Ibu bapa patut faham tanggungjawab sosial, akhlak terhadap anak diamanahkan Allah
PELBAGAI persoalan menerjah minda kita yang waras ini apabila terbaca pelbagai berita mengenai salah laku di kalangan pelajar atau remaja di negara ini.
Persoalan berkisar psikologi remaja, peranan ibu bapa, sistem pendidikan, fungsi kejiranan, tanggungjawab guru, peranan institusi agama, faktor teknologi dan bermacam-macam lagi. Sebenarnya persoalan ini berhubung kait antara satu sama lain. Dalam erti kata lain, merungkai satu persoalan saja tanpa menyelesaikan persoalan lain tetap tidak akan menyelesaikan masalah pokok.
Remaja mudah terjebak dengan aktiviti tidak sihat. Ia bukan perkara pelik atau perlu dihairankan. Sejak dulu, kajian dalam bidang psikologi menunjukkan pada peringkat remaja, mereka berada dalam keadaan ‘keliru dan tercari-cari’ dalam membentuk identiti sebenar.
Menurut teori perkembangan psikososial ahli psikologi Eric Ericson (1902-1994), pada peringkat ini ia dipanggil ‘stage of learning identity versus identity diffusion (Fidelity)’. Ini proses fitrah dalam mencapai kematangan.
Yang perlu kita hairan ialah apa yang dilakukan golongan dewasa yang kononnya matang, seperti ibu bapa, guru, keluarga, jiran, imam dan pemimpin masyarakat dalam membimbing golongan mentah ini mengharungi dengan selamat fasa kehidupan remaja yang penuh kekeliruan.
Jika golongan dewasa memainkan peranan dengan betul dan sempurna, mengapa masih berlaku kes salah laku remaja hari ini?
Mengambil contoh kes zina dan bunuh yang dilakukan remaja. Bunyinya seperti terlalu dahsyat kerana selama ini perspektif kita juga sudah diprogramkan untuk melihat jenayah ini ‘lebih lembut’ dengan penggunaan istilah seks bebas atau seks luar nikah dan buang bayi.
Kita ambil contoh kes yang kononnya untuk ‘membersihkan’ maruah diri, teman lelaki dan keluarganya; seorang remaja perempuan (penulis tukar namanya kepada XX) berusia 14 tahun membunuh anak yang dilahirkan dengan membuangnya dalam tong sampah. Mari kita buat analisis ringkas untuk melihat siapa yang ‘terbabit’ dalam kes ini.
XX tidak akan membunuh jika dia tidak melahirkan anak haram dan tidak mengandung anak haram jika tidak berzina dengan teman lelakinya (XY). XX dan XY tidak akan berzina jika mereka tidak berpacaran dan mereka tidak berpacaran jika mereka dibimbing dengan betul untuk menjawab kekeliruan mengenai cinta, perhubungan dan seks.
Perspektif XX dan XY mengenai perkara ini menjadi lebih kukuh dan diyakini jika guru membimbing dan mewujudkan budaya bebas cinta dan bukannya cinta bebas di sekolah melalui pelbagai program pembudayaan yang konsisten. Subjek Pendidikan Islam dan Moral sepatutnya diajar melangkaui skop akademik semata-mata.
Ia mesti dan sepatutnya menjadi sistem hidup pelajar. Prestasi subjek ini bukan disandarkan kepada jumlah A atau E dalam peperiksaan tetapi nilai akhlak, amalan dan jati diri pelajar. Dalam kelas, mereka diajar arak dan zina itu adalah dosa besar tetapi sekelip mata di luar kelas mereka melakukannya. Pelik!
Dalam iklim moral yang agak gawat ini, seharusnya setiap seorang guru tidak kira apa subjek yang diajar, mengambil tanggungjawab sosial setiap hari meluangkan masa tidak lebih lima minit pada awal masa mengajar untuk membina perspektif anak didik mengenai hakikat kehidupan.
Cuba kita kira, 5 minit X 6 waktu X 5 hari X 4 minggu bersamaan 10 jam sebulan. Penulis rasa itu adalah tempoh masa yang lebih daripada mencukupi untuk mendidik anak mengenai erti kehidupan. Kita tidak perlu buat silibus baru, tambah waktu persekolahan atau guru dan sebagainya. Cukup sekadar kesedaran, kemahuan dan komitmen setiap guru.
Dulu, guru juga yang ajar kita bahawa ‘sikit-sikit, lama-lama jadi bukit’ dan ‘ringan sama dijinjing, berat sama dipikul’. Soalnya adakah guru sekarang memahami apa yang diajar guru dulu?
Faktor guru sering bertukar sekolah juga ada kala menjadi punca usaha pembudayaan positif yang dilakukan terbantut sekerat jalan.
Selain itu, imam masjid perlu mengambil tanggungjawab penuh mengingat dan memberi pedoman praktikal kepada bapa khususnya melalui khutbah Jumaat supaya mereka tidak terlepas pandang membimbing dan memantau tumbesaran jiwa anak remaja mereka. Sehari pun kita tidak sanggup membiarkan perut anak kosong tetapi kenapa sanggup membiarkan mereka kosong minda, jiwa dan rohani sehingga dewasa?
Selain itu, ibu bapa tidak keterlaluan jika dikatakan seolah-olah buta hati apabila boleh mempercayai bulat-bulat yang anak mereka hanya menggunakan gajet tertentu untuk tujuan baik seperti belajar, cari maklumat tugasan sekolah, menghubungi kawan untuk perbincangan kerja sekolah dan hubungi ibu bapa apabila ada kecemasan. Sekarang dengan tersedia prasarana teknologi maya tanpa wayar berkelajuan tinggi, hanya satu klik mereka terdedah dengan pelbagai maklumat yang merosakkan.
Sebagai ibu bapa, seharusnya bijak menerangkan kepada anak mengenai keperluan memiliki gajet itu. Kita jangan mudah termakan dengan rengek anak hanya kerana kita sayangkan mereka.
Sayangkan anak bukan bermakna mesti berikan mereka segala-galanya. Sudah sampai masanya, sayangkan anak ada perkara yang tidak patut kita berikan. Bak kata pepatah ‘sayangkan anak tangan-tangankan’ yang bukan sekadar bermaksud denda atau rotan tapi mungkin juga bermaksud tidak boleh, tidak perlu atau jangan!
Kesimpulannya, jika semua pihak benar-benar sedar dan prihatin untuk tangani isu salah laku sosial di kalangan remaja maka langkah pertama yang boleh dan wajar dilakukan ialah menilai kembali apa fungsi terbaik yang boleh kita lakukan sebagai diri kita sendiri sekarang. Semua perlu bergandingan dan berhenti menuding jari.
Penulis adalah Pakar Perunding Motivasi
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan