Jumaat, 14 Ogos 2009

Lima pendekatan bina budaya inovatif Malaysia

Oleh Dr Zaini Ujang
zaini@utm.my

DALAM satu pertemuan dengan tokoh korporat minggu lalu, persoalan memantapkan kerjasama ilmuwan dan industri untuk membantu kerajaan merealisasikan model baru ekonomi berasaskan kreativiti dan inovasi dibincangkan. Antara andaiannya ialah ekosistem inovasi rendah ketika ini menyebabkan kita sukar membudayakan inovasi dalam sektor awam dan swasta ke tahap membolehkan Malaysia menjadi penyumbang kepada teknologi, modal insan dan perkhidmatan nilai tinggi.

Sejak 1990-an, perkembangan pesat berlaku dalam sektor industri dan perkhidmatan, namun realitinya sebahagian besar teknologi, perisian dan peralatan canggih diimport. Itulah kaedah paling mudah dengan risiko paling minimum dari segi teknikal dan kewangannya.

Keadaan itu perlu dibendung kerana pergantungan kepada kepakaran asing tidak membolehkan Malaysia membina ekosistem inovasi seperti disebutkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Selain itu, pergantungan berkenaan menafikan fungsi saintis dan pemaju teknologi tempatan yang membangunkan prototaip dan reka cipta yang sedia dikomersialkan.

Tidak dinafikan sesuatu produk pertama banyak kelemahannya. Tetapi dengan usaha dan pembaikan dan inovasi berterusan, selepas dipasarkan, maka ia dapat diperbaiki secara berterusan. Ia relevan kepada semua produk, termasuk perisian Microsoft yang juga standard perisian pemprosesan kata ketika ini.

Inovasi tidak terhad kepada komuniti saintifik, seni, kelompok profesional dan berpendidikan tinggi. Istilah yang akar katanya berasal daripada bahasa Latin 'innovare' yang bererti 'mengubah, memperbaharui' itu berkait rapat dengan aktiviti merekacipta sesuatu karya, peralatan, kemudahan, perisian, sistem atau idea. Inovasi sebenarnya boleh dilakukan sesiapa saja dengan syarat mereka berani.

Menerusi konsep 1Malaysia, budaya inovasi diberi keutamaan sebagai satu daripada nilai aspirasi masyarakat Malaysia. Dengan kata lain, semua pihak perlu memahami dan mencari kaedah melakukan inovasi dalam kehidupan harian dan berkerjaya. Sementara peranan agensi seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), pada hemat saya menyediakan ekosistem inovasi lebih fokus menerusi rantaian nilai tinggi terhadap penciptaan produk, kaedah, sistem, perisian, pendekatan dan pemikiran baru.

Dalam Syarahan Perdana Naib Canselor UTM pada 11 Ogos lalu, berjudul 'Inovasi, Kreativiti, Inovasi,' saya mengemukakan lima pendekatan untuk membina budaya inovatif bagi meningkat daya saing Malaysia menerusi ekonomi nilai tinggi.

Pertama, mewujudkan kelompok teras di kalangan individu dan organisasi yang inovatif yang mempunyai semangat ingin maju bukan saja dari segi teknikal, saintifik atau seni bahkan digabungkan dalam bidang keusahawanan.

Kedua, menyediakan persekitaran akademik yang mementingkan kreativiti dan inovasi. Dalam konteks Amerika Syarikat, persekitaran ini dibentuk di persisiran kampus universiti, khususnya di universiti 'Ivy League' seperti Stanford, Harvard, UCLA dan MIT.

Ketiga, menyediakan insentif bagi sektor swasta khususnya untuk mencuba, memaju dan membangunkan produk, perkhidmatan, konsep, idea dan persekitaran yang inovatif sifatnya. Ia termasuk pelbagai insentif fiskal dan kewangan, serta modal teroka mereka dalam pelbagai bidang menerusi kegiatan penyelidikan dan pembangunan, terutama di persisiran kampus universiti.

Keempat, kemudahan kewangan yang disediakan oleh institusi kewangan dan sektor awam untuk menjana aktiviti hiliran yang berdaya maju, termasuk dalam aspek pembangunan mesin prototaip dan aktiviti pemasaran.

Kelima, keberanian pengguna sama ada di kalangan individu, sektor swasta dan awam untuk mencuba hasil inovasi baru, khususnya ciptaan tempatan. Di Jepun sebagai contoh, pengguna dan pihak industri berlumba-lumba dan bangga untuk menjadi pengeluar atau pengguna pertama sesuatu barang atau perkhidmatan yang inovatif.

Hal ini belum berlaku di Malaysia, termasuk agensi awam yang nampaknya lebih selesa menggunakan produk, sistem, perkhidmatan dan idea yang 'terbukti berkesan' dan digunakan dengan meluas sejak sekian lama, di serata tempat. Ini kononnya bagi memastikan pelaburan terjamin menerusi produk yang sudah meluas digunakan dan dipasarkan.

Prof Datuk Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

1 ulasan: