Selasa, 21 Februari 2012

ISU UMUM : Malaysia Duduki Ranking 122 Indeks Kebebasan Akhbar


KUALA LUMPUR: Malaysia memperbaiki kedudukan dengan menduduki tempat ke-122 di dalam Indeks Kebebasan Akhbar 2011/2012 yang direkodkan oleh Reporters Without Borders.

Dalam indeks 2010, Malaysia menduduki tempat ke-141.

Indeks terbaru ini menunjukkan Malaysia mendahului negara-negara serantau yang lain seperti Singapura yang menduduki tempat ke-135, Thailand (137), Filipina (140) dan Indonesia (146).

Finland dan Norway bersama-sama menduduki tempat teratas dalam kajian kebebasan akhbar yang melibatkan 179 negara, diikuti Estonia dan Belanda yang terikat di tempat ketiga, manakala Austria di tempat kelima.

Lima lagi antara 10 negara teratas daripada segi kebebasan akhbar adalah Iceland dan Luxembourg di tempat keenam, Switzerland (lapan), Cape Verde (sembilan), serta Kanada dan Denmark yang terikat bersama di tempat ke-10.

Menduduki tempat terbawah dalam senarai adalah Turkmenistan (177), Korea Utara (178) dan Eritrea (179).

Menurut laporan itu, Pakistan (151) merupakan negara paling bahaya bagi wartawan untuk tahun kedua berturut-turut.

"Somalia (164), yang masih dalam kancah perang saudara selama 20 tahun, tidak menunjukkan petanda akan keluar daripada pergolakan di mana wartawan menanggung risiko tinggi untuk bertugas di negara itu," menurut laporan itu.

Jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, 39, terkorban semasa bertugas di ibu negara Somalia, Mogadishu, pada 2 September tahun lepas menyebabkan desakan kepada perlindungan yang lebih baik diberikan bagi petugas media yang dihantar membuat liputan di kawasan bencana dan peperangan.

Laporan itu menyatakan Amerika Syarikat, yang menduduki tempat ke-47, jatuh 27 tempat daripada tahun sebelumnya berikutan penahanan ramai wartawan semasa membuat liputan tunjuk perasaan bantahan "Occupy Wall Street".

Mengulas Indeks Kebebasan Akhbar tahun ke-10, Reporters Without Borders berkata: "Indeks pada tahun ini menyaksikan banyak perubahan kedudukan, perubahan yang menggambarkan perkembangan pesat dan drastik terutamanya di dunia Arab."

Ia menyatakan banyak media terpaksa menanggung risiko tinggi bagi membuat liputan aspirasi demokrasi.

"Tahun yang berlalu juga memperlihatkan peranan yang diterajui pengguna Internet dalam menghasilkan dan menyebarkan berita," menurut pertubuhan, yang turut memaklumi penyertaan Cape Verde dan Namibia dalam kalangan 20 negara teratas. BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan