kerajaan dan orang ramai. Sehingga kini butiran perjanjian itu tidak pernah diumumkan dan berterusan menjadi rahsia. Diharapkan setiap usaha penswastaan tidak harus membebankan kerajaan dan pembayar cukai. Keuntungan yang munasabah sememangnya boleh diterima tetapi yang melampau tidak harus disokong.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Jumaat, 26 Oktober 2012

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : AES Boleh Kurangkan Kematian di Jalan Raya


SHAH ALAM : Pakar sistem pengangkutan pintar yang mengkaji keberkesanan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) berkata, kamera kelajuan boleh mengurangkan kadar kematian di jalan raya pada kadar sekurang-kurangnya 35 peratus.

Pensyarah Jabatan Ukur Sains dan Geomatik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Khoiri Mohd Dimyati yang berpengalaman hampir 30 tahun dalam pengangkutan awam dan sistem penguatkuasaan berkata, penggunaan kamera kelajuan di negara lain membuktikan berjaya mengurangkan kemalangan dengan peningkatan persepsi pemandu bahawa mereka sentiasa diperhatikan.

Beliau berkata, kajian di negara-negara yang menggunakan AES menunjukkan bahawa sistem itu berjaya mengurangkan kemalangan dan kematian yang berkaitan sebanyak 70 peratus.

"Saya percaya AES boleh mengurangkan kematian jalan raya sebanyak 30% hingga 35%. Jika AES boleh berjaya di negara-negara lain, ia juga boleh berjaya di sini," katanya dalam satu temu bual di sini.

Dr Khoiry berkhidmat sebagai penasihat di Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan bagi pelaksanaan AES antara 2008 dan 2011 apabila kementerian mengkaji kaedah mengurangkan jumlah kemalangan dan kematian jalan raya.

Purata kadar kematian jalan raya di Malaysia adalah 17.7 kematian setiap hari.

Dr Khoiri, yang juga penasihat teknikal kepada kerajaan mengenai pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1967 berkata, masalah yang wujud dalam kalangan pemandu Malaysia adalah sikap 'seolah-olah tidak menghargai kehidupan'.

Selain itu Dr Khoiry berkata kekurangan penguatkuasaan juga menyumbang kepada persepsi bahawa pemandu tidak akan ditangkap kerana melanggar undang-undang.

AES mula beroperasi pada 23 September lalu dengan 14 kamera dipasang di Perak, Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur dan lebih banyak kamera akan dipasang di 817 kawasan di seluruh negara tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho berkata lokasi lain akan ditentukan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU SOSIAL : Nilai baik bentuk akhlak pekerja


Oleh : Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail
 
Optimisme, keberanian, adil perlu jadi pegangan

Nilai aspek utama dalam segenap tindak-tanduk manusia. Tanpa nilai baik, sesuatu tindakan yang baik boleh dilihat sebagai tidak baik dan tidak bermanfaat. Contohnya, menyiapkan minit mesyuarat, laporan atau sesuatu projek yang dipertanggungjawabkan adalah suatu usaha baik tetapi jika dihasilkan tanpa nilai ketelitian, ketelusan, kesahihan fakta dan penjimatan kos, kerja itu walaupun siap tidak diterima secara baik sebagai yang berkualiti.

Justeru, setiap tindakan dalam Islam amat menekankan aspek nilai baik seperti  terkandung dalam pengertian akhlak yang sangat luas.

Sabda Rasulullah apabila ditanya apa itu agama, Baginda menjawab dengan ringkas tetapi padat bahawa agama itu akhlak yang baik. Maksudnya, keseluruhan mengenai Islam boleh difahami dan terserlah dengan paparan amalan yang berakhlak.

Magnet kejayaan

Akhlak adalah ‘magnet kejayaan’. Banyak sekali dalil al-Quran dan hadis yang menunjukkan mereka yang berakhlak pasti berjaya. Besi beraninya pula tersangat kuat sehingga impak sebagai amal salih kekal di akhirat kelak.

Sabda Rasulullah SAW: “Peniaga yang jujur dan amanah berada bersama nabi, orang yang jujur dan syuhada.” (Riwayat al-Tirmizi)

Berakhlak dalam segenap amalan menatijahkan kejayaan yang boleh dan tidak boleh dijangkakan. Firman Allah SWT: “Tidak ada seorangpun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan sebagai balasan bagi amal soleh yang sudah dikerjakan oleh mereka.” (Surah al-Sajdah, ayat 17)

Pengurusan nilai

Dalam pembangunan organisasi, pengurusan nilai semakin ditekankan. Pandangan Tan Sri Ahmad Sarji dalam buku bertajuk  Sekadar Berpendapat  menggariskan tiga nilai dalam tindakan operasi iaitu optimisme, keberanian dan adil.

Nilai optimisme dalam bekerja membolehkan seseorang mempunyai pelbagai pilihan bertindak dan bekerja tanpa rasa kaku atau buntu. Usaha dan panduan untuk menerapkan nilai ini dalam organisasi kita boleh dibuat melalui beberapa kaedah pendekatan yang disarankan.

Dunia hari ini juga menyedari hakikat bekerja dan mengurus berasaskan nilai ini. Malah kejayaan operasi syarikat konglomerat dunia seperti kajian dalam buku What Really Works - The performance secrets of the world’s most successful companies oleh William Joyce, Nitin Nohria dan Bruce Roberson menunjukkan kejayaan bersandarkan kekuatan nilai didukung dalam tindakan dan strategi.

Bahkan ia juga penentu kepada pengukuhan budaya kecemerlangan itu. Ertinya, untuk kekal berjaya juga mesti mempraktikkan tindakan yang berakhlak. Selain sebagai pengukuh kejayaan, akhlak juga adalah benteng kegagalan.

Firman Allah SWT: “Ketika Tuhanmu memberitahu, jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahkan nikmat yang ada padamu, tetapi jika kamu kufur, sesungguhnya seksaan-Ku amat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Personaliti pekerja

Justeru, mari kita kenal pasti nilai utama yang mendokong kerja seharian kita. Jika ditanyakan apakah tiga nilai utama bagi tindakan kerja anda, barangkali dapat kita fikirkan apakah yang sudah kita jadikan amalan dan rasa gembiralah dengannya serta pertingkatkan lagi.

Pegangan nilai akan membentuk akhlak atau personaliti pekerja. Personaliti yang baik adalah suatu keajaiban bagi pekerja kerana ia potensi yang membuka banyak ruang dan peluang untuk berjaya.

Abu Hurairah, sahabat Rasulullah yang terkenal daripada kalangan Ahli Suffah, walaupun miskin tetapi mempunyai nilai kekayaan personaliti antaranya beliau amat tekun mendampingi Rasulullah dan dalam tempoh lima tahun bersama, beliau menghafal sabda Baginda.

Justeru, marilah kita terus memupuk kerja berasaskan nilai kerana kemuliaan diri di sisi Allah SWT terletak kepada usaha dan nilai baik dalam mengusahakannya walaupun kecil.

Firman Allah SWT: “Tentulah Kami tidak mensia-siakan pahala orang yang mengerjakan amalannya dengan baik.” (Surah al-Kahfi, ayat 30)

Penulis Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Pekerja amanah, jiwa tenang


Perspektif IKIM

Presiden Kesatuan Pekerja - Pekerja dalam Sektor Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman dilaporkan merungut kerana kira-kira 15 hingga 18,000 daripada kalangan penjawat awam malas bekerja.

Walaupun bilangannya kecil berbanding 1.2 juta penjawat awam, namun ia akan menimbulkan ketidakcekapan dalam sektor awam. Beliau turut menyarankan tindakan boleh diambil majikan termasuk menghantar mereka menghadiri kursus motivasi, diberi amaran atau diminta bersara awal. Sebenarnya, sifat malas, pecah amanah, rasuah, tiada integriti, memilih kerja, ponteng, mencuri tulang, hilang waktu pejabat, buat kerja sambilan waktu pejabat adalah cerminan kepada kejahilan.

Ramai masih belum faham kerja itu adalah ibadah, maka kenapa perlu dirosakkan ibadah kita dengan perkara yang tidak dibenarkan sehingga menjadikan ibadah tidak diterima Allah SWT. Kita tidak bercakap atau makan ketika solat kerana ia membatalkan solat.

Tetapi kita sewenangwenangnya membuat perkara membatalkan status kerja sebagai ibadah apabila melakukan perkara menyalahi peraturan ditetapkan majikan.

Ramai yang keluar masuk pejabat sesuka hati sedangkan peraturan tidak membenarkannya melainkan dengan kebenaran majikan. Majikan mungkin tidak tahu semua pergerakan kakitangannya, tetapi Allah tahu.

Itu belum bercakap soal mengambil harta benda pejabat dari sekecilkecil pen, pensil kepada yang lebih besar, mengguna kenderaan pejabat untuk urusan peribadi, dan semuanya itu menjadikan kehidupan kita hilang keberkatannya.

Jangan pelik jika anak kita keras hati dari petunjuk dan hidayah, menjadi mat rempit, penagih dadah, anak derhaka, bebal dan degil. Ini kerana kesilapan kita memberi keluarga makan daripada rezeki yang haram atau syubhah.

Muhasabah diri dan nilai apakah kita termasuk dalam golongan mereka yang mencari-cari kenapa hidupnya tidak tenang, selepas satu demi satu musibah melanda. Mungkin ini disebabkan perbuatan tidak amanah dalam pekerjaan kita seharian.

Apabila kita menerima jawatan dan bersetuju dengan terma dinyatakan, kita berikrar akan mematuhi segala peraturan ditetapkan. Itu adalah akad perjanjian kita dengan majikan yang Allah menjadi saksinya sama ada kita sedar atau tidak.

Perjanjian perlu dipatuhi dan pelanggarannya oleh manamana pihak adalah khianat. Terlalu banyak ayat al-Quran dan hadis memerintahkan berpegang kepada janji dan perjanjian.

Mematuhi perjanjian itu terpakai selama mana kita bekerja dan menerima gaji daripada majikan.

Allah memerintahkan kita melaksanakan perjanjian dalam firmanNya: “Wahai orang yang beriman, penuhilah akad (perjanjian).” (Surah alMai’dah, ayat 1).

Oleh itu, menjadi kewajipan kepada kita di sisi syarak mematuhi semua perjanjian termasuk peraturannya, pekelilingnya dan arahan majikan dari masa ke semasa selama mana tidak memerintah maksiat kepada Allah.

Jika kita merasa tidak senang dengan peraturannya, maka kita bebas meletak jawatan dan mencari pekerjaan lain, tiada siapa yang boleh halang. Ada manusia yang tidak suka dikongkong oleh peraturan, maka orang begini silalah bekerja sendiri dan menjadi majikan sendiri.

Setiap perjanjian dengan majikan atau orang perseorangan akan disoal kembali di sisi Allah SWT. Jangan ingat kita boleh terlepas daripada hukuman hanya kerana di dunia dulu majikan tidak sedar atau tidak tahu aktiviti khianat kita terhadap pekerjaan.

Sumber : http : //www.bharian.com/

Khamis, 25 Oktober 2012

ISU EKONOMI : Malaysia tempat ketiga negara peneraju dunia



Malaysia berada di kedudukan ketiga dalam kalangan negara Future Fifteen yang bakal mentransformasikan landskap ekonomi, politik dan budaya global pada tahun mendatang.

Dalam edisi kelapan Indeks Jenama Negara Tahunan (CBI), FutureBrand, perunding jenama global itu berkata, Future Fifteen mengiktiraf Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai pelopor dalam kalangan jenama negara peneraju masa depan, diikuti Chile. Laporan itu menyatakan kecenderungan UAE dalam memanfaatkan sumber aslinya yang banyak dan mengamalkan dasar serta pelaburan kerajaan dengan cemerlang antara petunjuk terkuat kejayaan masa depannya.

Walaupun dengan momentum positif di rantau ini, CBI turut maklum halangan yang akan dihadapi UAE, termasuk cabaran ketara berhubung pengagihan kekayaan yang adil dan saksama, kata FutureBrand dalam satu kenyataan, semalam.

Negara lain yang termasuk dalam segmen Future Fifteen ialah Qatar, Estonia, China, Iceland, Mexico dan Brazil.

FutureBrand juga mendedahkan kedudukan tahunan kali kelapan jenama negara peneraju dunia dengan Switzerland berada pada tempat pertama dalam CBI 2012-2013 diikuti Kanada, Jepun, Sweden dan New Zealand.

Laporan itu juga mengenal pasti beberapa perkara teras yang memacu perubahan dalam kedudukan jenama negara 2012/2013 termasuk penurunan jenama ikonik Amerika Syarikat.

Di tengah-tengah persoalan mengenai dasar asing dan hutang negara sebanyak AS$14 trilion yang mengejutkan, jenama AS dibiarkan untuk berdepan peluang terbesar dan halangan semasa pilihan raya.

FutureBrand juga mengiktiraf kuasa terpendam yang ada pada Portugal, Itali, Ireland, Greece dan Sepanyol.

Ia berkata, walaupun kelima-lima negara itu berdepan krisis hutang, ketidakseimbangan makroekonomi, pasaran buruh yang tegar dan peningkatan langkah penjimatan, Itali, Sepanyol dan Ireland masih kekal mantap dalam kalangan lima jenama dunia terunggul.

Hanya Greece dan Portugal menunjukkan trend menurun dalam CBI kerana kedua-duanya berdepan krisis ekonomi dengan Greece cuba mengelak kegagalan pembayaran hutang, manakala Portugal menghadapi penurunan kepada status junk oleh Standard & Poor.

Di sebalik sumber semula jadi yang terhad dan bilangan penduduk hanya lima juta, FutureBrand berkata, Singapura telah berkembang menjadi jenama yang sangat kompetitif melalui pengurusan persepsi yang berjaya.

Suatu ketika dulu, ia terkenal dengan polisi autoritarian, kini negara ini telah menempatkan semula dirinya sebagai pintu masuk ke Asia bagi komuniti perniagaan antarabangsa, kata FutureBrand..BERNAMA

ISU SOSIAL : Melahirkan generasi bebas hutang suatu perjuangan


Oleh : Amidi Abdul Manan
 
Cabaran yang dihadapi oleh lepasan pendidikan tertiari semakin mencabar hari ini. Mereka memerlukan pelbagai kemahiran bagi mendepani kerencaman keperluan pasaran pekerjaan. Tidak cukup dengan segulung ijazah atau diploma mereka perlu terus belajar bagi memastikan diri sentiasa kompeten dengan cabaran semasa.

Isu pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dibangkitkan tidak lama dulu masih segar di ingatan kita. Selain sikap yang liat untuk membayar semula pinjaman, kekangan kewangan yang dirasai semakin mencekik dan menyesakkan dada juga harus diakui. Peningkatan kos hidup terutama di bandar merupakan realiti yang benar-benar berlaku. Rungutan mengenai harga rumah yang semakin tinggi merupakan petanda bahawa lepasan Institut Pendidikan Tinggi (IPT) kita semakin hilang keupayaan membeli. Harga rumah yang mencecah jutaan ringgit hari ini seolah-olah memberi makna mereka hanya layak untuk tinggal di pinggir bandar atau dengan kata lain mereka kini ‘dihalau’ keluar dari bandar dengan cara terhormat.

Jika mereka ingin juga tinggal di bandar maka mereka hanya layak untuk tinggal di rumah yang sempit dengan kemudahan yang amat minimum sekali.

Kini trend berhutang untuk berkahwin sudah menjadi lumrah kehidupan generasi muda hari ini. Trend ini sudah semestinya terkait rapat dengan peningkatan kos majlis perkahwinan ditambah dengan hantaran yang semakin tinggi.

Ancaman integriti

Situasi sebegini jika dibiarkan menular semahunya akan menjadi barah yang mampu membunuh pembentukan generasi yang beridealisme tinggi. Dengan tekanan hidup yang sebegini maka lahirlah generasi muda yang penakut kerana hidup mereka dikuasai oleh hutang.

Kita telah didedahkan dengan peningkatan peratusan kelompok eksekutif muda yang tergolong dalam golongan muflis kerana terjerat dengan kemudahan kad kredit dan pinjaman peribadi. Ini merupakan ancaman kepada integriti golongan muda yang akan mewarisi kepimpinan negara ini.

Inilah juga antara punca berleluasanya gejala rasuah. Apabila kehidupan semakin terhimpit dan terdesak maka pertimbangan kita akan menjadi semakin serabut dan bercelaru.

Situasi ini juga menjadi ancaman kepada keutuhan rumah tangga. Rutin ibu bapa yang semakin sibuk mencari wang untuk menampung kos sara hidup menyebabkan anak-anak semakin terbiar dan berlakulah gejala sosial yang semakin menakutkan.

Masyarakat bebas hutang

Bilakah ‘putaran maut’ ini dapat kita putuskan? Melahirkan masyarakat bebas hutang adalah satu perjuangan memerdekakan kemanusiaan itu sendiri. Rasulullah SAW juga menganjurkan satu doa yang masyhur yang meminta perlindungan daripada Allah SWT daripada bebanan hutang dan ‘wa qahri rijal’ yang bermaksud dari dikuasai oleh lelaki atau orang lain, yang dalam konteks ini adalah orang yang memberi hutang. Inilah maksud pembebasan atau kemerdekaan diri yang mesti dinikmati oleh semua manusia.

Jika dilihat dari sudut sebuah negara, kemerdekaan dan kedaulatan kerajaan boleh diragut dan dirampas kerana hutang yang tidak mampu dilunaskan. Inilah perkara yang amat kita bimbangkan.

Langkah sebuah syarikat pengeluar kereta yang membenarkan pelajar tahun akhir IPT untuk memiliki kereta adalah amat dikesalkan. Ia umpama menambahkan lagi satu jerat atau meningkatkan lagi jerutan di leher bakal graduan. Kita yakin langkah ini semata-mata didorong oleh saingan untuk menguasai pasaran kereta domestik menerusi pembukaan segmen baru pelanggan. Pelajar perlu mencari wang bagi membayar hutang kereta sedangkan mereka masih lagi belum mempunyai pekerjaan.

Kita tidak mahu persaingan perniagaan membunuh dan melemahkan generasi terpelajar kita ke kancah hutang yang memeritkan. Cuba bayangkan jika syarikat kereta lain juga turut sama bersaing mendapatkan pelanggan baru dengan memberi tawaran yang kompetitif bagi menakluki poket mahasiswa yang masih kosong dan akhirnya semakin bertambahlah golongan ‘eksekutif muflis’ di negara kita.

Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU AGAMA : Nilai korban yang sempurna


Oleh : MOHD ALI MUHAMAD DON

JUTAAN tetamu Allah SWT, termasuk jemaah haji dari tanah air sedang bersiap sedia untuk melaksanakan kemuncak ibadah haji iaitu wuquf di Padang Arafah bermula daripada gelincir matahari hari ke-9 Zulhijah hingga terbit fajar hari ke-10 Zulhijah.

Kegagalan untuk berada di kawasan Arafah bagi jemaah haji yang mukallaf akan memberi impak kepada kesahan ibadah haji yang dilakukan sekali gus gagal meraih peluang beribadat, berdoa dan bermunajat di tempat suci yang sangat mustajab doa itu.


Sementara itu di tanah air, umat Islam turut tidak melepaskan kesempatan istimewa untuk berkorban wang ringgit, masa dan tenaga dengan menyembelih ternakan sebagai menghayati falsafah agung pengorbanan Nabi Ibrahim as. yang menyembelih anaknya Nabi Ismail as. semata-mata mentaati perintah Allah SWT.

Di sana sini kelihatan pelbagai ternakan seperti unta, lembu, kerbau dan kambing yang terikat dan bersedia untuk dikorbankan setelah selesai solat sunat Hari Raya Aidiladha dan berlanjutan hingga hari ke-13 Zulhijah.

Apa pun yang lebih utama bukanlah banyak atau sedikit ternakan yang dikorbankan. Akan tetapi niat yang suci dan benar-benar ikhlas melakukan ibadah kerana Allah SWT yang bakal diterima sebagai ibadah yang sempurna dan beroleh ganjaran takwa.

Allah SWT berfirman maksudnya "Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada Nya adalah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya" (Surah Al-Hajj: 37).

Hal ini juga bertepatan dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud "Tiadalah Bani Adam, pada hari Nahr, mengamalkan suatu perbuatan yang lebih disenangi oleh Allah Azza Wa Jalla, dibanding amalan menyembelih korban.

Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat kelak dengan tanduknya, kukunya dan bulu-bulunya. Sesungguhnya darah korban akan jatuh dari Allah di suatu tempat, sebelum darah tersebut jatuh ke bumi. Maka kerana itu, baguskanlah oleh mu sekalian jiwa mu dengan berkorban". (Riwayat Ibnu Majah)

Selain itu, beberapa kriteria ternakan dan sunah dalam penyembelihan binatang turut memberi kesan kepada penerimaan ibadah korban yang sempurna. Binatang yang paling afdal untuk dikorbankan adalah unta di kedudukan teratas, diikuti lembu, kerbau dan kambing. Ini dinilai berasaskan jumlah daging yang paling banyak sehingga manfaatnya dirasai oleh sebilangan besar masyarakat setempat.

Sementara itu, dari segi warnanya pula yang paling afdal adalah ternakan yang berwarna putih, diikuti, kuning, kelabu, merah, belang putih dan terakhir hitam. Disyaratkan juga ternakan yang dipilih adalah yang paling gemuk, sempurna daripada sebarang kecacatan dan cukup umur, iaitu bagi lembu dan kerbau hendaklah berumur genap dua tahun.

Individu Muslim yang berniat hendak berkorban juga disunatkan untuk tidak mencukur sebarang rambut dan bulu di badan, termasuk memotong kuku selama 10 hari pertama bulan Zulhijah. Bagi mereka disediakan ganjaran pengampunan dosa dan pembebasan daripada api neraka Allah SWT bagi setiap cukurannya selepas menjalani ibadah korban tersebut.

Selain itu, daging korban yang sudah dilapah dan ditimbang hendaklah diagih-agihkan kepada penduduk setempat. Daging itu kemudiannya boleh dibahagikan kepada tuan punya bahagian korban, golongan fakir miskin dan orang kaya sebagai hadiah. Dalam hal pengagihan daging juga penduduk setempat hendaklah diutamakan berbanding yang tinggal di kawasan yang jauh. Malah ada pendapat yang mengatakan haram memindahkan daging korban ke tempat yang lain kerana di situ ada hak fakir miskin setempat.

Adapun trend melaksanakan ibadah korban di luar negara yang banyak dilakukan hari ini berkemungkinan disebabkan pandangan yang memikirkan ada Muslimin lain yang lebih memerlukan daging korban berbanding masyarakat Islam di Malaysia yang mewah dan selalu makan daging.

Ini ditambah dengan pelbagai promosi oleh pihak tertentu yang turut menawarkan harga murah pada setiap bahagian binatang yang dikorbankan. Dalam hal ini umat Islam diseru berhati-hati supaya tidak ditipu dalam beribadat. Malah yang afdal ternakan yang dipilih adalah yang paling mahal, paling sempurna dan tiada tawar menawar dalam proses membeli binatang korban.

Sebagai menghayati falsafah ibadah korban ini, para Muslimin secara umumnya diseru untuk berkorban mempertahankan akidah dan keyakinan kepada Allah SWT dengan tidak melakukan perbuatan syirik dan khurafat. Amalan nikah batin untuk hajat tertentu sebagai contohnya adalah menyimpang daripada ajaran yang sebenar. Begitu juga berubat dengan pawang dan bomoh yang menggunakan anasir jin dan makhluk halus dikhuatiri akan merosak akidah dan jauh daripada rahmat Allah SWT.


Dalam usaha untuk melaksanakan segala tuntutan perkara fardu dan sunat dalam ibadah setiap individu Muslim diseru bersedia untuk berkorban masa, usaha dan tenaga bagi melakukan yang terbaik. Ibadat solat lima waktu hendaklah sentiasa dipelihara dan diperkemas segala rukun dan syarat-syaratnya hingga diterima dengan sempurna.

Kesibukan tugasan harian sepatutnya tidak menjadi alasan untuk mengorbankan solat lima waktu yang difardukan. Bagi yang belum berkesempatan untuk menunaikan fardu haji mereka diseru pula berkorban dengan bersungguh-sungguh menabung sikit demi sedikit hingga dapat ke Tanah Suci bagi menyelesaikan tuntutan fardu haji, jika tidak sampai bila pun niat yang suci itu tidak akan kesampaian.

Golongan yang seronok dan leka melakukan pelbagai dosa dan maksiat yang saban hari menjadi paparan akhbar tempatan juga diseru bersedia untuk berkorban dan bertaubat daripada terus bergelumang dalam kancah dosa dan maksiat sepanjang masa.

Ambillah kesempatan sempena hari raya korban ini untuk memulakan gaya hidup baharu tanpa perilaku dosa dan songsang supaya dirahmati dan diberi petunjuk oleh Allah SWT.

Rebutlah peluang masa muda sebelum sampai masa tua dan rebutlah peluang beramal semasa hayat dikandung badan agar tidak menyesal di kemudian hari.

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandar raya Johor Bahru

Sumber : http : //www.utusan.com.my/