Jumaat, 25 September 2009

Pendekatan modular dilaksana tingkatkan pembelajaran BM

Oleh Khairina Yasin

KEMENTERIAN Pelajaran akan memperkenalkan pendekatan modular dalam Kurikulum Standard Bahasa Malaysia sebagai satu daripada strategi pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia (MBM) bermula 2012.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Sektor Dasar dan Pembangunan, Kementerian Pelajaran, Dr Haili Dolhan, berkata pendekatan itu satu daripada usaha penambahbaikan kurikulum sedia ada yang lebih menekankan konsep huraian sukatan pelajaran.

Menerusi pendekatan modular, katanya, kurikulum digubal dan disampaikan mengikut bahagian dan unit lengkap dengan gabungan pengetahuan, kemahiran dan nilai bersepadu yang seimbang serta holistik.

“Penambahbaikan ini dibuat bagi memastikan kurikulum BM di semua peringkat sekolah sentiasa relevan dan bersepadu bagi melahirkan insan seimbang.

“Ia juga satu mekanisme mantap, bestari dan berkesan bagi memastikan kedudukan BM sebagai bahasa kebangsaan dan pengantar di sekolah terus kukuh,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, tumpuan akan diberikan kepada murid prasekolah menerusi modul penguasaan asas berbahasa dimulai dengan pradengar, prabaca dan pratulis, selain mengenal abjad serta perkataan.

Katanya, modul itu bertujuan memastikan murid mendapat asas dan landasan kukuh untuk menguasai kemahiran berbahasa merangkumi kemahiran mendengar, menulis, membaca dan bertutur dalam BM dengan baik.

“Pelaksanaan secara berstruktur dan sistematik menerusi proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara berkesan diyakini dapat membantu murid memantapkan kefahaman dan penggunaan BM yang tepat.

“Setiap kemahiran akan didedahkan menerusi modul masing-masing yang dibangunkan menepati keperluan penguasaan BM murid,” katanya.

Selain itu, Haili berkata, elemen seni bahasa juga akan diketengahkan menerusi aplikasi kemahiran bahasa dan pendekatan didik hibur yang menyeronokkan.

Pendekatan didik hibur, katanya, akan dijelmakan menerusi penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi bagi mewujudkan proses P&P interaktif dan menyeronokkan.

“Malah elemen sastera BM kontemporari kepada murid tahap dua sekolah rendah juga akan diperkenalkan sejajar dengan pelaksanaan komponen sastera BM atau Komsas di sekolah menengah sejak tahun 2000,” katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan