CABARAN PENGURUSAN KRISIS H1N1
JIKA ditanya kementerian manakah paling sibuk sekarang ini, jawapannya tentulah Kementerian Kesihatan. Ini berikutan penularan virus influenza A (H1N1) di negara ini.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan pandemik ini telah melanda lebih 170 negara. Ia menganggarkan seramai lima juta atau 20 peratus rakyat Malaysia berisiko dijangkiti virus maut tersebut.
Secara congakan mudah, setiap seorang daripada lima rakyat Malaysia berkemungkinan mendapat virus tersebut.
Walaupun kita tidak sepatutnya mempertikaikan kewibawaan Kementerian Kesihatan, namun apabila berdepan dengan situasi genting sebegini, sesiapapun akan merasa tidak tenteram biarpun dijanjikan pelbagai jaminan keselamatan.
Selain menyebabkan masyarakat berada dalam kegusaran, wabak ini juga merupakan satu ujian ke atas sistem pengurusan krisis penyakit Malaysia. Sebenarnya ini bukan kali pertama negara berdepan dengan situasi sebegini. Kita sebelum ini pernah menghadapi wabak Nipah Encephalitis, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan selesema burung.
Namun sistem pengurusan krisis penyakit yang diamalkan oleh Malaysia berjaya mengendalikan wabak-wabak tersebut. Malah WHO sendiri pernah mengiktiraf sistem pengurusan penyakit Malaysia lebih teratur berbanding beberapa negara jiran dalam menangani ketiga-tiga wabak itu.
Memandangkan wabak Influenza A ini masih belum dapat ditangani, ia turut menjadi cabaran baru kepada sistem pengurusan krisis sedia ada.
Selain daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis [The Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC)] yang diwujudkan pada Mei 2007, pihak berkuasa juga membuka bilik gerakan H1N1 selain menubuhkan Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Untuk Menangani Wabak H1N1 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri.
Jadi kewibawaan dan reputasi sistem pengurusan penyakit yang sebelum ini diiktiraf oleh WHO sekali lagi akan dinilai oleh semua pihak berdasarkan kepada keberkesanan dan kecekapannya dalam mengurus wabak.
Daripada segi sejarah, kerajaan di semua peringkat telah memainkan peranan besar dalam pengurusan krisis. Sebagai contoh perkhidmatan-perkhidmatan yang bersifat mendesak seperti pasukan bomba atau polis merupakan satu bentuk kemudahan yang perlu diwujudkan oleh kerajaan dalam menangani sesuatu krisis.
Berbeza dengan pengurusan risiko yang lebih menjurus kepada usaha menilai ancaman yang mungkin berlaku dan mengenal pasti cara yang terbaik untuk mengelak risiko-risiko terbabit, pengurusan krisis melibatkan usaha mengurus sesuatu yang tidak diingini (sama ada bencana, wabak penyakit, krisis kewangan atau ekonomi dan sebagainya) selepas ia berlaku. Ia merupakan satu bidang disiplin pengurusan.
Secara amnya pengurusan krisis bermula dari detik pertama sesuatu situasi genting itu berlaku sehinggalah kepada saat ia dapat dipulihkan.
Selain kaedah yang diguna pakai oleh sesebuah kerajaan atau organisasi mahupun agensi untuk menangani permasalahan tadi, unsur komunikasi adalah antara unsur terpenting yang perlu ada di dalam mana-mana sistem pengurusan krisis. Malah dikatakan antara kejayaan sesuatu sistem pengurusan krisis ialah dengan melaksanakan satu komunikasi yang bersifat terbuka dan konsisten.
Namun dalam kes H1NI kita dapati ada kalanya wujud percanggahan antara arahan pihak kementerian dengan pengamal perubatan dan juga orang awam.
Berdasarkan rungutan orang ramai di media massa, ada pengamal perubatan yang tidak berbuat demikian walaupun pesakit mendakwa pernah berhubungan dengan mereka yang dijangkiti virus tersebut.
Begitu juga dengan saranan supaya orang ramai memakai penutup hidung dan mulut serta mengelak sebarang perhimpunan di tempat awam. Masih ramai yang tidak mengendahkannya malah ada peniaga yang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan menjual penutup hidung dan mulut pada harga yang keterlaluan.
Apa pun bagi memastikan sesuatu pengurusan krisis ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, kerjasama daripada semua pihak adalah penting.
Dalam kes H1N1, adalah tidak wajar untuk kita saling tuding menuding jari mencari kesalahan dan mengambil kesempatan daripada situasi yang berlaku. Sepatutnya kita perlu menjalankan peranan masing-masing bagi memastikan wabak ini dapat di atasi dan situasi akan pulih seperti sedia kala.
Apa yang penting juga setiap daripada kita mengamalkan sikap kebersihan selain mengamal langkah berjaga-jaga.
Aspek kebersihan adalah satu langkah awal pencegahan penyakit. Inilah juga yang sebenarnya ingin diajar oleh ajaran Islam kepada penganutnya. Manifestasi ini jelas wujud di dalam konsep "taharah" atau bersuci di mana kebersihan adalah prasyarat utama kepada penerimaan amal ibadat yang kita lakukan kepada Allah SWT.
Namun dalam banyak keadaan kita gagal mengamalkannya di luar lingkungan ibadat sedangkan konsep tadi sepatutnya diamalkan di dalam kehidupan seharian. Akhirnya perkara-perkara asas pengurusan diri seperti sentiasa mencuci tangan dan menjaga kebersihan terpaksa diberitahu semula dalam bentuk kempen-kempen yang sudah tentunya melibatkan kos yang digunakan daripada cukai yang kita sendiri bayar kepada kerajaan!
PENULIS ialah Felo Pusat Ekonomi dan Kajian
Sosial, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan