PETALING JAYA : Struktur bangunan setinggi 88 tingkat, Menara
Berkembar Petronas hampir tidak kelihatan pada hujung minggu lalu akibat
diselubungi asap jerebu.
Keadaan itu turut mendorong para doktor untuk mengeluarkan
amaran kepada mereka yang mempunyai masalah pernafasan supaya mengurangkan
aktiviti luar dan memakai topeng.
Jerebu yang berpunca daripada pembakaran secara terbuka di
kepulauan Sumatera, Indonesia menyebabkan beberapa negara jiran seperti
Malaysia, Thailand, Brunei dan Singapura turut terjejas teruk.
Golongan pakar berkata, beberapa pendekatan telah dilakukan
dalam tempoh 15 tahun sejak Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) buat
pertama kalinya berjanji untuk menangani masalah itu selepas kebakaran hutan
terburuk di negara tersebut.
Kebakaran itu dipercayai dilakukan untuk membersihkan
kawasan hutan di Indonesia.
Namun, beberapa pakar berkata, perkara utama yang perlu
dilakukan termasuklah menguatkuasakan undang-undang yang lebih baik dan
menjalin kerjasama antarabangsa.
Jerebu yang melanda Kuala Lumpur minggu lalu adalah antara
yang terburuk sepanjang tahun ini.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Halimah Hassan,
bacaan indeks pencemaran udara (IPU) berada pada tahap tidak sihat.
Pada Isnin lalu, angin barat daya telah membawa asap jerebu
ke beberapa kawasan di utara pantai barat Semenanjung.
Laman web ASEAN turut melaporkan bahawa asap jerebu melanda
selatan Thailand, awal minggu lalu.
Namun, kualiti udara di Kuala Lumpur bertambah baik pada
Jumaat dan tahap IPU di ibu negara menurun ke tahap sederhana.
Beberapa kawasan di Miri, Sarawak termasuk kepulauan Borneo
mencatatkan kualiti udara pada tahap tidak sihat ekoran kebakaran tanah gambut
sejak Khamis lalu.
Halimah berkata, jerebu akan berterusan sehingga bulan depan
dengan musim panas dan kering di daerah Riau Sumatera sehingga September ini.
Jabatan Alam Sekitar turut melarang pembakaran secara
terbuka di Malaysia dan meningkatkan usaha untuk mengawal pencemaran udara.
Bagaimanapun, Halimah berkata, kebakaran di Indonesia
menyebabkan kualiti udara di negara ini berada pada tahap tidak sihat.
Golongan penyelidik berkata, kebakaran yang dimulakan di
ladang sawit dan getah di Sumatera bertujuan untuk membersihkan tanah bagi
pembukaan ladang baru.
Walaupun jerebu telah reda, ia mengingatkan kembali krisis
jerebu pada tahun 1997 yang menyelubungi sebahagian besar rantau ini selama
berminggu-minggu.
Profesor Ekonomi Alam Sekitar di Universiti Teknologi
Nanyang, Singapura, Euston Quah berkata, krisis jerebu pada 1997 menyebabkan
Indonesia, Singapura, Malaysia dan selatan Thailand menanggung kerugian $4.5
bilion terutamanya kemerosotan dalam sektor pelancongan.
Menurut Quah, beliau percaya kerajaan Indonesia masih belum
bersedia untuk memenuhi syarat Perjanjian Asean mengenai Pencemaran Jerebu
Rentas Sempadan yang ditandatangani pada 2002.
Sebagai contoh, katanya, mereka perlu menunjukkan respons
segera dari pelbagai peringkat khususnya kerajaan apabila kebakaran berlaku.
Pada mesyuarat Mei lalu, menteri-menteri ASEAN memberitahu
Indonesia berjaya mengurangkan bilangan tompok panas, kawasan yang berpotensi
berlaku kebakaran tidak terkawal.
Namun, beberapa pakar alam sekitar berkata, penguatkuasaan
undang-undang lebih baik amat diperlukan.
"Jika mereka melaporkan kebakaran lebih awal, mereka
perlu diberikan ganjaran sama ada dalam bentuk hadiah atau wang supaya
kebakaran dapat dikawal," kata Quah.
Pengarah Jabatan Kawalan Kebakaran Hutan di Kementerian
Hutan Indonesia, Kurnia Rauf berkata, proses mengesan individu yang
bertanggungjawab melakukan pembakaran haram adalah sukar.
"Mereka memulakan pembakaran di kawasan terbuka untuk
pembukaan ladang kerana ia cepat dan mudah," katanya.
Pengarah Eksekutif Pusat Alam Sekitar, Teknologi dan
Pembangunan, Malaysia, Anthony Tan menggesa satu kajian mendalam dilakukan
untuk mengatasi masalah tersebut.
Beliau berkata, walaupun semua pihak menunding jari kepada
Indonesia, kebakaran di beberapa negara lain turut menyebabkan jerebu.
"Jadi ASEAN perlu melihat masalah ini sebagai masalah
serantau," katanya.
Sumber : http : //www.mstar.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan