Jumaat, 11 September 2009

ISU LAGU NEGARAKU

Lagu Terang Bulan bukan pemberian Indonesia kepada Malaysia

SAYA merujuk kepada petikan berita dalam Utusan Malaysia, Sabtu 5 September 2009 di laman Luar Negara dengan judul Terang Bulan diberi kepada Malaysia.

Saya ingin menyanggah kenyataan bahawa lagu tersebut milik Indonesia yang kononnya diberikan dengan ihsan Bung Karno melalui Saiful Bahri.

Meski pun lagu itu popular di Indonesia suatu ketika dulu yang dijadikan lagu pembukaan persembahan bangsawan, ia bukan milik Indonesia.

Lagu tersebut telah diciplak dari lagu asal ciptaan ahli muzik Perancis bernama Pierrr Jean de Beranger (1780-1857).

Karya-karya Beranger digunakan oleh Napoleon Bonaparte sebagai lagu-lagu march band untuk kempen ketenteraannya.

Ketika Sultan Abdullah dibuang ke Pulau Seychelles pada tahun 1876-1892, saban petang baginda dan puterinya Tengku Mariam akan bersiar-siar di padang awam di Mahe, Seychelles.

Di tengah-tengah padang itu, ada wakaf tempat brass band memainkan lagu-lagu march. Salah satu lagu yang dimainkan itu dirakam dalam memori Tengku Mariam yang juga seorang pemain biola.

Apabila mereka kembali pada tahun 1892, lagu itu kemudian diangkat menjadi lagu negeri Perak yang kemudiannya dalam satu pertandingan memilih lagu Kebangsaan Persekutuan Malaya sempena hari kemerdekaan, lagu negeri Perak dengan senikata baru telah memenangi pertandingan tersebut. Bagi 26 juta rakyat Malaysia, lagu kebangsaan itu dikenali sebagai Negaraku bukan Terang Bulan.

Semoga dua bangsa serumpun tidak terus bergaduh soal-soal sebegini sedangkan lagu itu bukan milik kedua-dua bangsa. Indonesia terus menghidupkan propaganda lapuk zaman konfrontasi-PKI untuk menangani isu-isu sosio-politik masa kini. Berhentilah menjadi abang tiri yang mencemburui adik tirinya.

Cubalah membina hubungan baik antara kedua-dua negara dan hubungan akrab antara kedua-dua bangsa serumpun. Jangan lupa, yang menjadi bangsa serumpun mempunyai banyak persamaan atau pun kemiripan dalam aspek budaya dan sosial.

TERANG BULAN

Kuala Lumpur

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan