Oleh: DR. KHAIDZIR ISMAIL
REMAJA lari dari rumah merupakan satu fenomena yang kerap kita baca dalam akhbar dan telah menjadi makin serius kerana setengah daripada mereka telah lari sehingga ke negara jiran. Ini berlaku sama ada di bandar atau pun luar bandar dan juga melibatkan remaja lelaki.
Terdapat beberapa sebab remaja lari dari rumah. Antaranya adalah keadaan di rumah dan latar belakang keluarga dan juga personaliti remaja itu sendiri. Sesetengah daripada remaja melarikan diri kerana tidak tahan dengan keadaan di rumah dan ada juga sesetengah mereka dihalau dari rumah.
Remaja lari dari rumah tidak mempunyai satu definisi yang khusus, namun, pelbagai definisi yang telah dinyatakan berasaskan penyelidik-penyelidik yang menjalankan kajian terhadap remaja lari dari rumah. Contohnya, Bailey et al. (1998) telah mendefinisikan remaja lari dari rumah adalah remaja yang melarikan diri dari rumah untuk sekurang-kurangnya satu malam tanpa kebenaran ibu bapa atau penjaga dan tinggal di lokasi atau kawasan yang tidak diselia seperti tinggal bersama orang asing, tinggal di pusat perlindungan, kawasan awam seperti taman atau bawah lebuh raya atau tinggal di bilik sewa. Zide dan Cherry (1992) telah membina satu tipologi remaja lari dari rumah atau remaja tanpa rumah berasaskan sebab mereka meninggalkan rumah. Antaranya adalah pertama, melarikan diri ke iaitu remaja yang sukakan cabaran dan kerap balik rumah, namun remaja ini akan terlibat dalam pelbagai kegiatan berisiko semasa meninggalkan rumah.
Kedua, melarikan diri dari rumah iaitu remaja meninggalkan rumah untuk mengelakkan daripada keadaan keluarga yang konflik dan tegang. Ketiga, dibuang keluar iaitu remaja yang dipaksa keluar daripada keluarga dan mempunyai sejarah masalah sekolah dan penjagaan. Keempat, ditinggalkan iaitu remaja ditinggalkan disebabkan keluarga tidak berupaya menyokong mereka dari segi kewangan
Gejala remaja lari dari rumah berlaku juga di kebanyakan negara, dijangkakan 1.6 juta remaja melarikan diri dari rumah di Amerika Syarikat setiap tahun (Walsh dan Donaldson 2010).
The Student Advisory Center (SAC) menjangkakan sekurang-kurangnya 600 hingga 700 kes remaja bawah usia 16 tahun lari dari rumah dilaporkan di Singapura (Yiu 2009). Di India sebanyak 47.22 remaja lari dari rumah (Khurana et al. 2004). Di Cameroon, remaja lari dari rumah telah berlaku seawal 11 tahun dan bilangan remaja lari dari rumah bertambah apabila mencapai 15 tahun (Matchinda 1999).
Di Malaysia, remaja lari dari rumah turut menjadi satu gejala sosial yang boleh menjadi serius sekiranya tidak dibendung atau dipantau. Media massa kerap melaporkan berita dan liputan tentang remaja lari dari rumah.
Gejala ini telah berlaku dalam semua lapisan masyarakat tanpa kira bangsa dan agama, maka isu ini menjadi permasalahan umum dalam masyarakat. Gejala lari dari rumah semakin membimbangkan masyarakat apabila gejala ini melibatkan anak remaja yang semakin kecil.
Kebanyakan remaja tidak suka kepada kawalan yang ketat dan dilayan sebagai kanak-kanak. Mereka suka kepada kebebasan dan ingin mencuba. Tetapi sebagai orang dewasa atau ibu bapa mesti membimbing dan mengawal dengan bijak anak remaja yang sedang dalam proses menjadi seorang dewasa. Ibu bapa perlu belajar menyayangi anak-anak mereka walaupun dalam keadaan yang sibuk.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
salam saya perlukan bantuan....
BalasPadamsaya remaja berumur 16 tahun yang baru lari dari rumah, saya tahu keputusan saya adalah salah tetapi ni yang terbaik pada saya.... saya seorang remaja yang terabai oleh kedua ibubapa saya, yang mana saya telah 3 tahun tidak bersekolah angkara saya dibuang sekolah, tetapi itu cerita lama... dan sekarang saya telah berubah dan ingin bersekolah kembali tetapi diabaikan oleh ibubapa saya dan saya menjadi terbiar, saya ingin kan hidup seperti mereka yang lain bukan hanya terkurung di rumah dan tidak di berikan didikan akedemik mahupun agama.... mereka asyik dan penting kan kerjaya dan mengabaikan anak2 mereka, saya tidak ada tempat lagi untuk berlindung.... dari keluarga yang seringkali bertelingakah dan konklusinya, anak2 yang menjadi mangsa, saya tidak ingin balik ke rumah dan berharap ada tempat untuk saya berlindung dan mengubah diri saya.... saya sangat berharap dapat belajar ilmu agama yang saya tidak pernah dapat di rumah.... saya sedih.... saya sekarang berada di tgh2 kota bandaraya kuala lumpur saya takut dan perlukan tempat berlindung...