Oleh Hasan Al-Banna Mohamed
Bertanggungjawab laksana amanah diberikan perlu ada dalam diari kehidupan
SUDAH semestinya pada era globalisasi kini, tidak dapat dinafikan pelbagai mehnah (cabaran) terpaksa ditempuh setiap individu yang dipanggil pekerja. Malah, pekerja organisasi kerajaan atau swasta sering menghadapi segala macam tribulasi di tempat kerja masing-masing.
Ada terpaksa meredah lautan, masuk keluar kampung dan desa, merentasi sungai serta bukit-bukau untuk sampai ke tempat kerja. Ada juga terpaksa menunggu berjam-jam dalam kenderaan kerana kesesakan lalu lintas di jalan raya.
Semua menjadi asam garam kehidupan pekerja. Situasi ini mungkin berbeza dengan zaman dulu dan mungkin sedikit serupa tetapi hampir tidak sama dari aspek latar belakang, suasana dan masalah. Apa pun semuanya tetap mempunyai masalah dan dugaan.
Permasalahan itu jika tidak diurus secara berkualiti dan berkesan, sudah pasti membawa kepada masalah yang lebih teruk. Contohnya, timbul tekanan menyebabkan mereka ketagih dan terjebak dengan dadah, pil ecstasy atau minuman keras.
Ada segelintir pekerja suka membuli atau gemar memarahi orang lain, menyalahi rakan sepejabat, mengalami perasaan kecewa dan lebih serius lagi kes bunuh diri.
Semua paparan masalah itu wujud jalan penyelesaian yang tuntas dan berkesan jika pekerja mengamalkan ajaran agama masing-masing.
Ajaran Islam melalui kitab suci al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW memberi teladan terbaik kepada umat manusia untuk dicontohi dalam kehidupan bekerja. Antara tuntutan sebelum melakukan kerja mestilah dimulakan dengan niat yang betul dan ikhlas.
Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap perbuatan itu bermula dengan niat.” Jika bekerja semata-mata untuk memperoleh ganjaran dunia, maka pampasan dunia yang sementara itulah dimilikinya.
Jika niat bekerja kerana Allah, sudah pasti segala tingkah laku akan berdasarkan budaya yang dalamnya mempunyai nilai ihsan seperti yang disarankan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Nilai ihsan adalah suatu konsep yang besar untuk dihayati sempena sambutan Hari Pekerja semalam, demi membawa transformasi lebih berkualiti dalam aspek pekerjaan seharian dan akhirnya membawa manfaat kepada organisasi, seterusnya masyarakat dan negara.
Justeru, semua pekerja semestinya menjadikan budaya kerja cemerlang sebagai diari hidupnya supaya dapat menjalankan amanah dipertanggungjawabkan sebaik mungkin. Budaya kerja cemerlang mempunyai impak besar terhadap kualiti dan kecemerlangan dalam aspek kehidupan insan.
Malah, kesempurnaan kerja sudah menjadi prinsip asas dalam ajaran Islam sebagai satu ajaran yang progresif, sarwajagat, nilai dan prinsipnya dinamik serta relevan ke arah pembentukan komuniti berkualiti dan produktif.
Tambahan pula, Islam memandang kualiti atau kesempurnaan sebagai proses membawa transformasi positif ke arah prestasi terbaik dalam semua aspek tingkah laku manusia. Bukan saja tercapai matlamat atau objektif, akan tetapi memperoleh kejayaan hakiki di dunia dan akhirat.
Sehubungan itu, Rasulullah SAW sudah lama mengungkapkan saranan menerusi hadis Baginda yang diriwayatkan Saidatina Aisyah: “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyukai jika seseorang melakukan sesuatu perbuatan secara Itqaan atau bersungguh-sungguh (sempurna).” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Jelas budaya itqaan atau kesungguhan, ketelitian dan ketekunan dalam kerja, pasti membuahkan hasil produk atau perkhidmatan mempunyai impak besar kepada organisasi dan menyebabkan pelanggan berpuas hati dengannya.
Di samping budaya itqaan melaksanakan tanggungjawab, pekerja seharusnya menjadikan nilai ihsan sebagai amalan seharian. Nilai ihsan dalam erti kata Islam adalah suatu komitmen kualiti sesuatu tindakan semata-mata kerana Allah.
Nilai ini dijelaskan Baginda Rasulullah SAW bersama Malaikat Jibril melalui hadis sahih yang masyhur berkaitan dengan iman, Islam dan ihsan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ihsan adalah kamu beribadat seolah-olah kamu melihat Allah. Jika kamu tidak dapat melihat-Nya, sesungguhnya Dia (Allah) pasti melihat kamu.” (Riwayat Imam Muslim dan Bukhari)
Sebagai pekerja, marilah memperbaharui niat bagi menjayakan perancangan atau transformasi yang digubal pihak pengurusan atau kerajaan ke arah mencapai gagasan dan wawasan negara.
Seterusnya, berusaha mencapai tujuan bekerja untuk keberkatan hidup di dunia serta mendapat ganjaran di sisi Allah. Keredaan Allah dirahsiakan daripada pengetahuan manusia termasuk kekasih-Nya Nabi Muhammad SAW.
Sumber : http : //www,bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan