Ahad, 3 April 2011

ISU PENDIDIKAN : 200,000 kekosongan di IPTA/IPTS

Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my

SERI KEMBANGAN: Sebanyak 200,000 tempat disediakan di institusi awam dan swasta (IPTA/IPTS) tempatan bagi pelajar mengikuti pengajian di peringkat ijazah pertama, sarjana dan doktor falsafah bagi sesi 2011/2012.

Selain itu, sejumlah 11,500 tempat turut disediakan bagi pelajar yang berminat mengikuti kursus bidang teknikal, latihan vokasional dan kemahiran di 27 politeknik dan 323 Institut Latihan Kemahiran Awam (ILA) di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, berkata angka itu membuktikan pelajar kini memiliki lebih banyak pilihan mengikuti kursus yang diimpikan.

“Apa yang pelajar perlu ketahui adalah maklumat terperinci mengenai kursus yang ditawarkan, syarat kelayakan dan peluang kerjaya tersedia kepada graduan yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang yang ditawarkan,” katanya berucap menutup Karnival Pengajian Tinggi Negara 2011 – ‘Jom Masuk U’ ke-7 di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC) di sini, semalam.

Karnival itu dijayakan 20 IPTA/IPTS terpilih, agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran, yayasan negeri dan agensi pembiayaan pendidikan. Tahun ini, seramai 300,000 pengunjung dicatatkan di 10 lokasi karnival di seluruh negara berbanding 220,000 orang, tahun lalu.

Muhyiddin berkata, karnival ‘Jom Masuk U’ anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pelajaran adalah tempat yang sesuai untuk lepasan sekolah dan kolej untuk mendapatkan maklumat mengenai kemasukan ke universiti dan institusi pengajian tinggi yang lain.

“Saya percaya karnival ini memberikan panduan berguna kepada pelajar memilih kursus ditawarkan di IPTA/IPTS. Buatlah keputusan yang tepat dan bijak supaya bidang pengajian yang dipilih sesuai dengan kelayakan serta cita-cita kerjaya yang ingin diceburi,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini lebih 580,000 orang mahasiswa sedang mengikuti pengajian pada peringkat ijazah pertama, sarjana dan doktor falsafah di institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam negara.

IPTA tempatan, juga, kata Muhyiddin, berjaya menarik minat tenaga akademik luar negara untuk berkhidmat di Malaysia dengan 7.5 peratus petugas akademik IPTA ketika ini adalah kalangan petugas akademik antarabangsa yang disifatkannya bukti pendidikan tinggi tempatan adalah bertaraf dunia.

Malah, ketika ini seramai 86,919 orang pelajar asing dari lebih 150 negara sedang mengikuti pengajian di IPT tempatan sehingga Disember 2010 yang disifatkannya pengukur kejayaan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebanyak 140,000 tempat disediakan untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf dengannya.

Bagi pengajian diploma di IPTA dan politeknik, jumlahnya ditambah kepada 74,000 tempat, iaitu diploma meningkat 5.44 peratus menjadi 22,927 tempat berbanding 21,744 tahun lalu manakala politeknik jumlah pengambilan meningkat kepada 51,000 tempat dengan peningkatan 23 peratus berbanding 41,382 tempat saja pada 2010.

Selain pertambahan pelajar, KPT juga memperkenalkan lebih banyak program dan kursus baru seperti seperti hortikultur, landskap, bioteknologi dan bidang bahan boleh diperbaharui.

Program dwi diploma juga diperkenalkan mulai tahun depan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan beberapa universiti lain, manakala sesetengah program diploma dipendekkan tempoh pengajian daripada tiga tahun kepada dua setengah tahun.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan