Sabtu, 29 Ogos 2009

Wacana

Oleh MUHAMMED SALLEHUDIN AMAN

SETIAP ayat yang dibina mempunyai satu tumpuan makna yang membentuk satu fokus pemikiran. Fokus pemikiran ini disebut wacana. Wacana ialah satu unit bahasa yang lengkap, yang melebihi batas ayat.

Dari segi tatatingkat tatabahasa, wacana terletak pada tingkat yang tertinggi selepas ayat, yakni bermula daripada “perkataan” di tingkat bawah kepada “frasa” (di tingkat kedua), kemudian “klausa”; selepas itu “ayat”, dan tingkat yang tertinggi “wacana”. Kedudukan ini diperjelas melalui rajah yang berikut:

Perkataan > Frasa > Klausa > Ayat > Wacana

Wacana boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian, dialog, bab, buku, siri buku dan sebagainya, yang memperlihatkan hubungan dan perkembangan fikiran secara berurutan serta lengkap. Sesuatu wacana, sama ada dalam bentuk lisan (pidato, khutbah), atau tulisan (surat, novel, cerpen, artikel) diujarkan/ditulis bagi tujuan menyampaikan sesuatu maklumat tentang sesuatu topik. Wacana bentuk tulisan ditulis dalam pelbagai bentuk, iaitu sama ada bentuk naratif (pemerian), deskriptif (penggambaran, eksposisi (pendedahan) atau penghujahan.

Sesuatu wacana yang utuh mempunyai dua ciri utama, iaitu kohesi (tautan) dan koheren (runtutan).

Kohesi bermaksud keserasian hubungan antara satu unsur linguistik dengan satu unsur linguistik yang lain. Keserasian hubungan ini, lazimnya, melalui hubungan antara satu perkataan, frasa atau ayat dengan perkataan, frasa atau ayat lain dalam wacana yang sama. Hal ini dijelaskan dalam ayat contoh yang berikut:

1. Pada waktu ini, abang dan kakak tinggal di bandar Kajang.

2. Sekarang, mereka tinggal di sana.

Kohesi antara ayat 1 dengan ayat 2 wujud melalui pertalian antara Pada waktu ini dengan Sekarang, abang dan kakak dengan mereka, dan di bandar Kajang dengan di sana.

Koheren atau runtutan pula merupakan kesinambungan idea yang terdapat dalam sesuatu wacana sehingga menjadikan teks itu bermakna. Contohnya:

Ekonomi Malaysia masih dalam keadaan gawat. Jelaslah, ekonomi kita masih belum betul-betul pulih. Harga komoditi kita masih rendah. Imbangan dagangan kita masih belum meningkat. Oleh itu, kita mesti menghadapi kenyataan ini dengan realistik. Kita tidak harus berbelanja lebih kerana keadaan ini.

Dalam contoh di atas, kesinambungan idea tentang keadaan ekonomi yang tidak menentu terjalin melalui perkataan dan frasa ekonomi Malaysia dalam ayat 1, belum betul-betul pulih dalam ayat 2, harga komoditi dalam ayat 3, imbangan dagangan dalam ayat 4, dan menghadapi kenyataan ini dalam ayat 5. Kelima-lima ayat dalam perenggan di atas menjadi koheren yang bermakna.

Untuk memahami ciri koheren dengan lebih jelas lagi, telitilah satu contoh lagi.

Sebutan berdasarkan ejaan dikenal juga sebagai sebutan fonemik.

Sebutan fonemik menegaskan bahawa pengucapan sesuatu bunyi itu menurut nilai bunyi yang dilambangkan oleh huruf atau grafem.

Prinsip ini berasaskan hakikat bahawa hampir setiap fonem dalam bahasa Melayu dilambangkan oleh sesuatu atau satu grafem yang mendukung satu nilai bunyi.

Dalam contoh di atas, koheren terjalin daripada sebutan berdasarkan ejaan dalam ayat 1, sebutan fonemik dan pengucapan sesuatu bunyi itu menurut nilai bunyi yang dilambangkan oleh huruf atau grafem dalam ayat 2, prinsip ini dan morfem dilambangkan oleh sesuatu atau satu grafem dalam ayat 3. Ketiga-tiga ayat dalam perenggan ini menjadi koheren yang bermakna.

Selain ciri kohesi dan koheren ini, terdapat juga ciri-ciri lain yang membantu menghasilkan wacana yang utuh, seperti tujuan sesuatu wacana, penerimaan oleh pendengar atau pembaca, maklumat yang terkandung, keadaan yang mewujudkan wacana dan peranan wacana.

Dalam bentuk tulisan, seperti surat kiriman, esei dan lain-lain, wacana yang utuh mempunyai tubuh, yakni format teks yang lengkap. Format teks itu mengandungi pendahuluan, tubuh (isi dengan jalinan bahasa yang mantap), penutup, dan unsur lain (yang melengkapkan wacana seperti graf, jadual, peta, statistik, dan sebagainya).

Begitulah huraian tentang wacana dalam berbahasa. Wacana begitu penting dalam menentukan kegramatisan bahasa.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan