Isnin, 10 Januari 2011

ISU PENARIKAN BALIK NOVEL SPM : Interlok gambaran realiti, bukan penghinaan

BESUT 10 Jan. — Kewujudan kasta yang digambarkan oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussein dalam novelnya, Interlok bukan suatu bentuk penghinaan kepada mana-mana kaum malah merupakan realiti pada zaman berkenaan.

Penyandang Kursi Pengajian Bahasa Melayu, Malaysia-China di Foreign Studies University (BFSU) China Beijing Prof Awang Sariyan berkata golongan kasta itu dibawa oleh penjajah Inggeris untuk manipulasi ekonomi mereka.

Beliau berkata Sasterawan Negara itu ialah seorang penulis yang menghasilkan karya berdasarkan fakta dan realiti sosial pada zaman-zaman yang dilalui dan disaksikannya sendiri.

"Novel Interlok adalah gambaran realiti sosial pada zaman berkenaan dan pengisahan yang membabitkan penghijrahan kaum pekerja dari luar termasuk orang dari India memang terakam dalam karya ilmiahnya," katanya menerusi e-mel di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas desakan golongan tertentu yang mahukan novel Interlok diharamkan daripada dijadikan komponen sastera dalam subjek Bahasa Malaysia tingkatan lima bermula tahun ini.

Mereka mendakwa novel berkenaan mempunyai elemen yang menghina kaum India di negara ini.

Awang berkata, Abdullah tidak membohongi fakta sejarah dengan mengatakan bahawa dalam kapal itu bersesak-sesak golongan Brahmin atau golongan Ksyatria dibawa oleh Inggeris untuk menjadi buruh kereta api atau buruh di ladang getah.


Katanya, konteks yang menggambarkan suasana dalam kapal itu pula menunjukkan nilai murni golongan tersebut yang memiliki perasaan dan kesediaan hidup bersama tanpa berasa bimbang oleh sebab berlainan taraf atau kasta.

Sehubungan itu, Awang meminta supaya semua pihak membuat renungan yang rasional dan ilmiah dalam membuat sesuatu rumusan dan perlu menghayati teks sastera dalam konteks wacana sosiobudaya dan sejarah, bukan berdasarkan sentimen sempit yang tidak ilmiah.

Katanya, perkara itu akan bertambah rumit lagi jika isu itu dikaitkan pula dengan perhitungan politik yang sempit.
- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan