Rabu, 22 Februari 2012
ISU EKONOMI : Mewujudkan lebih ramai bilionair Melayu
Oleh Tan Sri Muhammad Ali Hashim
BEBERAPA akhbar nasional minggu lalu melaporkan senarai warga Malaysia terkaya. Laporan yang memetik artikel majalah Malaysian Business menonjolkan Robert Kuok sebagai warga Malaysia terkaya dengan nilai harta RM45.7 bilion. Kuok diikuti Ananda Krishnan dengan RM42.9 bilion milik beliau.
Daripada jumlah 10 orang terkaya dalam senarai itu terdapat cuma seorang anak Melayu, iaitu Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary di tempat kelima (RM9.5 bilion). Ini bermakna, dari segi jumlah bilangan 10 bilionair terkaya, Melayu mempunyai bahagian 10 peratus. Namun, dari segi nilai kekayaan, nilai harta Syed Mokhtar cuma merupakan 6.1 peratus daripada jumlah RM155.7 bilion yang dimiliki oleh 10 bilionair terkaya di Malaysia.
Dalam senarai 40 orang warga terkaya Malaysia pula terdapat lapan orang Melayu-Muslim, iaitu cuma 20 peratus. Namun dari segi nilai harta, lapan orang Melayu- Muslim memiliki hanya RM19.9 bilion, atau 1.03 peratus daripada jumlah besar RM193.2 bilion nilai harta milik 40 warga terkaya. Jelas sekali ketinggalan dan betapa jauh terpinggirnya Melayu dalam pembahagian harta kekayaan negara berdasarkan pembahagian milik individu.
Laporan menyenaraikan individu jutawan dan bilionair terkaya menjadi satu ‘trend’ yang semakin menarik perhatian masyarakat Malaysia. Ia sebenarnya mencontohi negara kapitalis Barat, terutama Amerika Syarikat (AS), yang ghairah menjadikan jutawan dan bilionair individu sebagai ikon masyarakat menerusi senarai “Fortune 500” dan majalah Forbes.
Di Barat, khasnya di AS yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis berciri individualistik ekstrem, keghairahan menonjolkan individu terkaya sememangnya menjadi tradisi. Semua warga bisnes dan korporat akan berlumba- lumba mendapat tempat dalam senarai seperti ini. Siapa yang tidak mahu jadi kaya-raya! Memasuki dan mendapat tempat dalam senarai jutawan dan bilionair menjadi aspirasi hidup setiap warga bisnes dan korporat Amerika, iaitu dalam konteks sebuah negara sekular-materialis dengan falsafah hidup mengutamakan kebendaan. Justeru, mana-mana golongan dalam masyarakat Barat yang kecil jumlah jutawannya, akan dianggap lemah berbanding golongan lain, tidak berjaya, dipandang rendah dan disifatkan “masih belum sampai - has not arrived!”
Apakah dengan rendahnya bilangan jutawan dan bilionair individu Melayu-Muslim, umat Islam Malaysia harus turut memandang diri mereka kerdil, lemah dan “belum sampai” ke satu taraf ekonomi yang boleh membanggakan? Adakah kerana itu mereka ketinggalan, justeru darjat sosial mereka juga harus di pandang jauh lebih rendah daripada kaum lain? Ada bahayanya jika kita terlalu terpengaruh dengan persepsi Barat terhadap hak milik harta kekayaan peribadi dan individualistik. Kerana persepsi ini membuat ramai Melayu memberi keutamaan kepada dasar dan strategi menambah bilangan jutawan dan bilionair individu Melayu-Muslim. Kesannya, ada yang akan sanggup mencipta “ bilionair segera” dengan menswasta atau “memfaraidkan” ekuiti milik GLC kepada individu.
Kerajaan juga boleh terpengaruh dengan pendekatan liberalisasi sehingga merancang untuk melepaskan pegangan dalam GLC tanpa berfikir panjang terhadap kesan sampingan yang memudaratkan kepentingan masa depan bangsa dan negara.
Apakah ada pilihan alternatif bagi Melayu- Muslim menguasai syarikat berbilion ringgit tanpa melebarkan jurang kaya-miskin, juga tanpa mengakibatkan ketidakadilan meluas yang berlaku sekiranya hak milik GLC diswastakan? Paradoks ini penting diatasi dengan penuh hikmah. Kerana, berlainan dengan nilai hidup Amerika yang berciri individualistik, masyarakat Melayu yang beragama Islam adalah berciri umat jamaah. Nilai hidup berjemaah menuntut pendekatan dasar dan strategi bercorak ijtimaai yang berupaya menggembleng tenaga dan keupayaan individu, tetapi bukan untuk kepentingan peribadi semata-mata.
Islam tidak antikekayaan, malah kuat probisnes sebagai salah satu sunnah besar Rasulullah SAW. Demikian juga, Islam tidak antiharta milik peribadi. Malah harta kekayaan peribadi dan swasta dilindungi dengan tegas oleh syarak. Masyarakat Islam Malaysia telah pun menyambut seruan ini, menjadikannya falsafah dan prinsip yang diterap ke dalam pendekatan dan strategi nasional, terutama di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Jutawan individu diketengahkan, tetapi bukan dengan mengetepikan hak dan kepentingan masyarakat besar dan kepentingan jangka panjang generasi muda dan generasi akan datang.
Di sinilah letaknya rasional dan pertimbangan utama negara dalam menentukan supaya sebahagian daripada hak milik ekuiti negara dipegang oleh institusi amanah dan GLC. Perhatikan, dengan kehadiran GLC sebagai institusi amanah dari sejak DEB dilancar, kepentingan besar masyarakat Malaysia untuk semua kaum dan keturunan lebih terjamin, terlindung dan terpelihara. Hasil daripada DEB, keadilan ekonomi dan kesejahteraan sosial dapat kita nikmati sampai ke hari ini.
Perhatikan juga betapa hak milik GLC sebagai institusi amanah berupaya memperkasa rakyat majoriti dan membela kedudukan mereka. Kehadiran GLC besar impaknya kepada pemerkasaan ummah, sekalipun semuanya bukan milik mereka secara langsung di sisi undang-undang.
Sebagai bukti, daripada 20 syarikat tersenarai (PLC) di Bursa Malaysia pada 17 Februari, 2012, 8 adalah milik GLC. Nilai pasaran modal (market capitalization) 8 syarikat ini berjumlah RM304.7 bilion, iaitu 42.9 peratus daripada jumlah nilai untuk ke-20 syarikat PLC teratas. Seterusnya, GLC seperti Johor Corporation memiliki 4 syarikat PLC dalam senarai 100 syarikat terbesar. Nilai keseluruhan syarikat PLC ini berjumlah RM13.7 bilion, iaitu memberikan kumpulan JCorp kedudukan ke 25 antara syarikat PLC di Malaysia, mengatasi syarikat Nestle Bhd. Selain itu, peranan GLC sebenarnya diiktiraf di beberapa negara lain seperti China, Singapura dan Brazil.
Majalah The Economist, The World in 2012 menyatakan nilai pasaran modal Bursa China membabitkan 80 peratus milik GLC, dan di Brazil 38 peratus. China, Singapura dan Brazil berpendirian tegas tidak menciplak sepenuhnya sistem kapitalis Barat dan sedang giat membina sistem pasaran alternatif. Kenapa pula Malaysia harus menciplak Kapitalis Barat secara membabi-buta?
Malangnya, nilai tinggi harta milik GLC sebagai institusi amanah langsung tidak diambil kira dalam senarai 40 warga terkaya Malaysia, kerana tumpuan masyarakat turut keterlaluan memberi keutamaan kepada harta milik peribadi. Seperti dinyatakan, ekuiti milik GLC dalam syarikat tersenarai melebihi 42 peratus, iaitu satu jumlah yang bukan kecil. Dalam kata lain, setelah diambil kira kepentingan nilai aset milik GLC yang mewakili semua warga negara, golongan majoriti rakyat Malaysia yang sebahagian besarnya bukan dari kalangan bisnes dan korporat, termasuk golongan miskin, turut mendapat tempat dan diperkasa kedudukan ekonomi dan sosial mereka.
Justeru, kedudukan kepentingan majoriti rakyat dalam ekuiti negara yang dimiliki menerusi institusi amanah GLC wajar dan wajib dipertahankan. Alangkah baiknya, untuk memantapkan lagi kepentingan rakyat jelata supaya lestari dan kekal berpanjangan, sekiranya sebahagian daripada ekuiti amanah milik GLC ini diwakafkan di bawah kendalian institusi Waqaf Korporat! Mewakafkan sebahagian ekuiti milik GLC menepati potensi wakaf sebagai penjana pembangunan umat, di samping menjanjikan hak milik kekal berpanjangan insya-Allah, sekali gus menegakkan keadilan masyarakat. Mewakafkan ekuiti sebenarnya juga merupakan langkah “penswastaan”, iaitu mengikut kaedah Islamik dah berasaskan institusi. Ia jelas menepati seruan titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah di Seminar Wakaf di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Antara lain, Baginda berpendapat Waqaf Korporat “…adalah kaedah yang berupaya menampung lubang ketirisan yang pernah berlaku. Ia adalah jarum dan benang yang berupaya menjahit dan mencantumkan kembali DEB yang dirobek dan dikoyakkan oleh perbuatan menyimpang di masa lalu.”
PENULIS ialah Timbalan Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM).
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan