Terlebih dahulu
saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) atas kejayaan memperkenalkan sistem secara atas talian, iaitu e-GTukar, yang
telah memangkin proses permohonan pertukaran guru ke arah menjadi lebih telus
dan sistematik, mulai tahun 2008.
Mengambil sempena
siri Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 yang dilancarkan oleh Timbalan
Perdana Menteeri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29
April lalu, saya ingin memberi cadangan penambahbaikan dalam aspek pertukaran
guru. Ini sebagai usaha memartabatkan profesion perguruan dan memartabatkan
sistem pendidikan negara.
Rasionalnya, pada
setiap sesi permohonan pertukaran guru (sama ada pada sesi Januari atau Jun
setiap tahun) bagi sesebuah negeri, terdapat sejumlah guru yang layak
dipertimbangkan untuk bertukar masuk.
Bagaimanapun
mereka gagal dalam permohonan bagi sesi tersebut, walaupun menepati syarat
pertukaran (seperti mengajar opsyen subjek yang terdapat kekosongan di sesebuah
negeri), kerana situasi kekosongan tempat yang terhad bagi sesebuah negeri.
Ini jelas dapat
dilihat bagi kes-kes permohonan masuk ke negeri Kelantan dan negeri-negeri lain
yang dikategorikan sebagai kritikal.
Oleh itu, bagi
kumpulan guru yang 'layak tetapi gagal' dalam sesi permohonan pertukaran
semasa, seharusnya diberikan nombor giliran sebagai keutamaan untuk diluluskan
permohonan pertukarannya dalam sesi permohonan pertukaran akan datang.
Pemberian nombor
giliran kepada setiap guru yang memohon pertukaran ini boleh dipraktikkan,
dengan syarat permohonan yang dibuat oleh seseorang guru tersebut adalah
konsisten, iaitu melibatkan sebuah negeri yang sama sahaja pada setiap sesi
permohonan.
Saya berharap
agar Bahagian Pengurusan Sekolah Harian yang menguruskan permohonan pertukaran
guru bagi pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), dapat mencuba idea untuk
menyediakan sistem nombor giliran atau ranking bagi permohonan pertukaran guru
antara negeri.
Pengenalan sistem
ini diharap mampu meredakan prejudis dan tohmahan kepada KPM yang dikatakan
mementingkan 'kabel', dan pelbagai lagi tuduhan tidak benar dalam soal
menguruskan permohonan pertukaran guru.
Selamat Menyambut
Hari Guru 2012.
RAMBO MALAYA
Kota Bharu, Kelantan.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan