Beberapa tahun yang lalu, kita pernah dikejutkan dengan laporan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berdasarkan kajian ke atas 70 buah sekolah menengah mendapati bahawa daripada 73,858 pelajar yang telah dianalisis, 3,690 (2.66 peratus) daripadanya tidak boleh membaca. Kajian ke atas 143 buah sekolah rendah pula, mendapati daripada seramai 75,699 murid yang telah dianalisis, 3,690 (4.87 peratus) tidak boleh membaca.
Dalam isu yang sama, apabila dapatan soal selidik tentang buta huruf dalam kalangan pelajar sekolah menengah di daerah Kuantan ditunjukkan kepada saya oleh Ketua Unit Bahasa di pejabat pelajaran daerah, saya sedikit terkejut melihatkan angka yang agak besar ( lebih daripada 700 pelajar) tercatat dalam data tersebut. Persoalannya mengapakah masalah ini masih berlaku? Bukankah pelajar-pelajar ini telahpun melalui alam persekolahan selama tidak kurang enam tahun ketika di sekolah rendah dahulu?Apakah ini menunjukkan terdapat kelemahan dalam proses P&P yang diikuti oleh pelajar ini pada peringkat tersebut? Mengapakah golongan pelajar seumpama ini tidak mengikuti proses pemulihan lebih awal? Adakah ini bermakna terdapat kelemahan dalam pelaksanaan program –program pemulihan yang dirangka oleh pihak Kementerian Pelajaran di sekolah rendah seperti Program KIA2M , PROBIM dan sebagainya?
Hakikat yang seharusnya kita akui ialah sememangnya tidak ada satu pendekatan yang khusus dan efektif yang boleh digunakan sebagai rujukan oleh guru dalam menangani masalah ini. Dilema yang sering dihadapi oleh guru dalam kelas pemulihan membaca yang diadakan untuk murid-murid tahun dua hingga enam ialah bilangan murid yang berjaya dipulihkan terlalu kecil, justeru sebilangan besar daripada mereka masih perlu meneruskan program membaca dan seterusnya akan menyambung program ini pada tahun berikutnya.Lebih malang lagi, terdapat sebilangan pelajar gagal dipulihkan setelah bertahun-tahun menjalani program pemulihan dan akhirnya mereka akan memasuki sekolah menengah dalam keadaan masih tidak boleh membaca.
Perlu diingatkan juga, sebilangan kecil murid yang berjaya dipulihkan ini telah ketinggalan banyak pelajaran yang lain. Cuba bayangkan sekiranya mereka berjaya dipulihkan pada tahun tiga. Apa yang lebih menyedihkan lagi, terdapat guru yang mengendalikan kelas pemulihan di sekolah seakan-akan sudah putus asa dengan murid-murid ini. Hal ini kerana kebanyakan murid yang menghadapi masalah ini tidak menunjukkan sebarang peningkatan dalam usaha untuk menguasai kemahiran asas membaca walaupun telah diajar sekian lama.Tambahan pula, guru terlalu kesuntukan masa dalam mengendalikan pelbagai urusan sekolah dan pengajaran yang lain, lantas kebanyakan murid yang bermasalah ini terus tidak mendapat tumpuan yang sewajarnya.Semakin lama murid dibelenggu masalah ini, semakin jauh mereka tercicir dalam arus pembangunan ilmu.
Kementerian Pelajaran seharusnya mencari satu kaedah baru bagi merungkai masalah ini secepat mungkin. Usaha kementerian untuk mengesan murid-murid yang tidak tahu membaca pada tahun satu melalui program KIA2M memang dipuji. Namun masih terdapat murid-murid yang tidak tahu membaca ketika melangkah ke tahun dua. Memandangkan murid-murid pada tahun satu perlu juga mengikuti mata pelajaran lain, satu program dan kaedah khusus untuk membolehkan mereka boleh membaca dalam tempoh masa yang awal, dirasakan sangat perlu. Sebaik-baiknya, murid-murid pada tahun satu sudah boleh menguasai kemahiran membaca dalam tempoh empat hingga beberapa bulan pembelajaran.Dengan itu, tumpuan murid-murid ini ke atas mata pelajaran lain akan dapat diberikan dengan lebih baik dan berkesan. Kesannya, sudah tentu mereka akan dapat mengikuti pelajaran ke tahun dua dan seterusnya dengan lebih efektif.
Satu kajian juga perlu dilakukan ke atas program yang sedia ada untuk memperkukuhkan lagi program membaca di kelas pemulihan untuk tahun dua hingga enam. Sudah pasti terdapat kelemahan pada program semasa yang menjurus kepada masalah ini. Cuba bayangkan murid-murid pada tahun enam yang tidak tahu membaca. Bolehkan mereka menjalani peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)?
Oleh itu, seharusnya kita berasa rungsing akan apa yang akan terjadi kepada mereka setelah memasuki sekolah menengah? Jika langkah yang drastik tidak dilakukan, maka mereka ini akan terus menjadi pelajar yang tercicir yang akhirnya akan mendatangkan kerugian kepada negara kerana aset yang bernilai ini gagal untuk digilap.
Walaupun ada murid yang buta huruf tetapi dalam ujian lisan dan penilaian asas fardhu ain jarang sekali ada murid yang gagal...bagaimana agaknya?
BalasPadamOleh sebab itulah pelaksanaan apa-apa juga bentuk pentaksiran berasaskan sekolah perlu dipantau.Jikalau tidak, maka akan wujud pentaksiran secara "terpaksa" atau laporan yang muluk-muluk dan menyembunyikan hakikat sebenar yang berlaku di sekolah.
BalasPadam