Khamis, 3 Mac 2011

ISU BAHASA : Iklan dalam bahasa asing

Oleh Shuhaniza Said

bhsastera@bharian.com.my

Wajarkah pendekatan itu menjadi amalan pengiklan di Malaysia?

LIRIK 'Gunakanlah bahasa kebangsaan kita, marilah amalkan ramai-ramai ...' saban hari kedengaran di corong radio dan televisyen negara ini sehingga kini meskipun ia sudah diperkenalkan ketika Kempen Bahasa Kebangsaan pada 1960-an.

Lagu Bahasa Jiwa bangsa ciptaan Dol Ramli lebih kerap kedengaran pada sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan pada Oktober setiap tahun sebagai perjuangan memartabatkan bahasa Melayu di negara ini agar diutamakan baik dalam sektor awam mahupun swasta. Biarpun lagu dan lirik terbabit begitu bersemangat dalam membakar kesedaran rakyat Malaysia dalam mendaulatkan bahasa Melayu, tetapi ia ibarat mencurah air di daun keladi apabila semakin banyak iklan di media elektronik menggunakan selain bahasa kebangsaan.

Pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Kemanusiaan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Shamsudin Othman, melihat kecenderungan menggunakan lebih daripada satu bahasa selain bahasa Melayu sebagai tidak wajar.

“Lebih-lebih lagi jika ia dilakukan oleh syarikat gergasi milik negara kerana perbuatan terbabit memperlihatkan betapa tidak yakinnya mereka terhadap bahasa Melayu bagi mewakili produk masing-masing dan boleh disamakan dengan menjual maruah negara sendiri.

“Malaysia sudah mengakui Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan iklan untuk paparan rakyat negara ini, sewajarnya menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya. Tidak perlu menggunakan pelbagai bahasa untuk menjelaskan apa yang ingin disampaikan berhubung sesuatu produk,” katanya pada pertemuan dengan Sastera.

Pendekatan iklan pelbagai bahasa dengan rakyat negara ini sebagai sasaran juga dilihat tidak mendokong konsep 1Malaysia yang menekankan konsep saling penerimaan dan keharmonian semua bangsa yang memperakui dan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa berkomunikasi.

Justeru, tidak timbul persoalan untuk menggunakan bahasa lain bagi mewakili sesuatu bangsa di negara ini kerana pendekatan terbabit akan menjadi punca kegagalan pencapaian matlamat gagasan 1Malaysia,

Selain itu, iklan dengan rakyat negara ini sebagai sasarannya juga tidak sepatutnya dibuat dalam bahasa ‘rojak’ atas alasan yang sama dan iklan dalam bahasa Melayu berserta Inggeris hanya boleh diterbitkan sekiranya kumpulan sasarannya di tempat yang membabitkan khalayak antarabangsa.

“Kewajaran menggunakan papan tanda dalam bahasa Melayu dan Inggeris hanya wajar dilakukan di tempat seperti lapangan terbang, pelabuhan, terminal utama bas dan teksi serta pintu sempadan negara,” ujarnya.

Pandangan beliau dipersetujui Pensyarah Pelawat, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Dr Sudarsono yang melihat isu penggunaan lebih daripada satu bahasa dalam iklan elektronik di negara ini sebagai suatu ketidakwajaran.

“Bahasa adalah salah satu daripada komponen yang memperlihatkan jati diri sesebuah negara dan Malaysia sebagai negara yang sudah memperakukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tidak sepatutnya menggunakan empat bahasa,” katanya.

Justeru, bukan semua rakyat Malaysia mampu menguasai bahasa Melayu dan kebimbangan maksud yang ingin disampaikan pengusaha atau penerbit iklan tidak sampai kepada kelompok sasaran serta tidak menghargai sesuatu bangsa tidak boleh dijadikan sebagai alasan.

“Pokok pangkalnya, hal ini berbalik kepada sikap terhadap bahasa. Kecenderungan menggunakan Bahasa Melayu memperlihatkan penghargaan dan kebanggaan terhadap bahasa tersebut. Ditambah pula sifat bahasa itu yang sudah mencakupi semua aspek yang sesuai untuk kesatuan bangsa.

“Alangkah indahnya sekiranya rakyat di negara ini diikat dengan hanya satu bahasa saja yang sudah perakukan kedudukan dalam undang-undang negara seperti mana Indonesia yang hanya menggunakan bahasa Indonesia,” jelasnya.

Bagaimanapun, Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (PPBKKM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Zubir Idris, melihat isu penggunaan pelbagai bahasa dalam iklan elektronik daripada perspektif sebaliknya.

“Isu penggunaan pelbagai bahasa dalam iklan perlu dilihat secara positif. Ia dapat menggambarkan semangat majmuk dan kesepaduan dalam masyarakat di negara ini. Dalam masa sama, khalayak diberi pendedahan untuk turut memahami bahasa, malahan budaya masyarakat pelbagai bangsa,” ujarnya.

Beliau melihat kebimbangan kelompok yang tidak bersetuju dengan penggunaan pelbagai bahasa dalam iklan kerana kelompok berkenaan tidak mahu fungsi Bahasa Melayu diperkecil dan dipandang ringan.

Apatah lagi bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, Perkara 152 (Fasal 1) serta ditambah pula dengan pelbagai isu lain berhubung kedaulatan bahasa Melayu yang sentiasa menjadi topik perbincangan hangat.

“Namun, hal ini perlu ditangani sewajarnya dan kewajaran penggunaannya dilihat secara positif. Jika ia membawa banyak kesan positif khususnya bersangkutan dengan isu perpaduan dan konsep 1Malaysia, mengapa tidak?” soalnya.

Secara peribadi, Dr Zubir lebih senang jika Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa utama dalam media pengiklanan tetapi jika pelbagai bahasa yang digunakan, maka ia perlu ada pengawalan dan pemantauan ketat daripada pihak berkenaan.

“Ini bagi memastikan matlamat penggunaan bahasa yang pelbagai itu tidak menimbulkan rasa kurang senang terhadap sensitiviti masyarakat pelbagai kaum di negara kita. Bagaimanapun, bahasa Melayu mesti diberi keutamaan bersesuaian dengan fungsinya sebagai bahasa rasmi negara,” katanya.

Apa yang dapat disimpulkan, sebagai rakyat Malaysia, kita perlu berbangga dengan bahasa Melayu yang sememangnya diakui sebagai bahasa yang menyatukan semua bangsa di negara ini kerana ia mencerminkan budaya dan jati diri negara.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan