Oleh MOHD ALI MUHAMAD DON
DI SEBALIK kemeriahan EURO 2012 yang semakin hampir ke
penghujungnya, umat Islam di seru tidak terleka menghayati tarikh mulia 27
Rejab sempena peristiwa Isra' dan Mikraj Baginda Nabi Muhammad SAW. Ini kerana
detik bersejarah perjalanan Nabi Muhamad SAW daripada Mekah ke Baitulmaqdis
kemudian ke petala langit ke tujuh dan bertemu Allah SWT adalah peristiwa agung
yang sangat menakjubkan.
Malah perjalanan tersebut turut diwarnai dengan pelbagai
pengajaran dan peristiwa aneh yang boleh dijadikan iktibar untuk semua
Muslimin.
Ini kerana perjalanan pada waktu malam bermula dari Mekah
melalui ruang udara Madinah, kemudian transit di Palestin sebelum dibawa Buraq
hingga naik melepasi langit ke tujuh bertemu Allah SWT adalah sesuatu yang di
luar jangkauan logik akal manusia.
Perkara ini boleh diperhatikan kepada firman-Nya yang
bermaksud; "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad)
pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin),
yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda
(kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar,
lagi Maha Mengetahui". ( Surah al-Isra':1)
Selain daripada itu, Allah SWT turut menunjukkan bukti-bukti
kebesaran-Nya melalui peristiwa-peristiwa aneh yang menakjubkan. Antaranya
diperlihatkan akan sekelompok manusia yang perut mereka besar seumpama sebuah
rumah yang dipenuhi dengan cacing dan boleh dilihat dari luar perut. Lalu
Malaikat Jibril yang menemaninya sepanjang perjalanan mengatakan itulah balasan
kepada pemakan riba yang diharamkan.
Baginda juga dipertontonkan dengan segolongan manusia yang
menanam tanaman dan menuai hasilnya pada hari yang sama. Dikatakan kepadanya
itu adalah balasan baik bagi orang yang berjihad di jalan Allah SWT. Terdapat
pula gelagat manusia yang dengan sendirinya menghantukkan kepala ke dinding
lalu pecah dan bercantum semula kemudian dihantuknya lagi sehingga pecah dan
bercantum semula sebagai azab Allah SWT terhadap orang yang malas dan
meninggalkan fardu sembahyang.
Oleh itu sempena memperingati peristiwa agung ini umat Islam sewajarnya tidak terlalu leka dan terkesima dengan pelbagai hiburan dan berjenaka
sepanjang masa sehingga lalai melaksanakan ibadah yang difardukan. Sebagai
contohnya kewajipan solat yang difardukan secara langsung kepada Nabi Muhammad
SAW ketika bertemu Allah SWT pada malam Isra' dan Mikraj. Ini berbeza dengan
ibadat lain seperti zakat dan haji yang diwahyukan menerusi perantaraan
Malaikat Jibril.
Hal ini sekali gus menunjukkan betapa solat ibadah paling penting
dan sama sekali tidak patut diabaikan.
Malah ia merupakan ibadat yang pertama sekali akan dipersoalkan semasa di dalam
kubur. Keengganan sesetengah masyarakat Islam untuk melaksanakan solat pada
masa kini dikhuatiri bakal menyumbang kepada gejala sosial dan moral yang
semakin meruncing kerana tiada benteng penampan yang dapat mengawal mereka
daripada melakukan perkara-perkara tersebut.
Selain itu, penglibatan umat Islam dalam transaksi
kewangan dan perbankan yang berteraskan riba juga adalah wajib dihindari. Ini
kerana ia diharamkan sama seperti meminum minuman keras dan memakan babi. Malah
dengan situasi masa kini yang mana di negara kita telah terdapat pelbagai
produk pembiayaan dan kewangan yang patuh syariah, hukum darurat bermuamalah
dengan perbankan konvensional sepatutnya tidak lagi terpakai.
Begitu juga keterlibatan segelintir umat Islam yang kurang
ilmu agama sehingga sanggup memperolok-olokkan produk-produk perbankan Islam
yang bebas riba juga dilihat tidak selari dengan ketentuan syariat. Adalah
lebih molek jika idea-idea yang bernas disalurkan kepada pihak berwajib
sehingga urusan penambahbaikan dapat dilakukan demi manfaat bersama.
Selari dengan itu juga penghayatan terhadap peristiwa Isra'
dan Mikraj perlu diterjemahkan dengan hanya memilih produk pembiayaan dan
pelaburan yang patuh syariah dan bukan memburuk-burukkan sistem Islam sendiri.
Bagi menghayati peristiwa Isra' dan Mikraj ini juga jihad
dalam skop yang lebih luas boleh diterapkan kepada jihad melawan hawa nafsu dan
jihad daripada belenggu kemiskinan. Hal ini kerana hampir setiap hari ada sahaja
berita berkaitan jenayah pembunuhan, penindasan terhadap kanak-kanak dan warga
emas, jenayah rogol, merompak, bersekedudukan dan berzina dibicarakan di sana
sini. Ia seolah-olah seperti lahar dalam
gunung berapi yang sedang menunggu masa untuk meletuskannya keluar dek kerana
kroniknya masalah sosial dan moral yang berlaku.
Justeru umat Islam diseru mengambil iktibar daripada
peritiwa Isra' dan Mikraj yang disambut setiap tahun bukan hanya dengan
menghabiskan cuti berehat bersama keluarga mahupun ke majlis ceramah agama dan
pulang begitu sahaja. Ia perlu dihayati dan diterjemahkan dalam kehidupan
seharian bagi membentuk ummah yang berkualiti dari sudut akidah, syariah dan
akhlak.
Ini kerana peristiwa Isra' dan Mikraj jelas membuktikan
betapa kehebatan dan keagungan Allah SWT sama sekali tidak mampu ditandingi.
Justeru setiap hamba harus tunduk dan taat mengabdikan diri kepada-Nya. Malah
Allah SWT sentiasa memantau setiap gerak-geri manusia dan kemudiannya mampu pula mengenakan
azab dan siksa atas setiap inci kesalahan yang dilakukan semasa di dunia.
Sedarlah juga betapa kehidupan di dunia hanya sementara.
Oleh itu usahlah dihabiskan dengan hanya berseronok dan bersuka ria tanpa
memikirkan apa yang telah dipersiapkan untuk bertemu hari pembalasan.
Lebih daripada itu sambutan hari kebesaran Islam yang silih
berganti diraikan sepanjang tahun ini perlu dihayati dan diterjemahkan dalam
realiti kehidupan seharian agar ia benar-benar mencapai matlamat yang
diharap-harapkan.
PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan