Isnin, 18 Jun 2012

ISU BAHASA : Melayu tak ada kesedaran?



Oleh Adli Shahar
adli@bharian.com.my

Sikap penutur asli bahasa rasmi negara lemahkan usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan

KEDEGILAN dan rasa kurang yakin bangsa Melayu terhadap kepentingan bahasa kebangsaan di Malaysia yang boleh dijadikan teladan dalam kalangan bukan Melayu negara ini dibangkitkan pada Wacana Bahasa Kebangsaan: Isu-isu Bahasa Kebangsaan.

Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, membangkitkan perkara terbabit dalam usahanya menyedarkan betapa pentingnya kumpulan penutur bahasa Melayu mempunyai kesedaran terbabit.

 “Usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia menjadi semakin sukar apabila ada penutur bahasa Melayu sendiri yang kurang yakin dengan kemampuan bahasa terbabit seperti dapat dilihat pada cadangan mengembalikan sekolah aliran Inggeris.

“Mereka seolah-olah lupa bahawa selama ini menerusi bahasa Melayu kita dapat memperoleh banyak ilmu dan kejayaan dari aspek sosioekonomi yang menyumbang kepada pembangunan negara sehingga ke hari ini,” katanya pada Wacana Bahasa Kebangsaan: Isu-isu Bahasa Kebangsaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.

Prof Teo turut mempertikaikan pandangan pihak tertentu yang mengatakan sekolah aliran Inggeris boleh dilaksanakan di negara ini dengan menjadikan kehadiran sekolah aliran Cina, India dan agama sebagai alasan berhujah.

“Pihak yang meminta diwujudkan semula sekolah aliran Inggeris ini perlu dididik dengan nilai bahasa Melayu supaya mereka sedar setiap rakyat negara ini perlu memainkan peranan bagi memelihara bahasa kebangsaan,” katanya pada wacana yang dikendalikan Pengarah ATMA UKM, Prof Dr Abdul Latif Samian.

Kurangnya kesedaran mengenai kepentingan Bahasa Kebangsaan dalam kalangan masyarakat turut diakui personaliti TV3, Ahmad Fedtri Yahya yang mengemukakan penggunaan bahasa pengguna laman sosial internet di negara ini sebagai hujah.

“Mungkin mereka ingin menulis sesuatu dengan lebih ringkas, namun pada masa sama ia juga seolah-olah mengetepikan penggunaan bahasa dengan betul. Ia adalah perkara yang membimbangkan kerana kebanyakan mereka generasi muda.

“Saya berharap langkah yang diambil untuk menyedarkan kepentingan bahasa kebangsaan di negara ini dapat ditumpukan kepada golongan terbabit kerana tahap penggunaan bahasa mereka perlu diperbaiki,” katanya.

Ahmad Fedtri turut berkongsi pengalamannya yang mengalami kesukaran untuk berinteraksi dengan individu yang kurang fasih berbahasa Melayu ketika mengacarakan rancangan televisyen apalagi jika membabitkan program lintas langsung.

“Saya terpaksa mengikut gaya bahasanya walaupun tidak betul dan rancangan itu ditonton di seluruh negara. Apabila saya cuba bercakap seperti biasa, dia tidak dapat memahaminya. Ini antara masalah kepada pengemudi rancangan ketika ini dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan,” katanya.

Setiausaha 1, Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Borhan Md Zain berkata, ketika ini organisasinya bergerak menerusi satu jawatankuasa untuk memantau dan menasihati penggunaan bahasa kebangsaan di sektor awam serta swasta.

“Tugas jawatankuasa terbabit hanya mengenal pasti dan memberi khidmat nasihat kepada pesalah bahasa kebangsaan yang melakukan kesalahan atau tidak mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan. Namun jawatankuasa kami tidak memiliki sebarang kuasa untuk menghukum,” katanya.

Borhan berharap pihak berkuasa memberi perhatian terhadap penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi yang masih tidak dilaksanakan sepenuhnya termasuk di mahkamah dan perkara terbabit memerlukan penegasan.

“Perkara ini timbul kerana sikap kita sendiri. Adakah kita sayang kepada bahasa kita dan apakah tindakan yang perlu dilakukan jika mahu ia dimartabatkan. Campur tangan pemimpin dan pihak berkuasa boleh mengatasi perkara ini,” tegasnya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan