Oleh : LIM WEY WEN
PETALING JAYA :
Malaysia semakin bising dan rakyat seawal umur 12 telah dikesan menghadapi
masalah pendengaran kerana bunyi persekitaran yang kuat.
Dalam 'roadshow'
sejak bulan Januari yang dilakukan pusat pendengaran Bay Audio Malaysia yang
melakukan ujian terhadap kira-kira 4,000 rakyat Malaysia mendapati satu pertiga
daripada mereka yang menjalani ujian pendengaran lima minit menunjukkan masalah
pendengaran ringan sehingga peringkat yang teruk.
"Kebanyakan
mereka berusia lebih 55 tahun, tetapi kita juga melihat remaja seawal umur 14
tahun menunjukkan tanda-tanda awal kehilangan pendengaran," kata
audiologis kanan, Andrew Campbell.
Mereka
bagaimanapun bukanlah mangsa yang paling muda.
Perunding dan
Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak, Dr K. Gopalan Nair menemui tiga anak
muda berumur 12 dan 13 yang kurang pendengaran tahun ini.
"Ibu bapa
mereka membawa mereka berjumpa saya kerana mereka tidak lagi bertindak balas
apabila dipanggil.
"Ibu bapa mereka
terpaksa berteriak," kata Dr Gopalan, yang berkhidmat di Hospital Lum Wah,
Pulau Pinang.
Tahun lepas, Dr
Gopalan berhadapan sekurang-kurangnya 10 remaja yang mempunyai masalah yang
sama.
"Jika remaja
ini tidak sedar bahawa mereka merosakkan pendengaran mereka dengan mendengar
pemain mp3 atau iPod dengan kuat, mereka mungkin memerlukan alat pendengaran
apabila mereka mencapai umur 30 atau 40 tahun," kata Dr Gopalan.
Dr Gopalan juga
berkata saraf yang rosak disebabkan sering terdedah kepada bunyi bising boleh
menyebabkan gejala 'tinnitus'.
Tetapi masalah
pendengaran akibat bunyi bising tidak hanya disebabkan muzik yang kuat daripada
iPod atau pemain mp3.
Pakar-pakar
berkata, dunia hari ini sebenarnya mempunyai persekitaran yang bising.
Campbell, yang
mengambil ukuran bunyi dari beberapa kelab malam tempatan, telah mencatatkan
paras bunyi dari 110dB (desibel) ke 123dB, bunyi yang lebih kuat berbanding
gerudi tangan dan gergaji elektrik.
Suasana
sedemikian hanya selamat diduduki selama kurang daripada 15 minit, kata
Campbell.
Tinjauan oleh The
Star menggunakan aplikasi mudah alih yang dicipta oleh Pihak Berkuasa Tenaga
Kerja Alam Sekitar Sweden di sekitar bandar mencatatkan tahap kebisingan yang
tinggi daripada pekikan dan suara di pasar malam (kira-kira 94dB) dan pada
kereta api (setinggi 110dB) yang digabungkan dengan bunyi geseran gerabak di
landasan.
Menurut doktor
kesihatan pekerjaan, Dr Abed Onn, lebih ramai orang muda menunjukkan
tanda-tanda kehilangan pendengaran lebih awal sebelum mereka mula bekerja di
kilang-kilang dan tempat kerja lain yang bising.
Walaupun tidak
banyak kajian rasmi dilakukan terhadap masalah pendengaran akibat bunyi bising
di Malaysia, Dr Abed berkata ramai orang muda telah menunjukkan tanda-tanda
awal penyakit itu apabila mereka telah diuji sebelum memulakan kerja.
Dr Abed percaya
masalah pendengaran adalah salah satu daripada tiga 'penyakit pekerjaan' di
Malaysia di samping sakit belakang dan gangguan otot.
Beliau juga
berkata tahap selamat untuk mereka yang menggunakan 'headphone' untuk mendengar
muzik adalah kurang daripada 60 peratus takat bunyi maksimum dalam tempoh satu
jam sehari.
Sumber : http : //www.mstar.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan