KEGEMBIRAAN jelas terpancar di wajah lebih 518,000 calon yang menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang berakhir semalam (10 September 2009).
Ibu bapa juga risau memikirkan tentang masa depan anak-anak. Setelah memperuntukkan sejumlah besar gaji untuk membeli buku, membayar tuisyen, berkorban masa dan tenaga, maka pasti yang diharapkan ialah kejayaan anak-anak mendapat 5A nanti.
Apa pun, kejayaan sebenar bukan terletak pada cemerlang ujian dunia yang sementara ini. Ia tidak ubah sebagai alat untuk mencapai kejayaan di akhirat kelak.
Ibu bapa diingatkan agar tidak bersifat hipokrit, dengan melaksanakan pelbagai ketaatan di saat menjelang peperiksaan namun terhenti di situ setelah ia selesai dijalankan. Amalan terpuji seperti solat hajat, qiamullail, sering ke masjid, banyak bersedekah wajar diteruskan sebagai usaha mendekatkan diri kepada Ilahi. Selain itu, pergantungan dan harapan mutlak wajib disandarkan kepada Allah SWT agar segala usaha diberkati-Nya.
Hipokrit atau munafik bukan sifat mukmin. Perbuatan ingat Allah ketika susah, lupa ketika mengecapi kesenangan patut dijauhi kerana mengundang kemurkaan.
Allah SWT berfirman: "Dan apabila mereka dilambung ombak tinggi seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya. Maka tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai ke daratan, lalu sebahagian mereka tetap menempuh jalan yang lurus. Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat kami selain orang yang tidak setia lagi ingkar". (Surah Luqman:ayat 32)
Untuk itu, pelajar dan ibu bapa perlu memperbetulkan niat dan matlamat, berdasarkan objektif akhir mencapai al-falah. Kembalilah kepada akidah yang benar, menerima segala ketentuan di samping berusaha merubah dengan doa - senjata orang beriman.
Nabi Muhammad SAW bersabda: "Barang siapa yang inginkan dunia maka hendaklah dengan ilmu, barang siapa yang mendambakan akhirat hendaklah dengan ilmu dan barang siapa yang inginkan dunia dan akhirat hendaklah juga dengan ilmu."
Tempoh 10 hari terakhir Ramadan adalah tempoh kritikal. Mereka yang peka dengan ganjaran pengampunan dosa dan pahala menyamai 1,000 bulan dalam tempoh terhad itu pasti tidak melepaskan peluang dengan mempertingkatkan amalan.
Setiap mukmin perlu mempersiap diri dengan mengikhlaskan niat, berdoa dan melipatgandakan amalan supaya berjaya bertemu Lailatulqadar.
Nabi bersabda: "Barang siapa yang mendirikan malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan keinsafan, diampunkan dosa-dosa yang lalu dan yang mendatang."
Ganjaran besar ini boleh diraih dengan jihad puasa di siang hari dan menghidupkan malam dengan solat sunat, berzikir, i'tikaf di masjid dan membaca al-Quran terutama di malam-malam ganjil akhir Ramadan.
Sabda Nabi lagi: "Carilah lailatulqadar pada 10 terakhir Ramadan, sekiranya kamu tertewas sebelum itu, maka janganlah lagi gagal pada saki baki bulan itu."
Banyak hikmah apabila disembunyikan Lalilatulqadar. Antaranya supaya umat tidak malas dan memperuntukkan sebanyak-banyak masa untuk beribadah. Sama seperti mati yang dirahsiakan agar manusia takut dan bersedia menghadapi saat getir itu.
Ada pun tanda berlakunya Lailatulqadar agak sukar ditentukan. Contohnya bulan kelihatan terang benderang, suhu sederhana, tidak terlalu panas dan dingin, suasana tenang, matahari terbit di waktu pagi berwarna keputihan atau kemerah-merahan tanpa sinaran yang membakar.
Sebahagian ulama beranggapan, terdapat tanda berupa karamah, perkara luar biasa yang ditunjukkan kepada para wali dan hamba yang dekat dengan-Nya. Misalnya kelihatan semua makhluk sujud menyembah bumi dan cahaya berkilauan di serata tempat walaupun di kawasan gelap.
Namun demikian, tidak bermakna kegagalan mengenal pasti ketibaan Lailatulqadar menyebabkan seseorang terlepas ganjaran seumur hidup. Sesungguhnya rahmat Allah amat luas sehingga meliputi sesiapa sahaja yang bertepatan beribadah pada malam tersebut. Yang lebih penting seseorang perlu memurnikan niat, membersihkan hati daripada sifat dengki, ujub dan takbur, sebagai persediaan menemui malam pengharapan - Lailatulqadar.
PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.
Sumber : http : //www. utusan. com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan