Selasa, 21 April 2009

MEMBETULKAN YANG BIASA (SIRI 2)

Penggunaan Kata Marcapada
Sumber: http://agy7500.blogspot.com/
-->
Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, `marcapada’ bermaksud dunia sekarang ini. Ayat contoh yang diberikan ialah:
  1. Kita janganlah terpengaruh dengan marcapada yang penuh dengan tipu daya.
Jika perkataan `marcapada’ diungkapkan seperti yang terdapat dalam ayat di bawah ini, ayat tersebut tidak gramatis kerana berlakunya kelewahan bahasa.
  1. Dalam marcapada ini, gejala sosial semakin leluasa berlaku dalam kalangan remaja bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Kelewahan bahasa jelas dapat dilihat apabila perkataan `marcapada’ digantikan dengan maksud `dunia sekarang ini’ seperti yang berikut:
2(a) Dalam [dunia sekarang ini ] ini, gejala sosial semakin leluasa berlaku dalam kalangan remaja bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Menurut AsiaMaya.com, maksud marcapada adalah seperti yang berikut:
marcapada the earth, this world as opposed to heaven (in wayang stories) (kata tidak umum - not a common word)
Maksud yang dikemukakan ini hampir sama dengan maksud yang dikemukakan oleh Kamus Besar Indonesia, iaitu :
mar·ca·pa·da n dunia nyata (tempat makhluk hidup); bumi
Dengan maksud yang dikemukakan ini, ayat contoh yang sesuai ialah:
  1. Dalam era globalisasi ini, kita terpaksa hidup di marcapada yang panas.
  2. Dalam marcapada yang penuh dengan pancaroba, kita mestilah sentiasa bersedia untuk menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan kerana jika kita tidak sanggup dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.
  3. Tindakan ini yang dianggap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing akhirnya nanti akan memakan atau menikam diri sendiri apabila marcapada pada suatu hari nanti akan tenggelam sebagai akibat atau balasan kesan daripada ais yang semakin mencair apabila berlakunya banjir besar.
Dengan penjelasan yang agak lengkap ini, diharapkan semua guru dan pelajar dapat memahami penggunaan perkataan `marcapada’ dengan tepat dalam ayat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan