|
|
PERIBAHASA Melayu ada menyatakan bahawa 'ada padi masak, adalah pipit'. Dengan kemakmuran ekonomi dan kestabilan politik negara ini, puluhan ribu warga asing datang ke Malaysia bertujuan untuk mencari rezeki dalam pelbagai sektor pekerjaan. Pada tahun 2008, 9.7 peratus daripada 10,889,500 tenaga buruh di Malaysia adalah warga asing.
Antara warga asing yang menjadikan Malaysia sebagai 'rumah kedua' demi memastikan survival ialah warga Indonesia. Dalam sektor pekerjaan pembantu rumah atau amah sahaja, setiap bulan sejumlah 3,000 pembantu rumah dihantar ke Malaysia melalui agensi pekerjaan. Sehingga kini terdapat 300,000 wanita Indonesia bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia.
Beribu-ribu warga Indonesia telah berjaya meningkatkan taraf hidup diri dan keluarga di kampung halaman hasil pekerjaan sebagai pembantu rumah di Malaysia. Namun, jarang sekali peranan dan sumbangan Malaysia dalam meningkatkan taraf ekonomi warga asing dihargai.
Suasana tersebut mungkin berakhir kerana kerajaan Indonesia mengambil keputusan mengarah agensi-agensi pekerjaan republik itu menghentikan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia berkuat kuasa serta-merta. Keputusan ini diambil atas alasan kerajaan Indonesia menerima banyak aduan pembantu rumah warga Indonesia didera majikan dan tidak dibayar gaji.
Keputusan tersebut dipercayai akan membawa lebih banyak masalah kepada Indonesia. Ini adalah kerana jumlah warga Indonesia yang mendaftarkan diri untuk ke Malaysia terus meningkat. Kadar pengangguran yang tinggi di Indonesia adalah salah satu punca yang menyebabkan ramai warga Indonesia berhijrah ke Malaysia.
Biarpun keputusan tersebut seolah-olah menidakkan segala faedah ekonomi yang selama ini dikecapi warga Indonesia di bumi Malaysia, keputusan tersebut perlu dilihat dari sudut positif. Atas semangat setiakawan kita merakamkan penghargaan kepada semua pembantu rumah Indonesia yang sekian lama menabur bakti di Malaysia.
Sama ada keputusan menghentikan penghantaran pembantu rumah Indonesia diteruskan atau ditarik balik bukan lagi persoalan besar. Kita perlu melihat tindakan kerajaan Indonesia sebagai peluang dan bukannya ancaman. Dengan kata lain, sudah sampai masanya kerajaan Malaysia meningkatkan daya tarikan kerja sebagai pembantu rumah untuk menarik minat rakyat tempatan.
Rancangan kerajaan untuk mencari pembantu rumah dari negara lain selain Indonesia seharusnya menjadi langkah jangka pendek untuk mengisi kekosongan. Kebanjiran warga asing diakui membantu negara mengatasi masalah kekurangan pekerja serta membantu mencapai kadar pertumbuhan ekonomi. Namun ia turut membawa beberapa masalah sosial yang rumit.
Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 10 Julai 2009, melaporkan bahawa kadar pengangguran di Malaysia dijangka meningkat pada tahun ini iaitu sebanyak 4.5 peratus berbanding tahun 2008 sebanyak 3.7 peratus. Untuk mengurangkan kadar pengangguran serta kebergantungan terhadap buruh asing, rakyat tempatan perlu bersikap tidak memilih pekerjaan.
Dengan mengambil kira masalah yang berkaitan dengan pembantu rumah asing yang tidak pernah reda, Kementerian Sumber Manusia disarankan agar mengambil tindakan-tindakan yang mampu menaikkan imej kerja sebagai pembantu rumah demi menarik minat rakyat tempatan.
Persepsi rakyat tempatan bahawa kerja sebagai pembantu rumah mempunyai status yang rendah dan tidak mempunyai masa depan perlu segera diubah. Ini boleh dilakukan jika kerja sebagai pembantu rumah distruktur semula menjadi kerjaya yang menarik.
Biarpun Kementerian Sumber Manusia belum mempunyai sebarang rancangan yang khusus bagi melatih rakyat tempatan menjadi pembantu rumah di negara sendiri, diharapkan ada pihak yang mampu mengerakkan inisiatif untuk 'memodenkan' kerja sebagai pembantu rumah.
Alasan bahawa wanita tempatan kurang berminat bekerja sebagai pembantu rumah biarpun ada kebenarannya, ia tidak boleh terus dijadikan alasan untuk bergantung kepada warga asing sebagai pembantu rumah. Persatuan Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) yang dianggotai oleh 350 agensi boleh mengorak langkah menyediakan kertas cadangan untuk pertimbangan pihak kerajaan.
Untuk menjadikan kerja sebagai pembantu rumah satu kerjaya, kita perlu bersedia untuk menawarkan latihan formal yang berkaitan serta mewujudkan kelulusan atau kelayakan asas. Kerajaan melalui institusi pengajian yang ada boleh merangka pengajian formal di bidang pengurusan rumah tangga sekurang-kurangnya di peringkat sijil.
Begitu juga dengan penggubalan skim-skim perkhidmatan sebagai pembantu rumah yang menarik, sistem ganjaran yang menarik, peluang kenaikan pangkat, pembangunan kerjaya serta mewujudkan imej yang lebih positif terhadap kerja sebagai pembantu rumah.
Perkataan 'pembantu rumah' itu sendiri perlu diubah agar lebih kontemporari sesuai dengan peredaran masa. Nama-nama seperti 'pembantu takbir rumah tangga', 'pegawai urusan keluarga' atau 'pengurus rumah tangga' bukan sahaja lebih digemari malahan memberikan imej yang lebih positif.
Ada pihak yang berpendapat adalah sukar untuk mengawasi sebarang peraturan yang berkaitan dengan penggunaan pembantu rumah memandangkan mereka bekerja dengan keluarga yang merupakan institusi tidak formal.
Ia adalah isu yang boleh diselesaikan. Kita perlu keluar daripada kebiasaan bahawa tugas pembantu rumah memerlukan mereka untuk tinggal bersama-sama dengan majikan. Tidak mustahil bagi pembantu rumah untuk bekerja mengikut waktu pejabat seperti juga kakitangan organisasi formal. Ini bermakna agensi pembantu rumah harus bertindak sebagai majikan kepada pembantu rumah.
Pembantu rumah sebagai kakitangan sepenuh masa kepada agensi perkhidmatan pembantu rumah, bertugas menyediakan perkhidmatan mengurus hal ehwal rumah tangga kepada pelanggan-pelanggan agensi berdasarkan spesifikasi tugas yang piawai.
Mereka juga seperti golongan pekerja yang lain, pergi ke pejabat (rumah pelanggan) di waktu pagi, mengurus rumah tangga berkenaan dan pulang di waktu petang.
Perkhidmatan-perkhidmatan sampingan yang memerlukan kerja lebih masa di sebelah malam atau hujung minggu adalah bergantung kepada permintaan tetapi ada hadnya. Ia akan memastikan sempadan tanggungjawab dan akauntabiliti yang lebih jelas di antara agensi pembantu rumah, pembantu rumah dan pelanggan mereka.
Jika pelanggan tidak berpuas hati, mereka boleh memohon untuk menukar pembantu rumah. Jika keadaan ini boleh diwujudkan, pembantu rumah juga akan kurang mengalami tekanan yang berpunca daripada bebanan tugas dan mempunyai masa rehat yang mencukupi.
Ia akan turut membawa kesan positif dari segi tanggungjawab ibu bapa terhadap keluarga. Tidak boleh dinafikan kebergantungan yang keterlaluan terhadap pembantu rumah boleh menimbulkan suasana rumah tangga yang 'huru-hara' apabila pembantu rumah berhenti, jatuh sakit atau lari.
Ibu bapa zaman moden perlu sedar, ada tugas yang perlu dilaksanakan oleh pembantu rumah dan ada tugas-tugas yang mereka sendiri perlu laksanakan. Akibat terlalu bergantung kepada pembantu rumah, tidak hairanlah baru-baru ini ada pihak yang tidak bersetuju agar pembantu rumah diberikan cuti sehari seminggu.
Dimensi baru kerja sebagai pembantu rumah seperti yang disarankan bukan sahaja mampu memperbaiki nasib pembantu-pembantu rumah secara keseluruhannya tetapi juga memelihara kepentingan pelanggan.
Agensi pembantu rumah tempatan juga akan menikmati perniagaan yang besar pasarannya dengan sistem pengurusan yang lebih berkesan. Rakyat tempatan akan lebih bersedia untuk menjadikan 'jawatan' pembantu rumah sebagai kerjaya. Ia sudah tentu akan membantu negara mencapai guna tenaga penuh, mengurangkan kebergantungan terhadap warga asing, mengurangkan masalah sosial dan jenayah yang dilakukan warga asing dan mengurangkan pengaliran keluar Ringgit Malaysia.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara Perlis
Sumber : //http: www. com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan