Oleh
Petah Wazzan Iskandar
wazzan@bharian.com.my
Sejarah buktikan
penempatan di Batu Uban 90 tahun lebih awal dari Georgetown
PERTIKAIAN siapa
membuka Pulau Pinang sering diperdebatkan dengan fakta diketengahkan sebagai
bukti sama ada berpihak kepada Kapten Francis Light atau penduduk asal dan
pertikaian ini tidak selesai sehingga kini.
Biarpun fakta
awal yang dimasukkan dalam subjek Sejarah menyebut Light membuka Pulau Pinang
selepas berlabuh di Tanjung Penaga (Georgetown) pada 1786, namun mengikut
peninggalan sejarah lebih 90 tahun sebelum kehadirannya, bangsa Melayu sudah
bertapak di Batu Uban.
Hujah yang
memihak kepada penduduk asal adalah berdasarkan bukti wujudnya masjid yang didirikan Nakhoda Nan
Intan yang berasal dari Aceh pada 1734 masih wujud di tempat dinyatakan itu
sehingga kini.
Batu Uban juga
boleh ditemui dalam peta lakaran Kapten Walter Avis, peta pertama Inggeris pada
1763 sebelum Pulau Pinang dibuka Light, malahan bandar itu menjadi pusat
pengajian dan tumpuan ulama, selain menjadi pelabuhan penghubung di antara
Pulau Pinang dengan Alam Melayu.
Pensyarah
Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Datin Dr Mahani Musa melalui
kajiannya menemui penerokaan Telok Jelutong dan Batu Uban adalah bukti penting
wujudnya masyarakat yang menetap di pulau ini, sebelum kedatangan Light.
"Kewujudan
masjid, kawasan perkuburan dan keturunan peneroka awal di Batu Uban sememangnya
menjadi bukti kukuh, malahan saya sendiri berpeluang menemubual waris keturunan
yang menjadi penghubung antara saya dan masa lampau.
"Apabila
Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) mendarat di Georgetown dan berlaku
pembentukan masyarakat baru yang lebih rencam, sejarah masyarakat awal
menghakis sehingga menjadikan Light seorang pengasas," katanya pada Majlis
Polemik Sejarah Malaysia Sesi 26 bertema Penempatan Awal Di Pulau Pinang yang
yang dirasmikan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia (ANM), Daresah Ismail di
Kompleks Pustaka Warisan Seni, Pulau Pinang.
Dr Mahani
berkata, kemunculan masyarakat campuran iaitu Peranakan Arab sering dikaitkan
dengan sebahagian hasil kegiatan penerokaan ekonomi barat sedangkan ia sudah
bermula sebelum kedatangan SHTI yang bermula di Batu Uban.
"Apabila
perkahwinan campur antara orang Arab dengan wanita Batu Uban, ia sekali gus
mengikis sedikit demi sedikit ciri Minangkabau yang sebenarnya sudah ada di
bandar terbabit sejak dulu," katanya ketika membincangkan Sejarah Yang
Terpinggir: Penempatan Awal Melayu Pulau Pinang pada majlis yang dipengerusikan
Naib Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Prof Madya Dr Mohd
Isa Othman.
Pensyarah
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Nabir Abdullah, membangkitkan
bilangan orang Eropah yang sedikit, tetapi mendapat habuan tanah yang banyak
berbanding orang Asia yang ramai, tetapi habuan diterima sedikit hingga
menyebabkan hal pemilikan tanah dalam kalangan orang Melayu terpinggir.
“Catatan 1792
menunjukkan bilangan kecil orang Asia dalam SHTI berlarutan sehingga abad
ke-19, namun bilangan bangsa Melayu yang merangkumi orang Acheh, Batu Bara,
Minangkabau dan Bugis besar untuk menjadi kumpulan majoriti.
"Persaingan
kaum lain dalam hal pemilikan tanah termasuk luar bandar menjadikan bangsa
Melayu terus terpinggir, malahan pemilikan asal sebelum 1786 diambil dengan
pembayaran pampasan," katanya ketika merincikan Penempatan dan Isu Lord of
the Soil Sebelum dan Sewaktu Pendudukan Inggeris di Pulau Pinang.
Bagi Pensyarah
Universiti Teknologi Petronas (UTP), Prof Dr Ahmad Murad Merican, Batu Uban
ialah pelabuhan pertama sebelum adanya Tanjung Penaga yang kini dikenali
Georgetown dengan permulaan masyarakat Jawi Pekan atau Jawi Peranakan hasil
perkahwinan Melayu dengan Arab.
"Tidak
ketinggalan Batu Uban juga menjadi kawasan bermulanya peradaban terawal,
termasuk pusat pentadbiran dan kosmopolitan Alam Melayu, Nusantara dan Lautan
Hindi hingga ke Hadramaut.
"Bagaimanapun,
ramai yang tidak tahu bahawa Batu Uban, Bukit Jenaton dan Gelugor yang terletak
kira-kira lima kilometer di selatan tanjung (Georgetown) dan berhadapan dengan
Pulau Jerejak adalah penempatan awal masyarakat Melayu," katanya ketika
membedah Wajah Dan Warisan: Identiti Melayu Awal Pulau Pinang Yang Dilupakan.
Dr Ahmad Murad
berkata, akibat tiada usaha bersungguh-sungguh dalam mengetengahkan sejarah
sebenar maka salasilah dan pensejarahan Melayu dipadamkan dari peta sejarah
dunia apabila pembicaraan perkara terbabit dilakukan dari sudut asing.
"Lalu
lahirlah perbincangan masyarakat Melayu yang sebenarnya penduduk asal
disifatkan sebagai pendatang dan kesilapan dalam wacana kewujudan Melayu di
Semenanjung Tanah Melayu atau di mana-mana Alam Melayu berterusan,"
ujarnya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan