OLEH ROHAMI SHAFIE
SUDAH semestinya ekonomi pasaran
bebas tidak sesuai diamalkan di Malaysia. Ekonomi pasaran bebas yang hanya
mementingkan yang kuat dan kaya sahaja tetapi mengabaikan yang lemah mempunyai
banyak kelemahan yang amat ketara.
Krisis subprima di Amerika
Syarikat (AS) dan krisis hutang di zon Eropah menggambarkan dasar ekonomi
pasaran bebas tidak mendatangkan kemakmuran yang holistik kepada rakyat.
Laungan prinsip keadilan yang diuar-uarkan oleh negara Barat hanya sekadar
omongan kosong.
Pengangguran semakin bertambah,
rakyat semakin melarat manakala jurang kekayaan di antara golongan kaya dengan
yang miskin semakin melebar.
Dasar ekonomi pasaran bebas telah
lama dipinggirkan oleh Malaysia. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diasaskan pada
era 1970-an berteraskan kepada prinsip keadilan sosial banyak membantu rakyat
Malaysia. Melalui dasar ekonomi ini, kadar pertumbuhan ekonomi juga menjadi
fokus utama.
Sememangnya dasar ini berjalan
dengan baik sehinggalah Krisis Kewangan Asia 1997/1998 melanda negara telah
memperlihatkan betapa masih ada ruang penambahbaikan terhadap dasar ini.
Malaysia memerlukan satu dasar
ekonomi yang dapat memacu pertumbuhan secara saksama. Penulis lebih gemar
menggunakan perkataan saksama bagi menggambarkan kepentingan keadilan sosial
untuk semua pihak di Malaysia.
Dasar-dasar ekonomi yang saksama
tidak boleh memihak mana-mana pihak mahupun lokasi. Sebagai contoh apabila
sesuatu kaum sahaja yang mengawal ekonomi ia menggambarkan keadilan sosial
dalam ekonomi tidak dilaksanakan dengan baik. Dasar ekonomi keadilan sosial
perlu membantu kaum yang lemah.
Nikmat kekayaan bukan hanya untuk
golongan kaya. Di Malaysia, diketahui umum, kaum bumiputera masih ketinggalan
dalam banyak perkara, misalnya dalam pemilikan hartanah mewah, maka, dalam
memastikan dasar ekonomi dilaksanakan dengan saksama, kaum ini juga berhak
untuk memiliki hartanah yang lebih banyak dan bernilai tinggi. Bezanya dalam
pasaran bebas, kaum bumiputera akan dipinggirkan terus-menerus kerana mereka ini
adalah kaum lemah.
Maka, mereka tidak layak untuk
memiliki hartanah mewah di bandar meskipun mereka ini golongan majoriti rakyat
Malaysia. Secara tidak langsung, sedikit demi sedikit kaum bumiputera
disisihkan dalam arus pembangunan ekonomi bandar dan akhirnya mereka terpaksa
mencari tempat baru untuk bertapak mencari rezeki. Di manakah tempatnya jika
tidak di tempat asal mereka iaitu di kampung-kampung. Ini amatlah tidak baik
untuk negara dalam jangka masa panjang.
Malahan, dasar ekonomi pasaran
bebas yang tidak adil ini akan memberi kesan negatif dari segi perpaduan kaum.
Dengan mengamalkan dasar ekonomi keadilan sosial, jurang besar ekonomi antara
kaum dapat dikurangkan, rasa tidak puas hati pula di kalangan mereka dapat
diminimumkan manakala ekonomi negara dapat dipacu dengan lebih saksama dan
mapan.
Bagaimanapun ia tidak mudah
dilaksanakan kerana dalam mana-mana sistem ekonomi dunia sekalipun masih ada
segelintir golongan yang oportunis yang hanya memikirkan diri sendiri. Ini
tidak menghairankan kerana sekian lama dasar ekonomi pasaran bebas telah
menjajah pemikiran golongan sebegini.
Bagi mengubah pemikiran mereka
agar lebih melihat kemaslahatan masyarakat secara menyeluruh, dasar-dasar
ekonomi yang sedang dan akan dilaksanakan perlu mengambil kira pendekatan
inovatif, kreatif, tegas dan berani serta wasatiyyah. Inilah yang dikatakan
sebagai memecah tembok kemustahilan bagi memastikan pengagihan kek ekonomi
dilaksanakan dengan saksama.
Dasar ekonomi yang menitikberatkan
keadilan sosial juga tidak boleh meminggirkan kawasan luar bandar. Penumpuan
yang berlebihan terhadap ekonomi di bandar-bandar besar menyebabkan modal insan
di luar bandar berhijrah secara besar-besaran ke bandar seperti Kuala Lumpur
dan produk-produk luar bandar pula dipinggirkan.
Implikasinya cukup besar sama
sekali kerana apa akan terjadi kepada ekonomi luar bandar jika tiadanya modal
insan terbaik untuk memacu ekonomi luar bandar? Jurang kekayaan di antara
bandar dan luar bandar semakin melebar manakala taraf hidup penduduk bandar
akan semakin tinggi berbanding penduduk luar bandar sedangkan pertumbuhan yang
saksama mestilah melibatkan keterangkuman sebagaimana yang ditetapkan dalam
Model Baru Ekonomi (MBE).
Kuantiti dan kualiti pertumbuhan
hanya menjadi sia-sia belaka jika tidak melibatkan prinsip keterangkuman untuk
seluruh rakyat. Bagi mereka yang kurang bernasib baik seperti ibu tunggal, anak
yatim, orang miskin dan orang kelainan upaya (OKU) juga perlu diberi perhatian
dalam Bajet 2013 selain golongan berpendapatan sederhana ke bawah.
Sejumlah besar program dan
insentif dalam Bajet 2013 mestilah tertumpu kepada mereka kerana merekalah yang
paling banyak terkena tempias kos sara hidup yang semakin tinggi.
Bagi memperkukuhkan ekonomi
negara dan mempertingkatkan produktiviti, seterusnya meningkatkan pendapatan
rakyat ke tahap negara terbaik, agihan Bajet 2013 perlu dibuat secara berhemah
mengambil kira kemampuan kewangan kerajaan. Justeru, pengurangan defisit dan
hutang kerajaan patut menjadi agenda utama Bajet 2013 supaya ekonomi negara
akan kekal mapan dan seterusnya kekayaan negara dapat diagihkan secara saksama.
Inilah cabaran dan intipati utama
yang perlu ditekankan dalam Bajet 2013 agar semua pihak dapat merasai
kemakmuran negara. Hanya kerajaan yang berpegang pada prinsip keadilan sosial
mampu untuk mengharungi cabaran ini dan juga dapat melaksanakan tanggungjawab
yang diamanahkan oleh rakyat dengan saksama.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Dan Felo Penyelidik
Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan, Kolej Perniagaan Universiti
Utara Malaysia
Sumber : http : //www. utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan