“BACA secara keseluruhan, baca kesemuanya, baca sampai habis,” demikian pesan berulang-ulang kali Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain, 91, kepada penulis sepanjang perbualan berhubung kontroversi yang menyelubungi novelnya Interlok di Petaling Jaya baru-baru ini.
Bagi Abdullah, polemik yang tidak berkesudahan mengenai novel Interlok yang dihasilkannya 40 tahun lalu berpunca daripada sikap prejudis segelintir pihak yang tidak cuba memahami intipati sebenar karya itu.
Menurut Abdullah, menerusi Interlok beliau hanya menggambarkan bagaimana wujudnya penyatuan di kalangan penduduk peribumi Tanah Melayu iaitu orang Melayu dengan masyarakat Cina dan India yang dibawa masuk oleh Inggeris sebagai pekerja buruh di lombong bijih timah dan ladang getah.
“Tak rasis, saya cerita tentang penyatuan orang Melayu, Cina dan India.
“Hubungan mereka dan penyatuan pada ketika itu yang membawa kepada wujudnya sebuah negara,” katanya penuh bersemangat berkongsi mengenai niatnya yang disalahertikan.
Secara keseluruhannya menerusi Interlok, Abdullah secara halus memaparkan titik tolak bermulanya hubungan antara kaum di Tanah Melayu iaitu sekitar tahun 1910 sehingga 1940-an.
Sasterawan Negera kelapan itu juga berjaya memecahkan tembok pemisah antara ketiga-tiga kaum ini yang dirancang Inggeris menerusi dasar pecah dan perintah sama ada dari segi hubungan sosial mahupun ekonomi.
Namun setelah puluhan tahun novel berkenaan dihasilkan, ia kini secara tiba-tiba menjadi isu hangat bukan sahaja di kalangan peminat karya sastera, malah menembusi pelbagai lapisan dan golongan masyarakat.
Kontroversi mengenainya tercetus apabila wujudnya desakan pihak tertentu yang cuba menafikan sejarah, mahukan novel itu diharamkan daripada dijadikan teks untuk komponen sastera (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
Malah kira-kira 100 orang kaum India bertindak melampau membakar novel itu dan salinan gambar Abdullah di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang (MPK) Selangor kerana mendakwa Interlok mengandungi unsur rasis yang menghina kaum itu.
Abdullah Hussain
Rupa bangsa
Sungguhpun berada dalam keuzuran, Abdullah yang kini bergerak menggunakan kerusi roda tetap tegas mempertahankan niat murninya iaitu mengangkat sumbangan ketiga-tiga kaum tersebut.
Jelasnya semangat muhibah masyarakat Melayu, Cina dan India pada ketika itu menjadi penyumbang kepada pembentukan ‘rupa bangsa’ Malaysia pada ketika ini.
“Kalau sudah baca sampai habis, pasti nampak maksud sebenar. Saya gambarkan orang Melayu, Cina dan India ada peranan masing-masing.
“Sebenarnya tiga bangsa yang bersatu inilah yang membentuk rupa kebangsaan kita... bangsa Malaysia,” ujarnya yang masih petah berbicara sungguhpun mengalami masalah pendengaran.
Terang Abdullah lagi, beliau faham mengapa masyarakat India begitu marah mengenai karya sastera berkenaan.
Namun jelasnya perkataan ‘paria’ yang terdapat dalam novel tersebut bukan bertujuan menghina atau memperkecilkan kaum India.
“Kena faham betul-betul, ‘paria’ memang ada di India, tapi di Malaysia tak ada... itu bezanya antara di India dan Malaysia.
“Lagipun perkataan itu wujud dalam kamus, tapi orang India di sini mula lupakan mengenai pegangan sistem kasta seperti ‘paria’,” jelasnya.
Legasi perjuangan sosial
Bagi Abdullah, sebagai seorang penulis, beliau mempunyai tanggungjawab yang cukup besar dalam membentuk pemikiran masyarakat menerusi nukilan karya-karyanya.
Justeru, novel Interlok yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka itu merupakan salah satu sumbangannya dari perspektif pembangunan sosial masyarakat.
Menurut Abdullah sekiranya novel berkenaan tetap diangkat menjadi bahan Komsas pelajar sekolah, legasi perjuangannya akan diteruskan oleh golongan pendidik hari ini.
“Guru boleh mainkan peranan mereka, boleh terangkan kepada pelajar mengenai penyatuan orang Melayu, Cina dan India.
“Soal hubungan penyatuan ini mesti selalu diingatkan supaya kita boleh terus hidup dengan baik,” pesannya.
Bagaimanapun seakan sudah pasrah dengan apa yang berlaku, Abdullah menyerahkan nasib karyanya itu kepada Kabinet untuk membuat kata putus.
“Biarlah Kabinet yang tentukan, tunggu apa keputusan mereka,” katanya ringkas.
Ditanya mengenai perasaannya tatkala karyanya kini menjadi mangsa prasangka, beliau termenung sejenak.
Walaupun tanpa linangan air mata, namun dari mata dan raut wajahnya tersembunyi perasaan sedih dan remuk lebih-lebih lagi dituduh sebagai seorang rasis.
“Saya sedih, saya kecewa sebab orang tak faham (intipati) Interlok.
“Orang salah faham maksud saya, saya tak hina orang India... bacalah Interlok sampai habis, baca betul-betul,” katanya mengakhiri perbualan sambil mengalihkan kerusi rodanya masuk ke dalam bilik.
Karya ilmiah
Siti Soraya Basri
Sepanjang perbualan penulis bersama Abdullah, beliau sentiasa ditemani isterinya, Datin Siti Soraya Basri, 65.
Menurut Siti Soraya, beberapa tahun dahulu Abdullah pernah memberitahunya bahawa sejak dari awal beliau berharap novel Interlok dijadikan bahan rujukan ilmiah.
Katanya, Abdullah menghasilkan novel berkenaan dengan harapan ia dapat dijadikan rujukan untuk pembangunan sosial masyarakat.
“Beliau beritahu saya bahawa Interlok ditulis dengan penuh berhati-hati serta kesungguhan kerana sejak dari awal beliau mahu novel itu dijadikan rujukan masyarakat hari ini dan akan datang.
“Jadi apabila pihak Kementerian Pelajaran putuskan bahawa Interlok akan dijadikan buku teks sekolah, suami saya sangat bersyukur kerana niat yang dipendamnya selama ini menjadi kenyataan,” katanya yang masih aktif menyertai pertubuhan bukan kerajaan.
Menurut Exco Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia itu, beliau bersyukur kerana suaminya diberikan ketabahan oleh Allah untuk mengharungi situasi ini.
Bangga
Jauh di sudut hati, penulis begitu bangga dan kagum dengan semangat Abdullah berdasarkan keadaan kesihatannya ketika ini kerana walaupun hanya boleh membaca soalan-soalan yang ditulis kepadanya, Abdullah tetap bersemangat memberi penjelasan mengenai karyanya itu.
Jika dihayati novel Interlok dengan berlapang dada dan rasional, jelas sekali ia sebenarnya sarat dengan mesej hubungan sosial yang tinggi terutamanya bagi mengingatkan masyarakat hari ini mengenai asas hubungan antara kaum di Malaysia.
Asas kehidupan bertolak ansur dan tolong menolong inilah yang menjadi ramuan penting terhadap keharmonian antara semua masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Sumber : http : //www.mstar.com.my/
Seru juga ya membacanya terkait Abdullah
BalasPadamPaleontologi
Paleontologi