Oleh TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM
tansrialimuddin@yahoo.com
Pengetua merupakan orang penting yang boleh mencorakkan pencapaian cemerlang sesebuah sekolah melalui keterampilan, dedikasi dan keperibadian yang ada pada dirinya.
Ilmu kepengetuaan pula ialah memiliki kemahiran mentadbir dan mengurus, kemahiran sosial, kemahiran berfikir dan lain-lain kemahiran yang boleh membantu mempercepatkan lagi pencapaian dan kecemerlangan sekolah.
Demikianlah antara intisari ucapan perasmian oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua-Pengetua Sekolah Malaysia kali ke-50 di Subang Jaya, Selangor, Jun lalu.
Persidangan tersebut dianjurkan oleh Majlis Pengetua Sekolah Menengah dengan tema 'Kepimpinan Holistik Menjana Transformasi Pendidikan Negara'.
Bagi mencapai hasrat menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020, transformasi dalam bidang pendidikan perlu dilakukan secara berterusan terutama bagi melahirkan modal insan yang holistik yang mampu mengharungi segala cabaran sama ada di peringkat domestik atau global.
Tidak dapat dinafikan bidang pendidikan merupakan asas utama kepada pembangunan negara. Dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan pendidikan itu, peranan kepimpinan pengetua sering dijadikan fokus utama.
Dalam hal ini pencapaian sesebuah sekolah tidak dilihat dari pencapaian akademik semata-mata tetapi yang lebih penting dapat melahirkan pelajar yang holistik iaitu mempunyai kemahiran intelek, sosial, fizikal dan berkeupayaan menyesuaikan diri dalam apa sahaja situasi dan keadaan.
Banyak kajian telah dilakukan untuk melihat faktor kejayaan sesebuah sekolah dan ramai di kalangan mereka berpendapat peranan pengetua dan ditambah memiliki ilmu kepengetuaan adalah faktor yang signifikan.
Kepimpinan yang berkualiti dan holistik akan dapat mengubah sekolah yang hanya dalam keadaan biasa kepada sekolah yang berkesan atau cemerlang.
Dalam usaha untuk melahirkan sekolah cemerlang itu, ada beberapa kriteria yang perlu dimiliki oleh pengetua, antaranya mereka mestilah merupakan seorang yang berwawasan.
Oleh itu, bagi mencapai hasrat tersebut sebagai pemimpin utama di sekolah mestilah mempunyai perancangan dan strategi tertentu. Bagi mencapai hasrat tersebut mereka juga perlu mendapat sokongan dan kerjasama kuat daripada semua peringkat warga sekolah.
Bagi mencapai matlamat ke arah negara maju seperti yang digariskan dalam dasar negara, Kementerian Pelajaran telah menyediakan pelan dan garis panduan tertentu untuk dilaksanakan oleh semua sekolah.
Justeru pengetua mestilah berupaya untuk memahami dan sentiasa mengamalkan dasar-dasar yang telah disediakan, keupayaan untuk menterjemahkan dasar kepada tindakan memerlukan kemahiran tertentu yang dimiliki oleh pengetua berkenaan.
Dari segi peribadi pengetua yang berkesan kebiasaannya memiliki sifat dedikasi, bertanggungjawab, berkeyakinan tinggi dan tidak mudah berputus asa.
Kemahiran atau memiliki ilmu kepengetuaan akan dapat membantu pengetua melaksanakan tugas dengan lancar. Pendekatan kepimpinan yang holistik dengan menggunakan pelbagai gaya kepimpinan akan dapat mempengaruhi orang bawahannya supaya bekerja untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.
Pengurusan sumber manusia terutama keupayaan menguruskan guru dan pelajar secara berkesan akan dapat membantu mencapai matlamat sekolah dengan cepat. Guru merupakan aset penting kepada sekolah.
Dengan memberikan 'empowerment' dan kepercayaan akan membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan yakin dan sedia memberi sokongan kepada perancangan yang telah disediakan.
Pengetua yang berkesan tidak akan mengabaikan hubungan baik dengan ibu bapa dan komuniti. Pelbagai aktiviti perlu diadakan secara berterusan.
Masalah disiplin pelajar, kekurangan dana dan sebagainya dapat diatasi melalui perkongsian pintar dengan pihak-pihak di luar sekolah terutama dengan ibu bapa.
Peranan pengetua adalah penting bagi membantu merealisasikan dasar-dasar kerajaan khususnya dalam melahirkan warga negara yang kompeten, bertanggungjawab dan sedia menghadapi cabaran masa depan.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan