TRAGEDI kehilangan dua batang jari yang dialami oleh seorang remaja di Marang, Terengganu akibat mercun kelmarin bukan perkara luar biasa. Ia adalah lanjutan, kesinambungan serta pertambahan jumlah kes ‘kerja kreatif’ anak-anak Melayu kita.
Asal tiba musim raya, pasti ada kes akibat kecederaan akibat bermain mercun – buatan sendiri. Kudung tangan, buta mata dan kecederaan kekal menjadi sinonim dengan musim perayaan.
Semakin dekat dengan raya semakin ramai yang cedera. Namun perkara seperti itu tidak berlaku sewaktu perayaan Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Krismas dan perayaan lain.
Sukar untuk difahami dan payah dicari sebabnya, kenapa sebaik sahaja bermula puasa, maka di sana sini akan terdengar dentuman mercun. Ia termasuk meriam buluh malah tangki minyak kenderaan pun dijadikan bahan letupan untuk bunyi yang lebih kuat.
Paling malang, bukan setakat ‘pencipta’ bahan letupan yang cedera tetapi orang yang tidak ada kena mengena juga sesekali menerima padahnya.
Walaupun penjualan mercun dilarang dan mereka yang terbabit membekalkannya boleh ditangkap, didakwa dan dihukum, namun gema letupan mercun masih kedengaran. Ia berbunyi seawal hari pertama puasa. Keadaan semakin membingitkan apabila semakin dekat hari raya.
Kekhusyukan bersolat sunat terawih boleh terganggu oleh bunyi dentuman mercun ini.
Maknanya dalam keadaan terdedah kepada kemungkinan ditangkap, didakwa dan dihukum, masih ada yang sanggup menanggung risiko. Mereka masih sanggup menyeludup, mengedar, membekal dan menjual mercun. Semuanya kerana keuntungan berlipat ganda.
Keadaan itu mungkin ditambah oleh sikap sesetengah ibu bapa yang tidak cuba memotivasikan anak masing-masing tentang bahaya bermain mercun. Apatah lagi jika menggunakan ‘kreativiti’ sendiri mencipta bahan letupan. Ia menyebabkan di kalangan anakanak menganggap dentuman mercun sebagai antara faktor yang boleh memeriahkan sambutan raya.
Keadaan itu tetap berlaku di negara ini walaupun ia bukan budaya Islam untuk menyambut Syawal.
Seharusnya kita perlu mendidik anak-anak agar mereka sedar bahawa apa yang dituntut oleh Islam ialah memperbanyakkan takbir dan tasbih sepanjang Ramadan dan ketika menyambut Syawal. Kita juga digalakkan saling kunjung-mengunjungi dan bermaaf-maafan.
Walaupun sambutan raya dengan letupan mercun dipopularkan oleh masyarakat Cina di negara ini, kaum itu mematuhi arahan kerajaan. Sekurang-kurangnya anak-anak mereka tidak bermain mercun buatan sendiri.
Adalah sesuatu yang pelik dan janggal apabila tradisi itu ‘dibuang’ oleh pemilik asalnya tetapi kini menjadi ‘warisan’ kepada orang Melayu beragama Islam.
Pada pendapat saya, usaha menjadikan negara ini “mercun sifar” mungkin boleh dilakukan jika hukuman lebih keras dan tegas dikenakan ke atas mereka yang terlibat.
Semua anggota masyarakat juga seharusnya bersama-sama membantu kerajaan membanteras penjualan mercun.
Jangan lagi berkompromi dengan pembekal dan peruncit mercun. Sekiranya ada maklumat, kita seharusnya segera melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Semoga kerjasama semua pihak akan mampu mengurang dan seterusnya memastikan tiada lagi yang menjadi mangsa mercun pada sambutan Ramadan dan Syawal di tahun-tahun mendatang.
Kota Bharu, Kelantan
Sumber : http: //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan