Oleh ROZAINAH ABDUL RAHIM
Kadar pengangguran di kalangan siswazah di negara ini kian hari kian bertambah, apa puncanya dan adakah ia relevan berlaku kepada
pelajar lepasan universiti? Apakah sebenarnya masalah yang menyebabkan mereka
menjadi penganggur?
Antara faktor yang menyebabkan pengangguran ialah sikap
siswazah yang terlalu memilih pekerjaan atau tidak berminat dengan sesuatu
pekerjaan yang ditawarkan kerana beranggapan tidak setaraf dengan kelulusan
mereka semasa menuntut di universiti malah lebih suka tinggal di rumah tanpa
melakukan apa-apa pekerjaan daripada bekerja yang bukan dalam bidang mereka.
Minda graduan yang beranggapan lebih baik
menganggur selagi belum ada kerja yang sesuai seharusnya dibuang kerana sikap
ini merugikan diri sendiri dan sektor pekerjaan yang memerlukan tenaga kerja.
Jika dilihat, banyak sebenarnya peluang pekerjaan ditawarkan
tetapi para graduan tidak pandai mengambil peluang yang ada. Selain itu, mereka
juga boleh memperolehi pekerjaan dengan pelbagai cara selain bergantung pada
sektor pekerjaan sedia ada.
Sebagai contoh, mereka boleh memulakan perniagaan sendiri
dengan menggunakan ilmu yang telah dipelajari semasa menuntut di universiti.
Ini kerana, pelajar universiti telah sedia dilatih dengan ilmu semangat
keusahawanan yang membolehkan mereka berniaga sendiri yang ternyata boleh
membawa keuntungan tanpa bergantung kepada majikan kerana pendapatan adalah
atas hasil usaha sendiri.
Sememangnya persaingan antara graduan merupakan salah satu
masalah besar yang mendorong kepada pengangguran siswazah terutama faktor
kelulusan yang tidak sesuai dengan permintaan dunia kerjaya. Terdapat senarai
kriteria yang dispesifikasikan oleh majikan dalam memilih graduan yang
diingini.
Graduan yang mempunyai kelulusan yang tidak memuaskan atau
cemerlang akan menghadapi masalah dan terpaksa menganggur dalam masa yang lebih
lama.
Pengangguran di kalangan siswazah akan terus terjadi
sekiranya mereka tidak berusaha mencari alternatif membina kerjaya sendiri atau
menceburkan diri dalam kegiatan ekonomi seperti bidang keusahawanan yang boleh
membantu menggerakkan ekonomi di samping dapat mewujudkan peluang pekerjaan
kepada golongan lain.
Peluang bagi golongan siswazah menceburi pelbagai bidang
pekerjaan persendirian, perniagaan dan keusahawanan amat luas. Bidang-bidang
yang boleh diceburi ini bagaimanapun memerlukan inisiatif dan kegigihan selain
pemikiran yang kreatif untuk menuju kejayaan.
Penguasaan penggunaan bahasa Inggeris dengan baik juga
merupakan faktor penting yang memudahkan seseorang graduan itu mendapat peluang
pekerjaan yang diinginkan selain kebanjiran para siswazah dari institusi
pengajian tinggi awam dan juga swasta yang terlalu banyak sehinggakan jumlah
penganggur dan kerja kosong tidak sama rata.
Kemahiran bahasa ketiga merupakan bonus kepada diri siswazah
kerana ia satu kelebihan yang melengkapi pakej seseorang dalam urusan kerja
yang memerlukan perhubungan dengan pihak luar seperi bahasa Mandarin, Jepun,
Perancis, Jerman, Arab dan Korea. Majikan semestinya akan memilih untuk
mengambil pekerja yang mempunyai kelebihan seperti penguasaan bahasa ketiga
yang akan menyumbang kemudahan kepada syarikatnya pada masa akan datang.
Para siswazah juga hendaklah membiasakan diri dengan
aktiviti luar dan sosial seperti aktiviti kemasyarakatan dan tidak menumpukan
pada akademik semata-mata. Mereka juga perlu melibatkan diri dengan
aktiviti-aktiviti yang akan melatih diri bagaimana menghadapi khalayak ramai,
menyelesaikan masalah, berorganisasi, dan melakukan tugas dengan baik.
Aktiviti bersosial boleh
memberi banyak kelebihan pada diri seseorang berbanding duduk di rumah sahaja
menunggu panggilan kerja yang belum tentu. Pihak majikan biasanya mementingkan
pengalaman berbanding dengan akademik kerana jika mereka mengadakan latihan
intensif untuk pekerja baru, ia akan memerlukan perbelanjaan dan mengambil
masa.
Pengangguran siswazah tidak memberi manfaat kepada diri
sendiri, keluarga, masyarakat, dan negara. Masalah ini haruslah dibendung
segera oleh siswazah dengan bersikap tidak terlalu memilih pekerjaan dan
berfikir secara profesional terhadap sesuatu pekerjaan dan mempunyai sikap
bertanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Selain itu juga, pihak kerajaan dan IPTA turut memainkan
peranan penting dalam menangani masalah pengangguran dengan melaksanakan
program di sekolah atau universiti berkaitan kerjaya. Kursus-kursus dan
perancangan mengenai kerjaya perlu diadakan untuk graduan dalam pelbagai bidang
bagi mewujudkan modal insan yang terlatih.
Para pendidik juga memainkan peranan besar dalam membimbing
para pelajar yang masih di bangku sekolah atau di IPT supaya bersedia dan
merancang lebih awal untuk memilih bidang kerjaya sesuai dengan kemahiran dan
kehendak persaingan di pasaran supaya mendapat tempat dalam pekerjaan yang
sesuai.
Oleh itu, graduan perlu berfikir secara profesional dan
bijak merancang masa hadapan dan tidak salah jika bermula dari bawah untuk
memperolehi pengalaman dan bukannya terus berada di atas.
PENULIS ialah pelajar di Fakulti Komunikasi dan Pengajian
Media, UiTM Shah Alam
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan