Tak adil nilai situasi luaran
Susunan Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
PADA pandangan kasar, Shawn Muller Jr, 16, berperwatakan sama seperti remaja normal lain, namun jika diteliti, dia berdepan konflik dalaman cukup hebat apabila ibu bapanya tidak pernah mengendahkan proses pembelajarannya.
Dengan menyerahkan bulat-bulat tanggungjawab itu kepada guru dan sekolah, ibu bapanya beranggapan ia memadai sedangkan mereka tidak menyedari, Shawn tertekan dan malu apabila sering keseorangan tanpa sokongan keluarga.
Malah, saranan guru kepada ibu bapanya gagal membuka mata mereka yang menangkisnya dengan pelbagai alasan terutama menggunakan isu kesempitan kewangan sebagai senjata utama,
Hakikatnya, bukan Shawn saja berdepan dilema itu malah dianggarkan lebih separuh daripada kebanyakan keluarga kelas pertengahan di dunia berdepan konflik serupa hingga akhirnya pihak sekolah terpaksa mengambil tindakan drastik.
Tanpa banyak pilihan, sekolah dan guru terpaksa menggunakan pendekatan alternatif 'mendera' ibu bapa dengan mengambil tindakan terhadap tindak tanduk anak yang melakukan kesalahan dengan harapan cara ini berkesan membuka ruang perbincangan.
Bagaimanapun, ia masih gagal apabila ibu bapa menyalahkan sekolah dan guru atas tindakan itu sehingga konflik bertambah buruk dengan serangan balas antara satu sama lain
Persoalannya, wajarkah guru dan sekolah memberi penarafan terhadap kegagalan ibu bapa melaksanakan komitmen terhadap pendidikan anak sedangkan golongan itu pada masa sama berdepan tekanan dan cabaran pengukuhan ekonomi?
Pensyarah Psikologi dan Pendidikan di Weber State University Utah State University, Craig Boswell, berkata pembabitan ibu bapa dalam pendidikan penting namun tidak boleh dipaksa dengan pemberian syarat tertentu semata-mata tidak berpuas hati dengan komitmen diberi.
Menurutnya, persoalan penting perlu dititikberatkan ialah sejauh manakah pembabitan itu boleh membantu melonjak prestasi anak dan membantu mereka lebih cemerlang serta tidak rasa dipinggirkan.
"Apabila hal kecil diperbesarkan, ia akan menyebabkan hubungan antara dua pihak mula bergolak, timbul salah faham dan suasana menjadi tegang. Jika usaha tertentu tidak dilaksanakan segera, konflik akan berpanjangan.
"Meskipun pembabitan ibu bapa diperlukan, guru dan sekolah tidak berhak memberi penarafan atau bersikap skeptikal jika gagal memberikan komitmen. Tidak kisah jika pembabitan itu hanya sekali, yang penting mereka masih boleh dihubungi.
"Ada ibu bapa boleh memberi sepenuh komitmen namun diakui tidak ramai dan guru serta sekolah perlu faham bukan semua dilahirkan bernasib baik dan mampu mengikut rentak unjuran sebab itu perlu lebih bertimbang rasa," katanya.
Konflik ibu bapa, guru, sekolah dan pelajar menjadi isu global yang tidak pernah dapat diselesaikan meskipun pelbagai usaha dilakukan bagi mendamaikan pihak terbabit. Ia masih tidak berjaya menemui noktah penyelesaian dan keputusan muktamad.
Pertembungan pelbagai penjuru itu mencetuskan pelbagai warna konflik dan emosi. Anehnya, golongan ini masih pula memerlukan antara satu sama lain.
Boswell berkata, adalah tidak adil guru dan sekolah memberi penilaian peribadi dengan hanya menilai situasi luaran pelajar biarpun itu boleh dijadikan faktor ukuran.
Golongan itu, katanya perlu mencari mekanisme sesuai atau belajar menangani dulu masalah dan hanya menggunakan istilah 'ibu bapa' sebagai senjata terakhir selepas jalan penyelesaian menemui kegagalan.
"Sebagai golongan terlatih dalam menangani pelajar, ada asas yang boleh diguna pakai untuk membantu mereka yang berdepan masalah memperbaiki konflik dalaman. Peranan ibu bapa dengan pemberian penarafan itu hanya dijadikan senjata terakhir andai tiada pilihan lain.
"Namun, ada peraturannya, jangan terlalu mendesak atau menjadikannya bersifat peribadi hingga pelajar menganggap ibu bapa mereka pula bermasalah.
"Guru dan sekolah seharusnya menjadi pendidik yang menitikberatkan nilai murni tanpa bersikap prejudis atau cuba menegakkan kebenaran masing-masing. Memang kecewa jika tidak mendapat kerjasama, namun itu bukan alasan mengadakan hukuman semata-mata mahu berjumpa mereka," katanya.
"Jika dilihat secara kasar, ia seperti memenangkan ibu bapa dan meletakkan sepenuh tanggungjawab pada guru dan sekolah.
"Guru, sekolah dan masalah memang tidak dapat dipisahkan. Hakikatnya, sebagai sebuah institusi pendidikan, menjadi tanggungjawab untuk mendidik selepas ibu bapa menghantar anak ke sekolah meskipun tidak semua tindak tanduk ibu bapa betul semuanya," katanya.
Akuinya, dalam konteks pemberian penarafan itu masalah ibu bapa serta 'kelicikan' pelajar yang suka mempergunakan kesempatan perlu diberi pertimbangan.
"Dalam apa jua situasi, ibu bapa akan dipersalahkan dan kebanyakan tidak mendapat keadilan. Kesalahan pelajar bukan saja disebabkan proses pendidikan malah personaliti individu juga menyumbang.
"Ada ibu bapa meskipun sibuk dengan urusan kerjaya boleh menjaga anak dengan baik, begitu juga sebaliknya. Mereka cukup terbeban dan tertekan, ditambah pula jika dibuat sistem penarafan, mereka akan tersepit.
"Jika selama ini sekolah dan guru sering mendapat sokongan masyarakat, apa kata cuba fahami pula masalah orang lain. Masalah ini universal dan tidak mungkin selesai selamanya. Daripada terus berkonflik, lebih baik berdamai," katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan ada ibu bapa pandai mengambil kesempatan atas kekalutan itu dan menggunakan pelbagai alasan untuk melepaskan diri.
"Dalam situasi ini, guru dan sekolah baru berhak berasa marah dan mengambil tindakan jika terbukti mereka langsung lalai. Mereka patut disedarkan malah tidak salah kalau diberi peringatan melalui hukuman anak.
"Biarpun nampak kejam dan tidak adil, secara ironinya tiada siapa boleh menerima jika anak dihukum. Namun ia dilakukan dengan had tertentu supaya tidak timbul masalah lain," katanya.
Bagi mengatasi kemelut yang tidak pernah berkesudahan itu, pihak terbabit bukan saja perlu bersemuka dan berbincang.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Mengikut kajian dijalankan Walden University, Amerika Syarikat, antara kaedah efektif boleh dilakukan ibu bapa untuk menunjukkan komitmen terhadap anak, guru dan sekolah ialah;
Menawarkan diri untuk menjadi sukarelawan.
Menyertai komuniti ibu bapa - guru di sekolah
Sentiasa bersama mengambil bahagian bersama anak di rumah.
Sentiasa berhubung dengan sekolah dan guru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan