Fasih bahasa Inggeris bukan jaminan dapat kerja
Susunan Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
ANTARA isu hangat masih terus diperkatakan ialah keupayaan pelajar menguasai bahasa Inggeris yang dianggap berada di takuk lama dan tidak memberangsangkan.
Kegagalan menguasai bahasa itu dianggap bukan saja merencatkan masa depan, malah meletakkan mereka dalam kelompok kelas kedua yang bakal ketinggalan dalam persaingan dunia global.
Tidak mahu terus dibelenggu kecaman, pelbagai usaha dilakukan semata-mata mahu memastikan golongan terbabit berjaya menguasai bahasa antarabangsa itu biarpun secara asasnya, penguasaan bahasa Inggeris yang baik bukan jaminan total memperoleh pekerjaan.
Bagaimanapun, di tengah kerancakan itu, masyarakat seolah-olah terlupa kepentingan menguasai bahasa Melayu yang turut sama berperanan dalam pembangunan akademik, sahsiah serta profesionalisme bangsa.
Meskipun mendapat pengiktirafan dunia, hakikatnya masih ramai malu mahu menuturkannya dengan alasan ‘takut jatuh standard’ sehingga bahasa itu seolah-olah menjadi asing di kalangan masyarakat.
Persoalannya, apakah bahasa Melayu tidak berperanan besar membantu pelajar memasarkan diri dalam arena pekerjaan, sekali gus gagal menawan hati majikan?
Atau sebenarnya, pelajar sendiri malu menutur dan memartabatkannya hingga ia menjadi ‘bahasa diskriminasi’ serta dianggap bahasa kelas bawahan bagi mereka yang mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik?
Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Datuk Paduka Dr Mohd Rosli Saludin berkata, tanggapan mengaitkan bahasa Melayu sebagai bahasa picisan lahir daripada ketaksuban mengagungkan bahasa asing.
Beliau berkata, keadaan bertambah kritikal apabila wujud tanggapan dangkal mengenai kepentingan bahasa Inggeris di pasaran semasa hingga mengakibatkan kelestarian bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda semakin terpinggir.
“Hakikatnya, fungsi bahasa bukan saja mencerminkan perpaduan atau konsep jati diri secara individu, malah mengimbangi semua keperluan semasa. Ia medium interaksi menyampaikan maksud dan melaksanakan tanggungjawab.
“Peranan bahasa sama ada Melayu atau Inggeris bukan fokus utama namun bertukar menjadi kepentingan apabila dipraktikkan dalam sudut tertentu hingga akhirnya menjejaskan fungsi bahasa lain.
“Keperluan dan kehendak persekitaran menjadikan bahasa Inggeris lebih mendominasi kerana masyarakat sendiri mengiktirafnya sebagai bahasa global hingga menenggelamkan bahasa lain termasuk bahasa Melayu,” katanya.
Tidak menolak kepentingan menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi dunia, namun meminggirkan bahasa Melayu dalam konteks pendidikan atau sebagai bahasa picisan tidak boleh dilakukan terutama di kalangan warga berpendidikan institusi pengajian tinggi.
Menurutnya, ia bukan saja menimbulkan ketaksuban terhadap bahasa luar, malah memecah-belahkan pelajar kepada dua kelompok iaitu mereka yang fasih dianggap terbaik manakala tidak sebagai golongan bertaraf kelas kedua.
“Ini sekali gus mewujudkan jurang dan ketidakadilan dalam penilaian pelajar. Bayangkan, hanya kerana tidak fasih berbahasa Inggeris, mereka dianggap tidak layak atau kurang berkemampuan.
“Walaupun diakui, pelajar yang fasih berbahasa Inggeris lebih menonjol, tiada siapa dapat memberi jaminan mereka boleh melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
“Ini bukan prejudis namun sebagai contoh perbandingan, bahasa tidak boleh dijadikan penilaian untuk memberi kredit kepada pelajar,” katanya mengakui pelajar yang cemerlang menguasai bahasa Melayu boleh melakukannya untuk bahasa Inggeris namun belum tentu sebaliknya.
“Bahasa Melayu sangat kompleks kerana mempunyai banyak keindahan bahasa yang tersembunyi, berbentuk kiasan, puitis dan indah. Berbanding bahasa Inggeris, ia lebih mudah dan tidak memerlukan penghayatan mendalam.
“Pelajar yang boleh menguasai bahasa Melayu, selalunya boleh menguasai bahasa Inggeris namun keadaan menjadi sukar sebaliknya,” katanya.
Tambah memburukkan keadaan, keengganan sebahagian majikan yang terlalu mementingkan kefasihan bahasa asing menyebabkan pelajar terpaksa berhempas-pulas mempelajari bahasa lain sehingga menyebabkan bahasa Melayu terpinggir.
“Bayangkan ada majikan langsung tidak memandang keperluan bahasa Melayu sewaktu menemu duga calon.
“Kita faham, bidang kerjaya memang mementingkan bahasa Inggeris, namun biarlah berpada dan mengikut kesesuaian.
“Apa salahnya menggunakan bahasa Melayu, adakah jatuh standard atau lekeh?
“Seharusnya bahasa Melayu mendapat tempat utama dan istimewa di kalangan semua dan perlu dimartabatkan tanpa mengira bangsa, latar belakang dan sebagainya,” katanya.
Beliau juga menafikan bahasa Melayu tidak boleh memberi impak hebat seperti bahasa lain kerana masyarakat antarabangsa sudah berlumba-lumba mempelajarinya.
“Jika bangsa luar menyokong, mengapa tidak kita sedangkan ia sudah dimartabatkan sebagai bahasa dunia,” katanya.
INFO:
SEBAGAI usaha memartabatkan bahasa Melayu, Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan diadakan pada Oktober setiap tahun. Sambutan yang mula diperkenalkan pada 2009 ini juga antara lain bertujuan memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia dengan menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan