ESOK Kabinet dijangka mengumumkan keputusan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
Dasar itu penting untuk menentukan masa depan pendidikan negara dan sejauh mana persediaan rakyat untuk menembusi 'pagar' globalisasi menerusi penguasaan bahasa asing.
Sememangnya cabaran utama pelaksanaan PPSMI adalah penghayatan konsep 'bahasa jiwa bangsa versus tuntutan bahasa globalisasi'.
Itu dilema PPSMI. Matlamat dasar itu diperkenalkan menerusi keputusan Kabinet pada 19 Julai 2002 sangat relevan.
Globalisasi membuka pintu saingan dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk pendidikan dengan luas.
Salah satu cara untuk menembusi cabaran itu adalah menerusi penguasaan bahasa Inggeris yang diguna pakai secara meluas di serata dunia.
Mekanismenya adalah sistem pendidikan - yang pasti melibatkan mata pelajaran penting di mana para pelajar mahu tidak mahu akan bersungguh-sungguh menguasai bahasa Inggeris untuk memastikan mereka lulus.
Sebab itu mata pelajaran Sains dan Matematik menjadi pilihan. Faktor utama, kedua-dua mata pelajaran adalah sumber ilmu yang berkait rapat dengan globalisasi.
Menggunakan bahasa Inggeris tentunya memudahkan penguasaan ilmu yang kelak diguna pakai untuk menembusi cabaran hebat dunia globalisasi.
Oleh kerana penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat negara ini masih rendah, maka PPSMI dilihat sebagai mekanisme terbaik untuk memperbaiki keadaan itu.
Ini kerana sekadar memberi galakan tidak mencukupi terutama di kalangan murid luar bandar yang tidak terdedah kepada persekitaran berbahasa Inggeris.
Tanpa 'paksaan', pelajar-pelajar luar bandar tidak akan terdorong untuk menguasai bahasa Inggeris sekali gus usaha untuk menguasai bahasa tersebut akan diperlekehkan.
Namun PPSMI yang menjadi platform untuk membentuk kumpulan rakyat yang fasih berbahasa Inggeris dan mampu meraih ilmu moden berhadapan dengan cabaran lain yang lebih besar.
Guru-guru yang mengajar kedua-dua mata pelajaran tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik menyebabkan proses pengajaran tidak dapat dilangsungkan secara cekap dan berkesan.
Masalah kekurangan tenaga pengajar paling parah di kawasan luar bandar dan pedalaman. Sedangkan murid-murid di sana amat rendah penguasaan bahasa Inggerisnya. Mereka tidak ada kemudahan kelas tambahan. Pusat-pusat tuisyen tidak bercambah di kawasan itu.
Kekurangan itu menyebabkan PPSMI yang diakui besar manfaatnya tidak dapat dilaksanakan secara berkesan di kawasan luar bandar.
Kajian pihak tertentu untuk menilai tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru-guru sains dan matematik menunjukkan peratusan yang kurang memberangsangkan.
Lebih merunsingkan apabila ada kalangan guru-guru berkenaan yang tidak mencapai kredit dalam bahasa Inggeris di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.
Tentunya dapatan kajian pihak tertentu itu menimbulkan kebimbangan tentang masa depan murid-murid yang dibimbing oleh guru kategori berkenaan. Ditakuti Sains dan Matematik diajar menggunakan bahasa bercampur-aduk iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Tetapi sampai masa peperiksaan, pelajar terpaksa menggunakan bahasa Inggeris.
Akan timbul kecelaruan ketika menjawab sehingga memberi kesan kepada keputusan peperiksaan. Dalam hubungan ini, keputusan peperiksaan utama selepas genap enam tahun PPSMI dilaksanakan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik menunjukkan penurunan.
Bagi mata pelajaran Sains, pencapaian dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mencatatkan penurunan ketara dan yang terendah berbanding pencapaian pada 2003 hingga 2007. Keputusan yang sama dicatatkan bagi mata pelajaran Matematik.
Selain masalah guru-guru yang belum bersedia mengajar kedua-dua mata pelajaran dalam bahasa Inggeris, cabaran lain PPSMI adalah kebimbangan dasar tersebut akan membunuh Bahasa Kebangsaan.
Banyak pihak resah apabila PPSMI dipersetujui. Mereka memegang kepada Perlembagaan dan Laporan Razak yang menetapkan bahasa Melayu adalah segala-galanya dalam bidang pendidikan.
Apatah lagi beberapa dasar menyusul selepas itu bertujuan memperkasakan bahasa Melayu bukan sahaja dalam bidang pendidikan malah merangkumi perundangan, pentadbiran dan ekonomi.
Lebih daripada itu, suara-suara yang menyanggah PPSMI membangkitkan perihal Akta Bahasa Kebangsaan 1967 yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal dalam bidang pendidikan.
Pihak yang membantah melihat PPSMI bercanggah dengan dasar kerajaan sebelum 2002 sehingga ke satu peringkat mereka percaya bahawa bahasa kebangsaan akan terpinggir akibat PPSMI.
Sememangnya sukar hendak dibentangkan hujah-hujah bahawa bahasa Melayu akan terus menduduki takhtanya walaupun PPSMI diteruskan.
Di situ satu lagi dilema PPSMI - apabila banyak pihak menyokong lantaran sedar manfaatnya bukan sedikit - banyak juga yang menentang kerana bimbang bahasa Melayu terpinggir.
Dan untuk menyediakan jawapan yang memuaskan kedua-dua pihak tentunya tidak mudah kerana masing-masing bertegas untuk tidak menerima apa juga alasan yang dikemukakan.
Berkumandang juga sejarah penguasaan ilmu yang membentuk tamadun awal dunia seperti tamadun Islam dan Yunani.
Kecemerlangan tamadun-tamadun hingga mencapai taraf yang tinggi dicipta menerusi bahasanya sendiri. Tamadun Islam satu ketika dulu begitu terserlah sehingga mampu menyebarluaskan bahasa Arab itu ke seluruh dunia.
Begitu juga bangsa-bangsa lain yang mencapai taraf negara maju menggunakan bahasa ibundanya sendiri seperti Jepun, Perancis, Korea dan Jerman. Betapa kedua-dua mata pelajaran di negara-negara seperti itu tidak diajar dalam bahasa Inggeris tetapi mereka mampu bangkit mencipta sejarah tersendiri. Tradisi mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda di negara-negara berkenaan berlangsung sehingga ke hari ini.
Hujah-hujah tersebut dibentangkan satu per satu oleh kumpulan yang menentang PPSMI. Mereka percaya tidak salah berkiblatkan Jepun, Perancis atau Korea untuk 'menceroboh' dunia globalisasi.
Apa pun hujah kedua-dua pihak, terpikul di bahu Kementerian Pelajaran untuk memastikan keputusan yang akan diumumkan esok menguntungkan semua pihak.
Menolak PPSMI maknanya mengorbankan tempoh percubaan selama enam tahun yang sedikit sebanyak telah menampakkan hasilnya biarpun tidak menyeluruh.
Mengetepikan PPSMI juga bermakna segala persediaan dan prasarana yang diusahakan enam tahun lalu perlu menjalani pengubahsuaian semula.
Buku-buku teks dan persiapan minda pelajar serta ibu bapa yang telah dipupuk untuk mempercayai bahawa sains dan matematik mesti dipelajari dalam bahasa Inggeris juga terpaksa disusun semula.
Jika itu pilihan kerajaan, maka satu kaedah lain untuk memperkasakan bahasa Inggeris terutama dari segi penguasaannya di kalangan pelajar mesti dilaksanakan. Bahasa Inggeris tidak boleh ditolak mentah-mentah. Manfaat bahasa itu amat luas dan usaha untuk memastikan pelajar-pelajar menguasai bahasa tersebut pada tahap yang terpuji perlu terus digerakkan.
Hakikatnya jika PPSMI dirombak ia bukan bermakna kemenangan kepada satu pihak. Ia mesti memberi kemenangan kepada semua. Begitu juga jika PPSMI diteruskan. Ia bukan bertujuan mendaulatkan bahasa globalisasi tetapi ke arah mempersiapsediakan rakyat untuk berhadapan dengan cabaran yang tidak berkesudahan.
Sumber : http://www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan