Selasa, 16 Julai 2013

ISU PENDIDIKAN : Perlu sokong usaha berani


Oleh :  Ruhaiza Rusmin

Jika mahu dihitung usaha kerajaan mentransformasi bidang pendidikan negara, pasti tidak terhitung banyaknya.

Bermula dengan Penyata Razak 1956, kini kepada imej global melalui Pelan Pembangunan Pendidikan, usaha itu wajar dihargai.

Usaha paling proaktif dan berani itu bukan saja bagi menjenamakan semula bidang pendidikan negara malah meletakkan modul pendidikan dalam kelas tersendiri.

Apatah lagi dengan rantaian sistem yang semakin komprehensif, ramai tidak sabar melihat hasil transformasi itu yang dianggap pembaharuan paling berani untuk bidang pendidikan sejak negara mencapai kemerdekaan.

Justeru apakah harapan tinggi itu juga boleh membuka minda masyarakat supaya melihatnya dalam skop lebih luas?

Atau hanya sekadar sokongan dengan tindakan tunggu dan lihat. Dan apakah mereka punya keyakinan bidang pendidikan boleh dijenamakan semula hingga menjangkau pering­kat antarabangsa atau sebaliknya.

Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia ( UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, masyarakat perlu melihat usaha proaktif ini sebagai anjakan keberanian menjenamakan semula bidang pendidikan negara.

Beliau berkata, transformasi ini komitmen pihak berkenaan yang mahu melihat sistem pendidikan negara melangkah ke frasa baru yang lebih dinamik dan berkeupayaan tinggi demi generasi masa depan.

“Boleh dikatakan, ini adalah usaha berani yang melangkau frasa sedia ada sejajar hasrat menjadikan dunia pendidikan negara lebih berwibawa.

“Transformasi ini juga adalah satu keberanian untuk membawa bidang pendidikan negara ini ke tahap profesional, berkualiti serta mempunyai jenama antarabangsa.

“Justeru, mengapa perkara yang baik ini perlu dipertikaikan?

“Semua ini ada manfaatnya khususnya kepada pembinaan masa depan pelajar kita akan datang,” katanya.

Malangnya di tengah kesediaan bidang pendidikan negara melakukan transformasi itu, ada pihak mengang­gapnya begitu drastik serta mempunyai standard sasaran terlalu tinggi.

Beliau berkata, pihak tertentu boleh melahirkan kebimbangan namun pada masa sama perlu melihatnya dari sisi berbeza terutama kesan jangka panjang.

Menurutnya, transformasi itu tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa,  bahkan dilakukan mengikut saluran, frasa, kaji selidik masyarakat serta kajian pakar pendidikan.

“Memang ada pihak menganggap transformasi dunia pendidikan negara hari ini sangat drastik hingga mewujudkan pertikaian tertentu.

“Ditegaskan, transformasi ini dilakukan dengan profesional dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

“Masyarakat perlu yakin dan meletakkan penuh kepercayaan terhadap usaha ini. Cuba dalami hasrat kerajaan mengapa transformasi ini perlu dilakukan,” katanya tidak menafikan pasti wujud keraguan perkara berbangkit terhadap pembaharuan yang cuba dilaksanakan.

“Setiap pembaharuan pasti ada masalah dan kepincangan namun kita tidak boleh menganggapnya sebagai masalah yang tidak boleh diselesaikan.

“Bidang pendidikan negara kita dalam proses belajar dan setiap yang terbabit dengannya perlu melalui proses yang sama.

“Ia adalah proses yang baik. Dari situ kita dapat menilai, melihat, memperbaiki dan mempertingkatkan kelemahan mahupun kekurangan sedia ada.

“Yang penting, kita ada keberanian melakukan perubahan. Jika tidak selamanya kita akan berada di takuk lama,” katanya.

Beliau turut optimis sistem pendidikan negara berada pada landasan betul dan sedang sedaya upaya menjadikan segala perancangan satu kejayaan jangka panjang.

Katanya, penggunaan penilaian standard antarabangsa seperti TIMMS (Trends in International Mathematics and Science Study) dan PISA (Programme for International Student Assessment) sering dijadikan rujukan.

“TIMMS adalah penilaian antarabangsa yang menilai kurikulum mata pelajaran Matematik dan Sains dalam sesebuah sistem pendidikan.

“PISA adalah penilaian antarabangsa yang menilai tiga jenis kecekapan, iaitu membaca, menitikberatkan pengetahuan matematik dan pengetahuan sains dalam keadaan sebenar oleh pelajar dalam sesebuah sistem pendidikan.

“Malaysia ingin menempah kedudukan dalam kategori satu pertiga teratas negara-negara di dunia yang mempunyai sistem pendidikan bermutu, justeru transformasi ini adalah antara langkah awal,” katanya.

Ditanya sama ada sistem yang digunakan sekarang mempunyai kelemahan hingga perlu diberi perubahan, beliau berkata setiap sistem pendidikan negara di dunia perlukan perubahan bagi tujuan penambahbaikan.

“Negara yang mempunyai pendidikan terbaik di dunia pun melakukan perkara sama kerana perlu selari dengan peningkatan kualiti dan permintaan semasa.

“Kita tidak perlu mempertikaikan apa yang sedang dilakukan sistem pendidikan negara kerana objektifnya untuk kebaikan.

“Dalam sejarah dunia, tiada sistem pendidikan yang diperkenalkan bertujuan sebaliknya,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Gajet IT bentuk sikap antisosial, agresif generasi Y


Oleh : NORILA DAUD

SEJAK kebelakangan ini golongan tua sering merungut tentang sikap sesetengah anak muda yang tidak menghormati mereka, enggan menegur sapa, tidak memberi salam atau bersalaman jika bertemu di khalayak ramai, di majlis keramaian, di rumah dan pejabat.

Sikap tidak menghormati golongan tua ini amat jelas berlaku di pejabat-pejabat apabila kakitangan dan para pegawai kanan tidak disapa oleh pendatang baharu sehingga mereka dilabelkan sebagai golongan cerdik pandai yang tidak beradab dan 'kurang ajar'.

Jika dibandingkan pada tahun 1980-an hingga 1990-an, kakitangan muda walaupun lepasan pelbagai universiti dari dalam dan luar negara, namun mereka bertegur sapa dengan golongan lebih senior di pejabat kerana bersopan santun memang sinonim dengan orang Melayu malahan menjadi amalan sejak zaman datuk nenek kita sehingga ke hari ini.

Anak-anak muda sepatutnya memanggil tuan, puan, abang, kakak, makcik, pakcik, datuk atau nenek kepada golongan yang lebih dewasa mengikut peringkat usia dan pangkat seseorang serta mengucap terima kasih kepada setiap pemberian yang diterima. Ucapan selamat pagi dan petang atau Assalamualaikum bagi yang beragama Islam setiap kali bertemu sepatutnya menjadi amalan murni ke arah kesejahteraan.

Malangnya, ucapan demikian semakin hilang dibaham era Internet. Generasi muda kini sebaliknya hanya berkata ' hai.. .'  ketika bersua muka dan 'bye-bye' ketika berpisah. Ucapan tersebut lebih ringkas, trendy dan universal.

Apakah media sosial seperti  Facebook, Twitter, khidmat pesanan ringkat (SMS) serta Whatsapp yang sangat dekat di hati insan yang celek teknologi maklumat (IT) boleh dikaitkan dengan hilangnya nilai-nilai ketimuran dan unsur keagamaan dalam kalangan generasi muda?

Jika dikaji kesan dan pengaruh teknologi telekomunikasi kepada manusia dan kemanusiaan, sepatutnya gajet-gajet berhubung IT yang terdapat dalam pasaran itu membantu mendekatkan yang jauh dan mengecilkan jurang perbezaan antara manusia di dunia.

Dari sudut lain, perkembangan IT ini turut melalai dan mengalpakan anak-anak generasi Y ini kepada alam sekeliling sehingga terbentuknya budaya anti sosial, individualistik dan tidak mesra dengan orang di sekeliling mereka.

Bukan sahaja generasi muda menjadi sedemikian, malah generasi tua juga sudah semakin terpisah dengan jiran-jiran kerana terlalu ghairah melayan kerenah Facebook, Twitter dan blog-blog pilihan mereka. Ringkasnya, manusia hari ini disogokkan dengan terlalu banyak informasi sehingga lupa kepada dunia nyata di sekeliling mereka.

Apa yang penting bagi kumpulan ini ialah mengemas kini status mereka dalam facebook dan membaca SMS walaupun berada dalam majlis ilmu dan keramaian. Majlis berkenaan sepatutnya digunakan untuk menimba ilmu sebanyak mungkin dan beramah mesra dengan para hadirin. Semua SMS yang dianggap tidak penting sepatutnya dibalas ketika berada di rumah.

Sehubungan perkembangan itu, Malaysia berada pada kedudukan ke-19 dengan jumlah pengguna Facebook sebanyak 13.22 juta daripada 28 juta penduduk. Statistik ini berdasarkan jumlah pengguna Facebook dalam senarai 50 negara utama di dunia sehingga Oktober 2012. Sehubungan itu, sebanyak 50 peratus daripada jumlah pengguna Facebook tinggal di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun Malaysia berada di belakang Jepun yang mempunyai 16.36 juta pengguna Facebook manakala Thailand di tempat ke-16 dengan 17.47 juta manakala Indonesia berada di tangga keempat dengan 50.53 juta pengguna media sosial itu. Sehubungan itu, 50 peratus daripada jumlah pengguna Facebook di Malaysia tinggal di Kuala Lumpur.

Gajet-gajet IT ini terbukti telah membentuk satu fenomena tidak menghiraukan orang lain kerana dunia alam maya lebih menyeronokkan dan memaklumkan perkembangan terkini yang berlaku di dunia sehingga sanak saudara dan orang tua yang berkunjung ke rumah mereka tidak dihiraukan oleh anak-anak muda.

Fenomena tidak menegur dan bermesra dengan rakan-rakan sepejabat dan jiran di sebelah rumah mungkin berpunca daripada latar belakang keluarga dan pergaulan sosial mereka yang terbatas. Sejak kecil lagi ibu bapa menasihatkan anak-anak supaya tidak mudah mesra dengan orang yang tidak dikenali berikutan kes culik dan rogol yang kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja sejak kebelakangan ini.

Sehubungan itu, golongan berkenaan apabila memasuki dunia remaja sudah dipupuk dengan sikap berhati-hati sehingga terbawa-bawa ke alam pekerjaan. Sikap remaja sedemikian membuat golongan dewasa melontar tuduhan sehingga melabel anak-anak muda hari ini sebagai 'kurang ajar' dan kadangkala mendakwa sistem pendidikan semasa kurang menitikberatkan kepada nilai-nilai sivik dan adat ketimuran.

Dalam apa juga perkembangan teknologi, sepatutnya masyarakat khusus Melayu mestilah mengekalkan amalan dan adat ketimuran yang diwarisi turun temurun kerana hanya nilai-nilai tersebut membezakan antara Melayu dengan bangsa dan adat kaum lain walaupun mereka tinggal di Malaysia.

Kemodenan dan perkembangan teknologi jika diikuti tidak akan habis-habis dan tiada penghujungnya kerana setiap hari model terbaharu dengan teknologi terkini akan dijual di pasaran. Sebaliknya nilai ketimuran dan adat istiadat Melayu akan hilang di muka bumi ini sekiranya Generasi Y enggan mewarisinya.

Dikhuatiri satu hari nanti bangsa Melayu tidak akan dikenali sebaliknya yang tinggal hanya pada nama Yusof, Kadir atau Fatimah yang bangsa Arab dan orang Islam lain di dunia turut mempunyai nama demikian kerana mereka beragama Islam.

Jadi fikir-fikirkanlah anak-anak muda apakah masih mahu atau tidak untuk mengekalkan kebudayaan dan adat istiadat dan sopan santun orang Melayu?

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 15 Julai 2013

ISU PENDIDIKAN : Pelajar kita masih tumpul kemahiran insaniah


Oleh : Dr Anwar Ridhwan
 
Generasi muda gagal berfikir secara kritis

Bagi mereka yang bertugas sebagai tenaga akademik di institusi pengajian tinggi, pada setiap awal semester pengajian mereka selalu mengharapkan kemasukan pelajar baru yang memiliki kemahiran insaniah tinggi. Bagaimanapun, tenaga akademik ini sedar bahawa pelajar yang mereka terima adalah produk daripada sistem pendidikan sedia ada.

Kemahiran insaniah atau soft skill adalah istilah sosiologi berhubung EQ (Emotional Intelligence Quotient) seseorang individu, berkaitan ciri atau sifat personalitinya, kemahirannya bersosial, berkomunikasi, berbahasa secara bertulis atau bertutur, kebiasaan atau tabiat yang positif, suka bergaul dan optimis dalam kehidupan serta lingkungan sosialnya.

Berikut, dapatan umum yang saya peroleh daripada teman di beberapa buah institusi pengajian tinggi awam di negara ini.

Daripada sejumlah pelajar baru, pada umumnya hanya segelintir kecil memiliki kemahiran insaniah yang boleh berkembang. Majoriti yang lain kurang kemahiran bersosial, hanya bergaul dalam kelompok kecil. Mereka juga tidak dapat berkomunikasi dengan baik, termasuk tidak dapat menuturkan atau menulis dalam bahasa Melayu atau Inggeris yang gramatis, jelas dan berkesan.

Peringkat sekolah rendah

Kebiasaan atau tabiat yang positif seperti gemar membaca buku di perpustakaan serta mengadakan diskusi berkumpulan juga jarang-jarang dapat dilihat, kecuali dalam minggu menjelang peperiksaan. Kurang terpancar optimisme dalam diri pelajar, seolah-olah membiarkan masa menghanyutkan mereka dan menyerahkan segala kepada nasib.
Dalam dunia penuh persaingan dan persaingan semakin sengit, hanya pelajar memiliki kemahiran insaniah tinggi yang akan berjaya. Jika majoriti pelajar kita kurang memiliki kemahiran insaniah tinggi, bagaimana generasi muda kita akan bersaing pada peringkat domestik dan antarabangsa? Begitu pentingnya kemahiran insaniah, sehingga wajar ia diperkenalkan pada peringkat sekolah rendah lagi.

Atas sebab seperti itulah, sekolah antarabangsa biasanya sejak peringkat rendah lagi, mendedahkan pelajar mereka kepada kemahiran insaniah. Ini termasuklah kaedah berfikir secara kreatif, menaakul secara kritis, berkomunikasi secara berkesan, bekerjasama secara membina, menempuh proses pembelajaran penuh semangat, dan menjalani kehidupan beretika.

Kita dapat melihat produk pelajar yang dilahirkan oleh sekolah antarabangsa ini – sama ada anak kita sendiri, anak saudara kita atau anak kenalan kita. Bagaimanapun pernyataan ini tidaklah menafikan adanya segelintir pelajar produk sistem pendidikan kebangsaan kita yang mempunyai kualiti lebih kurang sama.

Sistem persekolahan kebangsaan

Kita percaya sistem pendidikan kebangsaan turut berhasrat membentuk dan melahirkan pelajar yang dapat berfikir secara kreatif, menaakul secara kritis, berkomunikasi secara berkesan, bekerjasama secara membina menerusi proses pembelajaran penuh semangat dan menjalani kehidupan beretika. Bagaimanapun, apabila kita meneliti pencapaian pelajar baharu di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), hanya sebahagian kecil yang berkualiti demikian.

Lalu kita bertanya, di mana bahagian-bahagian longgar dalam sistem pendidikan kebangsaan kita yang perlu kita perbaiki dan perkasakan? Adakah sistem persekolahan kita amat menjurus kepada peperiksaan? Adakah pelajar kita terlalu ‘disuap’ dan ‘disusui’? Adakah pelajar kita terlalu terikat dengan skema hingga tidak dibenarkan berfikir secara kreatif di luar kebiasaan? Adakah kaedah pengajaran dan pembelajaran kita masih sangat konservatif? Adakah suasana pembelajaran belum dapat membentuk pelajar kita kemahiran bersosial, berkomunikasi, berbahasa secara bertulis atau bertutur, bertabiat yang positif, bergaul dan optimis dalam lingkungan sosialnya?

Kualiti akademia

Pendedahan kemahiran insaniah pelajar kita seharusnya sudah meningkat ketika mereka berada di sekolah menengah. Apabila mereka menyambung pengajian di kolej atau universiti, mereka akan berhadapan dengan suasana, kaedah serta budaya pembelajaran yang agak berbeza.

Mereka harus berdikari, banyak membuat rujukan sendiri bagi menambah nota kuliah, bijak bergaul, mahir berkomunikasi baik di dalam bilik kuliah atau di luar serta dapat menyiapkan tugasan dipersembahkan dengan baik, termasuk aspek bahasanya. Jika lebih ramai pelajar baru IPTA memiliki kemahiran insaniah, maka kualiti akademia di pusat pengajian tinggi kita akan meningkat dengan lebih pantas.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU AGAMA : Ramadan bukan bulan pesta berbelanja


Oleh : Dr Asyraf Wajdi Dusuki
 
Ramadan bukan saja bulan yang menyuburkan amalan ibadah seperti puasa, tadarus, Tarawih dan qiamullail, malah turut menitikberatkan aspek tarbiah atau latihan bermuamalah seperti berbelanja.

Dengan kata lain, Ramadan turut menjadi bulan pemerkasaan budaya bermuamalah sesama manusia.

Tempoh sebulan yang penuh barakah ketika syaitan dibelenggu dan amalan digandakan ganjaran seharusnya dimanfaatkan oleh umat Islam untuk meningkatkan kualiti diri. Namun, ramai juga yang mempersiakan peluang dan ruang diberikan Allah ini, sebaliknya meneruskan amalan penyimpangan yang menjadi budaya dalam diri selama ini.

Salah satu amalan penyimpangan yang kadangkala lebih terdedah pada Ramadan ialah budaya berbelanja. Ramadan yang sepatutnya mendidik umat agar lebih berjimat dan berhemah dalam berbelanja sering tersasar daripada landasan sebenar.

Lebih mendukacitakan, ada segelintir kita menjadikan Ramadan bagaikan ‘pesta berbelanja’ makanan, pakaian, perhiasan rumah dan sebagainya. Bazar Ramadan yang menjual dan menyediakan pelbagai juadah juga tidak ketinggalan menjadi medan kerakusan umat berbelanja mengikut hawa nafsu yang mampu menghakis kualiti berpuasa.

Budaya berbelanja

Budaya berbelanja selalunya akan bertambah hebat terutama ketika melalui fasa 10 hari terakhir Ramadan. Fasa yang seharusnya menjadikan umat bertambah kuat beribadah mengejar ganjaran besar dijanjikan Allah termasuk Lailatul Qadar, sebaliknya disibukkan dengan persiapan menjelang perayaan Aidilfitri.

Sudah menjadi kelaziman apabila menjelang Syawal, maka berduyun-duyun orang ramai mengerumuni pusat beli-belah bagi persiapan terakhir sambutan Aidilfitri. Budaya berbelanja dan membeli pelbagai perhiasan, pakaian dan peralatan rumah serba baru sudah menjadi amalan tahunan bagi masyarakat Malaysia.

Memang Islam tidak pernah menghalang umatnya membeli-belah untuk apa jua tujuan atau urusan. Islam juga tidak pernah mengekang umatnya daripada membelanjakan harta bagi tujuan sambutan perayaan keagamaan. Malah, mempersiapkan perhiasan dan mengenakan pakaian yang indah semasa hari raya sebahagian daripada sunah yang dituntut seperti disebut Jabir yang pernah berkata: “Nabi Muhammad SAW sering memakai pakaian terbaik iaitu sepasang jubah yang dipakai khusus pada hari raya dan Jumaat.”

Namun, dalam keghairahan membeli-belah dan berbelanja seperti ini, umat juga harus sentiasa dipasakkan dalam pemikiran agar terus berpegang teguh kepada prinsip dan nilai muamalah Islam sejati. Ini termasuklah untuk sentiasa membudayakan kesederhanaan dalam berbelanja. Budaya sederhana dalam berbelanja adalah ciri Ibadurrahman atau hamba Tuhan yang dijanjikan balasan syurga seperti digambarkan Allah yang bermaksud: “Dan orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kikir dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah antara yang demikian.” (Al-Furqan: 67)

Ibnu Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menerangkan hamba Allah yang dimaksudkan ialah orang yang tidak membazir dalam berbelanja dan tidak berbelanja di luar batasan keperluan. Pada masa sama mereka bukan juga tergolong dalam kalangan orang bakhil dan kikir, termasuklah terhadap keluarga, jiran tetangga dan kaum muslimin yang fakir dan miskin.

Bersederhana

Sebaliknya ciri hamba Allah yang diistilahkan sebagai ‘ibadur-rahman’ ini ialah mereka yang adil dan baik kerana sering memilih jalan pertengahan iaitu bersederhana di antara dua budaya ekstrem dalam berbelanja.

Demikian prinsip dan etika penting dalam berbelanja yang digariskan syarak agar diamalkan setiap umat Islam. Jika sikap berlebih-lebihan amat berbahaya bagi individu ataupun masyarakat, demikian pula sifat bakhil menjadi punca kerosakan sesebuah tamadun.

Sebaliknya, sikap dan budaya terbaik ialah sikap dan budaya pertengahan dan sederhana seperti seruan dan acuan Islam. Salah satu nilai kesederhanaan dalam berbelanja dalam acuan Islam ialah saranan agar umat senantiasa membudaya nilai qanaah.

Qanaah salah satu sifat Nabawi yang bermaksud rasa cukup dan puas hati dengan apa jua rezeki pemberian Allah. Qanaah juga manifestasi keimanan yang mampu mengawal dan membatasi sifat ketamakan, kerakusan dan haloba yang mudah menguasai diri manusia.

Nabi SAW bersabda dalam satu hadis dinukilkan At-Tabrani dalam Al-Awsat menyebut: “Sifat qanaah tidak akan menghabiskan harta dan tidak akan menghilangkan rezeki”. Malah Rasulullah SAW turut mengajarkan kepada kita satu doa yang diamalkan baginda setiap kali selepas selesai menunaikan solat dua rakaat seperti berikut: “Ya Tuhanku, jadikan diriku sentiasa rasa puas dengan segala pemberian yang Engkau kurniakan padaku, berkatilah apa yang Engkau anugerahkan kepadaku dan gantikanlah apa yang hilang daripadaku dengan sesuatu yang lebih baik daripada Engkau.”

Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Ahad, 14 Julai 2013

ISU AGAMA : Tarbiah ruhiyah bina individu baik


Oleh :  Dr Burhanuddin Jalal

Jiwa raga gersang tidak mampu laksana amanah diberi

Aspek pendidikan spiritual atau tarbiah ruhiyah penting dalam usaha mendidik atau membina individu yang baik. Perlu diyakini seseorang Muslim yang baik, pasti mempunyai jiwa, semangat, keyakinan dan benar-benar memahami tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

Jika semua ciri itu ada dalam dirinya, sudah pasti individu berkenaan memahami tugas dan peranannya sebagai hamba Allah SWT.

Namun, jika jiwanya gersang, resah gelisah dan tidak mempunyai matlamat yang jelas, walaupun ia mempunyai kemahiran serta ilmu mencukupi, seseorang itu mungkin tidak mampu melaksanakan amanah diberi.

Manusia terdiri daripada jiwa (kerohanian) dan raga (sifat luaran). Sesungguhnya jiwa adalah asas kekuatan diri seseorang dan ia bersifat kekal, manakala raga atau sifat luaran itu tidak kekal, boleh berubah malah boleh hilang.

Justeru, menjadi satu kesilapan jika pendidikan ditumpukan kepada pendidikan luaran semata-mata dan tidak mendidik sifat dalaman atau kerohanian.

Muhammad Qutb dalam bukunya, Manhaj at-Tarbiyah menyebut, Islam menitikberatkan perhatian khusus terhadap dimensi roh (jiwa) yang juga titik asas manusia kerana roh adalah penghubung antara manusia dengan Allah SWT dan roh juga potensi manusia paling besar.

Oleh itu, berjuang di jalan Allah SWT dalam pelbagai bidang kerjaya bagi mempertahankan agama, bangsa, negara jika terkorban, boleh dikategorikan sebagai mati syahid, salah satu contoh bagi individu Muslim untuk menemui Tuhannya dengan cara yang terbaik.

Firman Allah SWT: “Dan jangan sekali-kali Engkau menyangka orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (Mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki, (dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (Iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (Surah al-Baqarah, ayat 169-170)

Khalid Ahmad Syantut dalam bukunya Tarbiah Islamiah, menggariskan pendekatan yang mampu membina masyarakat dari sudut pendidikan spiritual (mempunyai hubungan akrab dengan Penciptanya) sekali gus menjadi seorang yang tekun beribadat.

Pendekatan itu berkaitan dengan ketekunan mereka melaksanakan ibadat seperti  solat, puasa, zakat dan haji. Solat adalah hubungan hamba dengan Tuhannya. Orang yang mengerjakan solat dengan khusyuk, rohnya akan berhubung dengan Penciptanya.

Sahabat Rasulullah SAW ketika menunaikan solat mereka lupa terhadap keadaan diri dan sekeliling kerana roh lebih berpengaruh daripada aspek fizikal. Malah, ada yang tidak terasa sakit ketika mencabut panah daripada badannya disebabkan khusyuk menunaikan solat.

Puasa menggilap roh serta menguatkannya untuk mengalahkan godaan syaitan dan iblis yang sentiasa menggoda manusia melalui nafsu makan, minum, syahwat serta amal perbuatan lain.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya syaitan itu mengalir dalam diri anak Adam melalui urat nadinya, maka sempitkanlah jalannya dengan rasa lapar.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ibnu Taimiyah dalam kitab al-Fatawa menyatakan, jiwa dan harta seseorang yang bersedekah itu akan bersih, yakni suci dan baik. Perkembangan dan kesucian itu pula tidak terletak pada harta semata-mata tetapi ia akan meresap ke dalam jiwa orang yang mengeluarkan zakat.

Firman Allah SWT: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya Engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada  akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Ibadah haji akan mengukuhkan hubungan hamba dengan Allah SWT kerana manusia meninggalkan urusan dunia demi memenuhi panggilan dan seruan Allah. Sesungguhnya amat penting bagi setiap individu muslim mendekatkan diri kepada Allah dengan melaksanakan kewajipan agama.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Ibu bapa, guru berperanan lindungi kanak-kanak


KUALA LUMPUR - Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menggesa anggota masyarakat, terutama ibu bapa dan guru agar turut memainkan peranan dalam melindungi kanak-kanak dan remaja daripada jenayah, keganasan dan segala bentuk penderaan.

Presidennya Tan Sri Lee Lam Thye berkata melindungi kanak-kanak daripada perbuatan jenayah bukan hanya tugas pihak berkuasa tetapi tanggungjawab seluruh masyarakat.

"Masanya telah tiba untuk kerajaan melancarkan kempen di seluruh negara bagi perlindungan dan keselamatan kanak-kanak melibatkan semua lapisan masyarakat.

"Sejak beberapa tahun ini, terdapat banyak kes kanak-kanak hilang dan didera dan semua ini menunjukkan kita tidak boleh mengambil mudah mengenai keselamatan golongan itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata perlindungan kanak-kanak mesti bermula daripada rumah dengan ibu bapa perlu mengajar mereka bagaimana untuk bertindak balas ketika berhadapan situasi bahaya dan sentiasa memantau di mana anak-anak mereka berada.

Lee turut menyarankan agar pendidikan keselamatan kanak-kanak diberi penekanan di sekolah memandangkan pelajar sekolah adalah golongan paling lemah dan terdedah kepada penjenayah.

Beliau berkata MCPF juga bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam mewujudkan kelab pencegahan jenayah di  sekolah rendah dan menengah bukan hanya untuk menimbulkan kesedaran tetapi juga mengajar pelajar untuk berada dalam keadaan selamat sepanjang masa.

Sehingga kini, 5,778 kelab telah ditubuhkan di sekolah rendah dan menengah melibatkan 614,385 pelajar. - Bernama

Sabtu, 13 Julai 2013

ISU PENDIDIKAN : Jangan sekat minat jadi guru


Oleh : NIZAM YATIM

SEORANG yang bergelar guru, kesabaran akan sentiasa teruji apabila berhadapan dengan murid, ibu bapa dan rakan sekerja yang pelbagai perangai. Sebab itu, minat untuk menjadi seorang guru itu amat diperlukan dalam bidang kerjaya ini.

Dalam masa sama, seorang guru juga mesti mempunyai perasaan kasih sayang kepada murid dan perlu jatuh cinta dengan pekerjaan guru itu sendiri.

Itulah jawapan yang keluar daripada mulut seorang guru di sebuah sekolah menengah apabila ditanya pengumuman Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh bahawa syarat untuk memohon pengajian dalam jurusan perguruan telah diperketatkan.

Berkuat kuasa tahun ini, hanya pelajar yang memperoleh sekurang-kurangnya 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dibenarkan memohon pengajian dalam jurusan itu.

Langkah berkenaan dibuat sejajar dengan hasrat kementerian yang mahukan 30 peratus lulusan SPM terbaik menyertai kerjaya itu.

Namun kelonggaran diberikan kepada pelajar Sabah dan Sarawak yang hanya disyaratkan memperoleh sekurang-kurangnya 5A dalam SPM memandangkan terdapat jurang pencapaian akademik antara negeri itu dengan negeri-negeri di Semenanjung.

Isu mengenai pentingnya minat untuk menjadi seorang guru yang terbaik juga pernah menjadi tema filem Hollywood bertajuk The School of Rock pada 2003.

Dalam filem itu, anggota kumpulan rock, Dewey Finn (yang dibintangi pelawak Jack Black) telah menyamar sebagai guru gantian di sebuah sekolah menengah atas.

Walaupun tidak mempunyai kelayakan akademik untuk mengajar, dia akhirnya telah berjaya mengubah pelajar-pelajarnya menjadi penyanyi dan pemuzik yang berjaya.

Soal pentingnya minat juga turut disentuh beberapa kesatuan guru yang telah menyatakan bantahan sebaik saja syarat baharu itu diumumkan.

Ini termasuk Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) yang menyifatkan syarat tersebut sebagai tidak realistik.

Bagi Presiden KGMMB, Mohamed Sabri Mohd. Arsad, pelajar yang cemerlang di dalam bidang akademik bukan satu jaminan untuk melahirkan guru terbaik.

“Apa yang lebih penting mereka hendaklah mempunyai minat, kemahuan, aktif serta sifat kasih sayang yang begitu tebal terhadap anak-anak murid.

“Saya percaya pelajar-pelajar yang memperoleh 5A atau 6A dalam SPM juga mampu menjadi seorang guru yang baik lebih-lebih lagi sekiranya mereka benar-benar berminat untuk menjadi seorang guru," ujarnya.

Menurut beliau, selain kelayakan akademik, penglibatan dalam aktiviti kokurikulum perlu diberi penekanan kepada mereka yang ingin menceburi profesion perguruan bagi meningkatkan taraf profesion itu yang semakin mencabar.

Dalam pada itu, beliau melahirkan kebimbangan usaha untuk menarik lebih ramai pelajar yang memperoleh 7A dalam SPM untuk menceburi bidang perguruan tidak berjaya kerana pelajar terbabit mempunyai peluang untuk memilih jurusan lain yang menawarkan gaji lebih lumayan.

“Kebiasaannya mereka akan memilih bidang-bidang lebih profesional seperti doktor atau jurutera apabila melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi.

“Ini realiti yang berlaku. Hakikatnya, profesion perguruan tidak dapat menjanjikan pulangan lumayan kepada mereka berbanding bidang-bidang profesional yang lain," katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kementerian menawarkan gaji yang lebih tinggi dan kemudahan lain seperti perumahan kepada guru yang berkelulusan cemerlang.

“Kalau nak ambil guru yang berkelulusan baik, kebajikan mereka juga perlu dijaga, sekolah ini sampai kawasan pedalaman pun ada. Mungkin elaun tambahan yang lain perlu diadakan," katanya.

Bersetuju dengan pendapat itu ialah Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Ezaruddin Abdul Rahman yang menegaskan pihaknya menentang keras langkah terbaharu kementerian itu.

Beliau berkata, kelulusan akademik bukanlah kriteria utama yang melayakkan seseorang itu menjadi guru yang berdedikasi.

“Sebagai bekas pelajar kita tahu bahawa guru yang terbaik bukan sahaja cemerlang dari segi kelulusan akademiknya sebaliknya ia juga melibatkan soal minat, dedikasi untuk mengajar dan perasaan sayang yang ditunjukkan kepada anak didiknya," ujar beliau.

Bagi mengelak mereka yang berminat untuk menjadi guru tersekat kerana syarat yang terlalu ketat dikenakan, beliau meminta syarat minimum itu dibatalkan dan digantikan dengan kelayakan akademik yang munasabah.

“Kita mengakui kelayakan akademik juga penting tetapi ia tidak boleh lebih penting daripada kelayakan lain yang boleh menjadikan seseorang itu diiktiraf sebagai guru berkualiti," katanya.

Tambah beliau, satu kaedah yang boleh dilakukan kementerian adalah mengadakan sesi temu duga sebelum pelajar diterima mengikuti pengajian dalam bidang perguruan.

“Sesi temu duga ini akan membolehkan kita mengetahui adakah mereka benar-benar berminat untuk menjadi seorang guru atau kerana ia pilihan akhir setelah tidak berjaya mengikuti pengajian dalam bidang lain," katanya.

Menurut Ezaruddin, beliau akan mendapatkan persetujuan daripada lain-lain Exco GPMS untuk menghantar satu bantahan rasmi kepada Kementerian Pendidikan berhubung syarat baharu itu.

Kepada pihak kementerian, dengarlah secara serius pandangan badan-badan yang mewakili guru dan pelajar terbabit.

Ini bagi memastikan pelajar yang mempunyai minat dan dalam masa sama memperoleh keputusan yang munasabah dalam SPM dapat meneruskan hasrat mereka untuk menjadi seorang pendidik.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/