BAHASA menunjukkan bangsa. Selalu sangat kita mendengar perumpamaan ini, tetapi sejauh manakah kita menghayatinya?
Lebih daripada itu, sejauh manakah kita berusaha untuk menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul dan tepat dalam setiap penulisan dan tutur bicara?
Kelihatannya kecelaruan dalam berbahasa hari ini semakin membimbangkan. Apatah lagi baru-baru ini timbul kes segelintir pelajar sekolah menjawab peperiksaan dengan bahasa SMS, yang ringkas dan mempunyai kesalahan ejaan yang melampau.
Bayangkan, hal itu berlaku di dewan peperiksaan dan kertas jawapan itu akan menentukan hala tuju masa depan pelajar terbabit. Begitu pun boleh dibuat main-main lagi, apatah lagi kalau berbicara di laman sosial.
Hal ini juga terjadi dengan begitu leluasa dalam industri hiburan tempatan. Setelah disogokkan dengan drama dan filem yang begitu bersungguh-sungguh memperjuangkan bahasa rojak, saya semakin sedih dengan penampilan artis-artis kita apabila melihat ke laman sosial mereka sendiri.
Laman sosial selain mempromosikan aktiviti peribadi, kini menjadi medan untuk memperlihatkan sikap kurang prihatin orang seni kita mengenai cara berbahasa dengan baik. Sangat carca marba.
Tak percaya? Selaklah laman sosial artis muda dan karyawan seni. Berapa keratkah yang memilih untuk menggunakan bahasa yang betul?
Kita tidak meminta mereka menggunakan bahasa bombastik atau puitis tahap puisi agung sasterawan negara, sebaliknya sekadar mengeja dengan betul dan tepat tanpa banyak kesalahan tatabahasa. Itu pun susah sangat ke?
Dan hal ini terjadi bukan kepada artis sahaja, sebaliknya berdasarkan pemerhatian saya, lebih 90 peratus daripada pengguna laman sosial tidak berbahasa dengan betul.
Kita seolah-olah mewariskan kecelaruan bahasa kepada anak-anak yang hari ini lebih senang mengeja ‘blh’ untuk boleh, ‘sy’ untuk saya, ‘mcnta’ untuk mencintai, 10q (disebut ten q) untuk ‘thank you’. Dan pelbagai pilihan perkataan tidak normal lain yang dijadikan sebagai pilihan.
Hairannya kalau dalam Bahasa Inggeris, tahu pula mereka menggunakan pilihan kata-kata dengan tepat. Mereka malu tidak keruan apabila menulis atau bercakap dalam Bahasa Inggeris yang ‘cacat’. Sebaliknya dalam bahasa ibunda sendiri boleh buat-buat lupa, sangat menyedihkan.
Kita marah atau boleh tiba-tiba naik angin kalau bangsa lain bercakap sesuatu yang jelek tentang bangsa atau bahasa kita. Kita ketawakan Siva atau Ah Cong kalau mereka bertutur dalam bahasa pelat dan tidak lancar bercakap Melayu.
Tetapi dalam masa yang sama, kita seolah-olah terlupa bahawa orang kita sendiri lebih ramai yang ‘menghina’ bahasa sendiri.
Dan apabila membicarakan hal artis, ia lagilah tidak sepatutnya boleh berlaku. Ini kerana bagi saya, artis adalah golongan yang sepatutnya mempunyai hati yang ‘lebih besar’ untuk memperjuangkan kesenian dan kebudayaan bangsanya.
Sementelah sifat seni itu sendiri yang turut berkait rapat dengan bangsa dan budaya, seharusnya kita mengharapkan karyawan seni adalah orang yang berada pada barisan depan memperjuangkan hal berkaitan bahasa dan bangsanya sendiri.
Peranan artis sebenarnya bukan mudah. Kita akur, tidak semua artis mahu menjadi idola masyarakat, tetapi sekurang-kurangnya jadikan kehadiran kita ke dunia seni dilihat melalui cara yang baik.
Tanpa perlu menggalas senjata ke medan perang, tanpa bertarung di medan politik, kita juga boleh memberi sumbangan kepada nusa dan bangsa.
Kepada teman-teman artis yang barangkali terbaca coretan saya minggu ini, ayuh kita mulakan sesuatu yang baru, hari ini juga.
Berusahalah sedaya mungkin untuk menggunakan bahasa Melayu yang betul dan tepat. Kalian mempunyai ribuan peminat yang sentiasa mengekori dan memerhati, sekurang-kurangnya ajarlah mereka, ajaklah mereka ke arah yang baik ini.
Jadikan laman sosial kalian sebagai medan untuk berkempen ke arah penggunaan bahasa Melayu yang betul, bukan medan untuk ‘porak-peranda’ kan bahasa ibunda.
Kalau bukan kita yang berusaha, siapa lagi? Masih ada masa untuk kita berubah.
Kasihanilah guru-guru Bahasa Melayu kita dahulu yang ‘berbuih mulut’ mengajar tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul. Tentunya hari ini ada antara mereka yang menangis sedih apabila melihat kita terus mencampakkan segala ajaran yang telah mereka berikan pada suatu ketika sewaktu kita masih di bangku sekolah. Kasihanilah guru-guru kita itu.
Ayuh, berubahlah!
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan