Novel Interlok karya Abdullah Hussain menjadi polemik yang tidak berkesudahan apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah yang juga Pengerusi Biro Pengaduan Awam (BPA) menimbulkan isu tentangnya. Novel Interlok menjadi teks Komsas tingkatan lima bermula sesi persekolahan 2011 dikatakan mengandungi unsur sensitif kepada masyarakat India kerana memaparkan sejarah susur galur kedatangan masyarakat India ke Tanah Melayu.
Kenyataan Datuk T. Murugiah yang menyebut tentang pengharaman dan ugutan untuk membakar novel tersebut bukan sahaja mencetuskan isu yang sepatutnya tidak timbul tetapi juga membawa kepada tindakan tidak rasional pihak tertentu terhadap novel Interlok. Lebih buruk Interlok menjadi bahan bagi political mileage untuk ahli politik atau pihak yang berkepentingan.
Bahkan ia menjadi rebutan dari pihak parti politik yang berlawanan untuk saling menjuarai kepentingan masyarakat India kononnya tanpa melihat kepada rasional tindakan tersebut. Penglibatan kepentingan politik dalam isu Interlok menjadi faktor besar kepada memburuknya keadaan dan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Malahan ia tidak memberi apa-apa kepentingan besar kepada masyarakat India selain mempergunakan mereka untuk kepentingan politik perkauman.
Novel Interlok merupakan sebuah garapan yang sangat baik dan ideal terhadap sejarah pembentukan hubungan kaum yang harmoni di Malaysia. Novel ini dibahagikan kepada empat buku iaitu buku Keluarga Seman, buku Keluarga Chin Huat, buku Keluarga Maniam dan terakhir buku empat Interlok (interlock).
Secara keseluruhan Interlok menggambarkan latar awal bermulanya hubungan masyarakat pelbagai kaum di Tanah Melayu iaitu sekitar tahun 1910 sehingga 1940-an.
Tiga bab yang mewakili tiga kaum seperti yang disebut buku ini mewakili sistem sosial di bawah pemerintahan Inggeris yang mengamalkan dasar pecah dan perintah. Inggeris mengamalkan dasar menekan penduduk pribumi iaitu orang Melayu dengan amat halus iaitu secara psikologi dan politik yang terancang. Dengan memperkenalkan dasar pentadbiran dan ekonomi moden berasaskan perindustrian, Inggeris membawa masuk buruh- buruh dari China dan India untuk mengerjakan lombong bijih timah dan ladang getah bagi menyediakan bahan mentah untuk kegunaan industri moden di Eropah.
Pada masa yang sama Inggeris mencipta suatu rupa bentuk masyarakat selari yang terpisah-pisah dan berkotak-kotak, tidak mengenali antara satu sama lain, serta bergantung kepada Inggeris. Perhubungan antara masyarakat diputuskan dengan dasar penetapan bidang ekonomi mengikut kaum. Dengan cara tersebut Inggeris berjaya mewujudkan masyarakat berkotak-kotak dan mencipta apa yang disebut sebagai antagonisme etnik, iaitu setiap etnik melihat etnik lain sebagai antagonis kepada mereka.
Namun Abdullah Hussain melalui novel Interlok memecahkan doktrin Inggeris ini dengan memecahkan dasar pengkotakkan sosial dan penetapan bidang ekonomi mengikut kaum. Pertama penetapan bidang ekonomi mengikut kaum atau etnik dipecahkan apabila Seman memecahkan tradisi menjadi orang Melayu pertama bekerja di estet yang sebelum ini hanya dipenuhi oleh orang India.
Kedua, Abdullah Hussain memecahkan pengkotakan sosial apabila menyatukan semua kaum menjadi masyarakat yang saling membantu dalam buku atau bab terakhir yakni Interlok. Interlok ialah perkataan Inggeris interlock, yang dimaksudkan oleh Abdullah Hussain sebagai mengunci masyarakat yang terpisah-pisah menjadi satu masyarakat yang bersatu padu. Dalam buku ini ditonjolkan generasi ketiga yang lahir dan membesar di Tanah Melayu bersedia menjadi warga sebuah negara yang bakal tercipta iaitu Malaya, yang kemudiannya lahir sebagai Malaysia pada hari ini.
Ternyata novel ini mengangkat suatu bentuk perjuangan sosial masyarakat bawahan terhadap bentuk penjajahan Inggeris. Kemuncak atau ujian kepada perjuangan sosial ini dibuktikan dalam gambaran suasana menghadapi kekejaman tentera Jepun dan Bintang Tiga.
Namun secara halus, Abddulah Hussain membawa ideal perjuangan sosial ini memecah tembok doktrin sistem penjajahan Inggeris yang mewujudkan pengkotakkan masyarakat dan seterusnya melahirkan politik perkauman di Malaysia.
Abdullah Hussain telah mencipta gagasan Satu Malaysia yang tulen dalam erti kata mengunci kepelbagaian kaum yang berbeza menjadi satu entiti yang berkongsi sebuah wawasan bersama. Lebih daripada itu Interlok bukan sahaja wujud sebagai sebuah novel sosial tetapi juga novel sejarah yang menyerap fakta-fakta sejarah ke dalam sebuah fiksyen yang mengagumkan.
Rujukan terhadap fakta sosial dan sejarah ini boleh dilihat daripada beberapa buku ilmiah seperti antaranya Communalism and the Political Process in Malaya oleh K.J. Ratnam (1965),The Naked Social Order oleh Collin Abraham (2004), The Malaysian Indians oleh Muzafar Desmond Tate (2008) dan sebagainya.
Interlok tidak mempunyai sebarang unsur penghinaan terhadap mana-mana kaum atau agama di Malaysia. Munculnya perkataan yang menyatakan Maniam daripada kasta paria adalah sebuah pernyataan fakta untuk menjelaskan latar belakang Maniam, dan hal ini ternyata tidak mempunyai sebarang niat untuk menghina.
Jika tindakan membakar dan mengharamkan Interlok hanya kerana sebaris perkataan yang dikutip secara prejudis perkauman yang tidak berasas ini, bagaimana pula dengan novel-novel besar yang disanjung di India seperti Nectar in a Seive oleh Kamala Markandaya, He Who Rides a Tiger oleh Bhabani Bhattacharya, Coolies oleh Mulk Raj Anand yang terang-terang menyebut dan menggambarkan kehidupan golongan kasta paria yang diperjuangkan.
Malah sebuah buku Mulk Raj Anand bertajuk Untouchable telah diterjemahkan dengan judul Paria oleh Oxford University Press (1964) menggambarkan secara langsung dan terus terang kehidupan kasta bawahan yakni golongan paria.
Mengapa novel-novel ini tidak menimbulkan sensitiviti dan dibakar oleh masyarakat India selama ini? Ternyata Interlok menjadi mangsa prasangka liar golongan yang jahil dan manipulasi pihak yang berkepentingan dalam amalan politik perkauman di Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan