Khamis, 2 Julai 2009

KAITAN SAMPAH DENGAN CARA HIDUP

Oleh ABU BAKAR YANG

HIDUP dikelilingi oleh sampah memang tidak menyenangkan. Tetapi hakikatnya, hidup kita sering 'diwarnai' oleh beraneka jenis sampah-sarap.

Manusia membuang sampah tidak kira tempat. Natijahnya, sampah ada di mana-mana. Ia disebabkan oleh sikap sesetengah daripada kita yang gemar membuang sampah di merata-rata tempat.

Munculnya sampah dalam kehidupan disebabkan adanya aktiviti atau tindakan manusia itu sendiri.

Penulis ingin mendefinisikan sampah sebagai simbol masyarakat. Sebagai simbol, ia memiliki nilai makna yang luas, baik daripada segi kebendaan mahupun sosial.

Pertama, sampah sebagai tahap kepenggunaan seseorang.

Jumlah sampah boleh dirujuk sebagai petunjuk mengenai banyaknya penggunaan seseorang. Begitu juga dengan jenis sampah. Jenis sampah memberi gambaran mengenai budaya dan pola kitaran hidup seseorang itu.

Jenis sampah di kawasan perumahan pastinya berbeza dengan sampah di kawasan industri. Begitu juga jenis sampah yang dibuang dari rumah bujang, ia berbeza daripada sampah yang dihasilkan dari rumah yang didiami oleh keluarga.

Kedua, sampah sebagai simbol gaya hidup individu atau masyarakat.

Ini lebih berkaitan dengan kesihatan, iaitu sama ada gaya hidup sihat atau sebaliknya. Rata-rata sampah dikaitkan dengan kekotoran. Sampah itu kotor, sampah boleh mendatangkan penyakit, sampah busuk, sampah menyakitkan mata dan seribu satu macam keburukan sampah.

Corak pemikiran itu akan menegaskan bahawa sampah adalah simbol kepada gaya hidup, sama ada boleh digelar seorang pengotor atau pembersih berdasarkan gaya menguruskan sampah di sekitarnya.

Di Malaysia, urusan tadbir sampah masih tidak memuaskan. Ia masih dilihat sebagai tanggungjawab kumpulan tertentu dan bukan tanggungjawab bersama seluruh ahli masyarakat berbanding sikap penduduk di negara maju.

Memang benar, ada yang kerjanya mengutip dan membersihkan sampah tetapi mereka tidak bertugas di semua kawasan.

Mereka tidak dibayar untuk mengutip sampah sehingga ke dalam rumah atau halaman rumah kita. Urusan selebihnya sebenarnya terletak di bahu kita semua.

Sekiranya kesedaran mengenai kebersihan tinggi, maka bersihlah persekitaran kita. Namun tahap kesedaran yang tinggi masih belum wujud dalam gaya hidup masyarakat Malaysia ini.

Ketiga, keberkesanan menguruskan sampah-sarap.

Di Malaysia, purata setiap penduduk bandar menyumbang sekurang-kurangnya 1.5 kilogram sampah sehari berbanding 0.8 kilogram bagi penduduk luar bandar.

Berdasarkan statistik itu, jumlah sampah di bandar-bandar utama di negara ini ialah sekitar 18,000 tan metrik! Ia terus meningkat saban tahun.

Mungkin tidak keterlaluan jika kita mengambil iktibar daripada peristiwa runtuhan sampah di kawasan setinggan Leuwigajah di Bandung, Indonesia pada 21 Februari 2005.

Runtuhan sampah dari tempat pembuangan sampah di kawasan itu yang menimbus kawasan setinggan tersebut telah mengorbankan lebih 100 nyawa. Ia merupakan satu tragedi.

Mungkin kejadian itu boleh memberi pengajaran kepada kita bahawa pengurusan sampah bukanlah satu perkara yang boleh dipandang dengan sebelah mata. Tanpa pengurusan yang baik dan tersusun maka nyawa menjadi taruhannya.

Sementara itu, lihat sahaja kepada masalah denggi di negara ini. Sampah merupakan penyebab utama pembiakan nyamuk aedes, punca demam denggi tersebut. Aedes membiak di dalam air bertakung dan biasanya di kawasan yang banyak sampah-sarap.

Keempat, sampah sebagai cabaran keilmuan dan peluang kewangan kepada golongan yang kreatif.

Sejak kebelakangan ini, sampah telah bertukar sebagai sumber rezeki kepada golongan yang tahu memanfaatkannya. Teknologi terkini mampu menukar sampah dan najis kepada baja untuk pertanian dan penghasilan gas untuk penjanaan kuasa.

Dengan kata lain, sedikit daya pemikiran kreatif yang dibantu oleh teknologi telah memindahkan status sampah kepada bahan berfaedah untuk manusia.

Kini sudah ada pula teknologi untuk mengitar semula sampah untuk dijadikan pelbagai bahan bermutu yang dapat diguna semula.

Perkembangan sebegini memperlihatkan kepada kita bahawa masyarakat yang berilmu dan produktif akan menganggap sampah sebagai satu cabaran dan peluang. Bahkan kepada yang kreatif berupaya pula menjadikan sampah itu sebagai sumber ekonomi.

Ini bermakna apabila sampah ditakrifkan sebagai takdir terakhir untuk satu perjalanan penggunaan kebendaan, maka perkembangan intelektual keilmuan kita akan menjadi beku dan jumud.

Kelima, bagaimana untuk "mengupayakan" sampah menjadi sesuatu yang positif dan bukannya satu konflik.

Kita tidak mahu sebagai satu simbol masyarakat, sampah dilihat sebagai penunjuk gaya kepenggunaan yang keterlaluan selain memaparkan imej pengotor ahli masyarakat kerana ia adalah sesuatu yang tidak sihat.

Oleh itu, kita perlu berhemah dalam berbelanja dan memastikan tahap kepenggunaan kita tidak keterlaluan. Dalam hal ini, sampah juga perlu diuruskan secara berhemah. Jadikan kebersihan sebagai satu daripada keutamaan hidup kita.

Namun kesimpulan mudah terhadap gaya hidup masyarakat kita ialah kita baru sampai kepada tahap teknologi "buang" dan belum berupaya sepenuhnya untuk sampai ke tahap teknologi "mengupayakan" sampah sebagai bahan kitar semula dan menjadi komoditi.

Konflik berpanjangan antara "ya" ataupun "tidak" di kalangan ahli masyarakat terhadap teknologi pelupusan sampah adalah antara beberapa episod yang menggambarkan tahap pencapaian teknologi "buang" yang dimaksudkan.

Masyarakat kita belum sampai ke peringkat "urus tadbir" sampah secara sewajarnya.

Namun ia bukan sesuatu yang mustahil kerana jika ada kesedaran, kita semua mampu melakukannya. Kewajarannya terletak kepada kesedaran dan kerjasama menyeluruh daripada semua lapisan masyarakat.

Kita boleh menangani masalah sampah ini sekiranya kita mahu. Jangan hanya mengharapkan orang lain, kesedaran dan tindakan perlu bermula daripada kita sendiri. Kita mesti bijak menguruskan sampah.

PENULIS ialah Felo, Pusat Sains dan Teknologi,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan