SHAH ALAM: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
berkata kerajaan meletakkan sasaran realistik bagi membangunkan sistem
pendidikan negara setaraf atau lebih baik daripada negara maju dalam tempoh 10
hingga 15 tahun.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata usaha untuk
mencapai tahap sistem pendidikan setaraf negara maju bukan satu perkara yang
mudah dan perubahan dalam pembangunan sistem pendidikan negara tidak boleh
dilakukan terlalu drastik.
"Walaupun begitu perubahan-perubahan tentu akan
berlaku, tanggungjawab guru akan terus diperkukuhkan dan institusi pendidikan
kita yang telah sedia ada akan dapat kita perlengkapkan lagi," katanya ketika merasmikan Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong
di sini, Sabtu.
Beliau berkata langkah penilaian semula sistem pendidikan negara adalah untuk meningkatkan sistem pendidikan negara supaya setaraf dengan negara maju dan bukannya dengan negara yang mundur atau ke belakang.
Muhyiddin berkata 'benchmark' sistem pendidikan Malaysia
boleh dikatakan bagus tetapi masih belum boleh dikatakan setaraf atau setanding
di peringkat antarabangsa.
"Banyak orang kata sistem pelajaran kita baik, telah
pun dapat melahirkan generasi Malaysia yang telah dapat membantu memajukan
Malaysia pada hari ini.
"Tidak siapa yang boleh menolak kejayaan Malaysia hari
ini adalah antara lain atas sumbangan sistem pendidikan kita.
"Namun expectation masyarakat di negara ini juga tinggi
dan rakyat mahukan sistem pendidikan kita mesti setaraf atau lebih baik daripada
sistem-sistem pendidikan di negara-negara maju di dunia pada hari ini,"
katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat akan bersama-sama
kerajaan untuk mencapai matlamat menjadikan sistem pendidikan negara antara
yang terbaik di dunia.
Katanya mereka yang berminat dalam soal pelajaran diminta
tampil untuk mengemukakan idea dan cadangan yang bernas untuk digunakan sebagai
asas pertimbangan dalam kajian semula sistem pendidikan yang sedang dijalankan.
Beliau berkata memandangkan ruang dialog bagi menambah baik
sistem pendidikan telah disediakan, diharap tidak ada pihak yang cuba
membangkitkan isu tersebut di luar platform yang disediakan.
Antara perkara pokok yang diberi keutamaan dalam kajian
semula sistem pendidikan ialah mengenai kualiti guru, isu perguruan,
tanggungjawab guru, beban tugas guru, peranan guru di dalam dan di luar
sekolah, katanya.
"Kita juga fikirkan persoalan yang tidak kurang penting
tentang kurikulum dan sistem pentaksiran untuk menentukan bahawa segala apa
yang kita ada di sekolah ini dapat diukur dengan satu ukuran yang agak betul
untuk melihat sejauh mana anak-anak kita sudah berjaya dalam bidang
masing-masing," katanya.
Muhyiddin berkata kajian itu juga melihat bagaimana untuk
memantapkan sistem organisasi dan sistem penyampaian kementerian, peranan
kementerian dan jabatannya di peringkat negeri, daerah dan seterusnya di
peringkat sekolah.
Pada majlis itu, Muhyiddin juga meluluskan peruntukan RM2 juta untuk membina dewan Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong yang mempunyai 2,510 murid dalam dua sesi persekolahan.
Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong mula dibuka pada 2002
dengan 79 murid. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan