Sabtu, 30 Oktober 2010

ISU ANTARABANGSA : Bencana berganda di Indonesia

DEBU Gunung Merapi melanda di sekitar Jalan Kaliurang menuju ke Gunung Merapi dan menyelubungi sehingga 10 kilometer dari bandar Yogyakarta.

Kesan kerosakan akibat tsunami di kepulauan Menatawai.

Oleh Hafizahril Hamid

KAMI bukan sahaja dikejutkan dengan kejadian tsunami malah bot yang kami naiki berlanggar dengan bot lain dan kemudian terbakar.

“Dalam keadaan cemas itu kami sangat bernasib baik kerana masih selamat walaupun terpaksa berada di permukaan laut selama berjam-jam,” kata Rob Marino dari Australia, salah seorang mangsa yang terselamat dalam kejadian tsunami yang melanda kepulauan Mentawai, Isnin lepas.

Kejadian tsunami tersebut berlaku akibat gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter dan berlaku 20 kilometer di bawah dasar laut.

Kejadian gempa itu yang berlaku kira-kira 78 kilometer ke barat Pagai Selatan di kepulauan Mentawai pada pukul 9.42, (10.42 malam waktu Malaysia) telah mencetuskan ombak tsunami setinggi tiga meter yang melanda perkampungan di beberapa buah pulau.

Kejadian gempa ini telah diikuti dengan sekurang-kurangnya 14 gegaran susulan dengan gempa terkuat pad 6.2 skala Richter.

Setakat ini sekurang-kurangnya lebih hampir 500 orang terbunuh sementara 200 lagi masih hilang manakala 200 rumah di 10 buah kampung dan sebuah resort pelancongan popular di kalangan peluncur ombak musnah akibat tsunami.

Menurut saksi, ombak besar telah menghempas bot nelayan dan rumah sebelum dihanyutkan sejauh setengah kilometer ke darat.

Pegawai pengurusan bencana, Harmensyah berkata, tsunami berlaku ketika berpuluh-puluh nelayan berada di laut dan mayat mereka ditemui terapung atau tersadai di pantai.

Pengasas SurfAid International, Dr. Dave Jenkins, pertubuhan kesihatan bukan berasas keuntungan yang mengendalikan pulau itu, menyatakan kemusnahan yang berlaku adalah lebih besar daripada apa yang dilaporkan.

Namun kali ini tindakan pantas telah berjaya mengawal keadaan dari menjadi lebih teruk. Kapal-kapal tentera laut yang sarat dengan ubat-ubatan dan makanan serta helikopter yang membawa pasukan penyelamat telah bergegas ke rangkaian pulau tersebut.

Bagaimanapun ombak bergelora dan cuaca buruk menjejaskan operasi menyelamat, memaksa penduduk kampung mengusahakan perkara keperluan secara sendiri selama hampir dua hari.

Menurut ketua daerah Edison Saleho, disebabkan tidak cukup orang untuk menggali kubur, mayat-mayat mangsa masih bergelimpangan di pantai dan jalan raya manakala nelayan turun ke laut untuk mencari mangsa terselamat.

Harmensyah memberitahu terdapat mayat-mayat mangsa ditemui dalam keadaan bengkak akibat lama ditinggalkan di pantai dan sekitar perairan rangkaian kepulauan Mentawai.

Pegawai bencana pula gagal memasuki kampung-kampung di kepulauan Mentawai, destinasi popular peluncur ombak yang biasanya memakan masa 12 jam perjalanan menggunakan bot.

Selain itu timbul kemarahan orang ramai yang berang berikutan kegagalan sistem amaran awal tsunami berfungsi.

Sistem berkenaan yang bernilai berjuta-juta dolar dan dipasang selepas tragedi tsunami 2004, rosak sebulan yang lalu akibat tidak diselenggara dengan betul.

Meletus

Lebih malang lagi setelah menyaksikan beberapa ramalan dilakukan, akhirnya Gunung Merapi yang menyimpan 1001 misteri akhirnya meletu pada Selasa lepas.

Gunung Merapi yang terletak di Daerah Sleman, Yogyakarta, memulakan letusan pertamanya hanya kira-kira selepas senja.

Sebelum itu gunung berkenaan dilihat mengeluarkan bunyi berderam-derum dan berkeriut selama beberapa jam.

Dua hari kemudian letusan sama berulang, kali kedua dalam tempoh dua hari. Letusan kali ini lebih dahsyat kerana debu panas dihambur lebih tinggi sehingga 3,500 meter.

Setakat ini lebih 30 terbunuh dengan kebanyakan dari mereka melecur 45 hingga 90 peratus dan dilitupi debu gunung berapi.

Hanya dalam tempoh seminggu, dua bencana besar melanda Indonesia, sebuah negara yang sering saja mengejutkan dunia dengan kejadian alam yang menggemparkan.

Ada saja bencana besar yang melanda sama ada tsunami, gempa bumi atau letusan gunung berapi berlaku saban tahun mungkin sebagai dugaan dan ujian dari tuhan terhadap penduduknya.

Pastinya semua kita masih teringat bagaimana ngerinya kejadian tsunami yang melanda Aceh dan mengorbankan ratusan ribu nyawa dan memusnahkan sama sekali bandarnya.

Namun hakikatnya kejadian letusan Gunung Merapi ini merupakan hanya sekelumit kejadian alam memandangkan terdapat 129 gunung berapi yang aktif bertaburan merentasi 17,500 buah pulau di republik ini.

Gunung Merapi setinggi 2,914 meter yang terletak 400 kilometer di timur Jakarta, adalah gunung berapi paling aktif daripada 69 gunung berapi yang mempunyai sejarah letusan di Indonesia.

Semua gunung ini mudah meletus serta dilanda gempa bumi kerana lokasinya yang terletak di dalam kawasan Lingkaran Api Pasifik.

Letusan kali terakhir Gunung Merapi pada Jun 2006 mengorbankan dua orang namun letupan paling banyak meragut nyawa berlaku pada 1930 dengan angka kematian melebihi 1,300 orang.

Bagaimanapun hasil tindakan pantas pihak berkuasa telah menyelamatkan banyak nyawa apabila mengarahkan beribu-ribu penduduk berpindah dari zon bahaya dalam lingkungan 10 kilometer pada Isnin lalu, selepas meningkatkan paras amaran Gunung Merapi kepada merah.

Dikatakan hampir 29,000 orang kini berada di tempat perlindungan sementara di sekitar bandar Yogyakarta namun nasib beribu-ribu lagi penduduk yang enggan berganjak sangat dikhuatiri.

"Kira-kira 6,000 hingga 7,000 penduduk masih berada di kaki Gunung Merapi dalam lingkungan 10 kilometer dari puncak. Kebanyakannya tidak mengambil kisah tentang hal ini malah merasakan gunung berapi itu tidak akan meletus.

"Malah jika meletus sekalipun, mereka berpendapat kediaman mereka tidak akan terjejas," kata jurucakap Agensi Pengurusan Bencana, Priyadi Kardono.

Menarik untuk diperkatakan di sini, selain Gunung Merapi, Indonesia juga mungkin menghadapi ancaman kemungkinan meledaknya beberapa gunung berapi lain seperti Sinabung di Pulau Sumatera dan Anak Krakatau yang terletak di Selat Sunda.

Aktif

Contohnya Gunung Sinabung telah meletus beberapa kali iaitu pada 29 Ogos, 3 September dan 7 September lepas telah meletus mengakibatkan seorang lelaki warga emas terkorban akibat sesak nafas terhidu debu beracun.

Gunung berkenaan dikesan semakin aktif sejak 27 Ogos memaksa 12,000 penduduk dipindahkan ke khemah-khemah sementara.

Abu yang dihasilkan menjejaskan pandangan sebahagian kota Medan sehingga menyebabkan Lapangan Terbang Polonia terpaksa ditutup.

Selain itu Gunung Anak Krakatau yang terkenal kerana keunikannya kerana muncul dari dasar laut selepas kira-kira 40 tahun Gunung Krakatau meledak telah mulai aktif mengeluarkan asap.

Mengimbau kembali letupan Krakatau pada 1883, dikatakan limpahan lavanya telah mengorbankan 36,000 nyawa selain menyebabkan tsunami. Bunyi letupannya saja kedengaran sehingga ke Pulau Rodrigues di Afrika iaitu sejauh 4,653 kilometer.

Kini selepas hampir 130 tahun kejadian itu berlaku, Anak Krakatau semakin aktif dan membesar dengan purata pertumbuhannya sekitar 20 inci sebulan menjadikannya lebih tinggi sekitar 20 kaki dan lebih lebar 40 kaki dalam setahun.

Antara punca yang menyebabkannya semakin tinggi ialah disebabkan oleh bahan yang dikeluarkan gunung berapi itu.

Ketika ini ketinggian Anak Krakatau mencapai sekitar 230 meter dari aras laut. Sementara Gunung Krakatau sebelumnya setinggi 813 meter dari permukaan laut.

Masih belum dapat dipastikan bila gunung ini akan meletup tetapi ahli geologi meramalkan ia bakal meletup pada tahun 2015 hingga 2083.

Melihat kepada apa yang berlaku di negara jiran kita ini adalah sesuatu yang menyayat hati melihat penderitaan dan kesengsaraan berterusan mereka yang serumpun.

Lebih membanggakan Malaysia adalah antara negara pertama yang pantas menghulurkan bantuan.

Ketika ini tanggungjawab ini dipikul oleh 40 anggota sukarelawan Malaysia terdiri daripada pelajar perubatan Malaysia di Universiti Sebelas Maret dan Universiti Gadjah Mada, Yogyakarta yang bekerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Indonesia bagi membantu mangsa bencana alam.

Nyata sifat kemanusiaan dan kesedaran tentang semangat serumpun yang ditunjukkan negara ini melebihi sifat keji yang dilemparkan mereka yang cuba merungkai keistimewaan hubungan kedua-dua negara ini.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan