Saudara Pengarang,
SAYA tertarik
dengan komen pembaca dalam ruangan Rakan Pahang minggu
lalu berhubung papan tanda di sekitar bandar Kuantan yang disifatkan lain
daripada yang lain.
Apabila mengamati papan tanda yang dimaksudkan,
mesej yang disampaikan diakui cukup berkesan dalam memberi kesedaran kepada
para pemandu.
Tentunya yang
menarik perhatian saya ialah papan tanda yang tertulis "Tak Rasa Bersalah
Ke...? Potong Q" di samping "Tak Rasa Bersalah Ke...? Buang Sampah Dari
Kenderaan Anda?"
Namun satu
persoalan timbul sama ada ia menepati sudut bahasa Melayu yang betul kerana ia
seperti menggunakan bahasa rojak selain bahasa percakapan atau bahasa pasar.
Memang
tanda-tanda amaran di jalan raya penting contohnya, jika ada tanda kawasan
licin maka pemandu perlu memperlahankan kenderaan bagi mengelakkan kejadian
tidak diingini.
Begitu juga tanda
mengenai had laju. Selain bertujuan mengawal kelajuan kenderaan di atas jalan
raya, ia juga untuk menyatakan had laju selamat bagi sesebuah kenderaan di atas
jalan raya tertentu.
Maka pihak
berkuasa yang terlibat mengharapkan papan tanda yang dipasang dapat memastikan
peringatan yang hendak disampaikan dapat memberi kesan kepada pengguna.
Bagaimanapun pada
masa yang sama, soal bahasa juga tidak harus diambil mudah kerana bahasa Melayu
adalah bahasa kebangsaan.
Apatah lagi
ketika ini kita bimbang dengan kecenderungan generasi muda yang gemar
menggunakan bahasa khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman sosial sehingga
terbawa-bawa ketika menjawab peperiksaan.
Mungkin Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai pihak yang lebih arif dapat memberikan pandangan
sekali gus menjadi garis panduan kepada pihak berkuasa dalam soal penggunaan
bahasa seperti itu.
PENCINTA BAHASA
Kuantan.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan