PENYEDIAAN Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2012-2025 melibatkan tiga fasa yang diambil Kementerian Pelajaran
dalam memastikan sistem pendidikan negara adalah konsisten, berkesan, dinamik
serta memenuhi hasrat dan keperluan semua.
Menurut laporan awal pelan tersebut, fasa
pertama yang diambil dalam penyediaan pelan itu adalah melibatkan kajian semula
dan ujian menyeluruh tentang sistem pendidikan dengan membuat penilaian
terperinci prestasi pendidikan selain memberi tumpuan terhadap keberhasilan
murid.
Selain itu, tambah laporan berkenaan, fasa
pertama turut mentaksir punca sebenar dan penggerak utama pencapaian tahap
prestasi masa kini selain mengenal pasti kecemerlangan yang terdapat dalam
sistem pendidikan sebagai model untuk dicontohi.
''Keberhasilan murid, penggerak utama, contoh
kecemerlangan, kerja lapangan dan temu bual bersemuka, perbincangan berkumpulan
dan bengkel merupakan antara kaedah yang digunakan pada fasa pertama penyediaan
pelan tersebut.
''Hasil daripada kajian ini akan disahkan
melalui proses penyemakan data (triangulasi) dengan beberapa sumber bebas
seperti Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Bank Dunia selain semua hasil tersebut
dinilai secara kritikal oleh satu Jawatankuasa Khas yang terdiri daripada
kumpulan pemimpin kanan kementerian," kata laporan itu.
Tambah laporan tersebut, bagi fasa kedua
penyediaannya, pelan itu memberi tumpuan kepada penyediaan laporan awal dengan
menggunakan input yang diperolehi dalam fasa pertama bagi mengenal pasti bidang
keutamaan.
Katanya, fasa kedua turut memperincikan program
transformasi yang komprehensif mengenai dasar dan inisiatif yang akan
dilaksanakan bagi tempoh 13 tahun akan datang iaitu antara tahun 2013 hingga
2025.
''Fasa ini merangkumi Dialog Nasional
Pendidikan Negara (DNPN) yang dijalankan pada April hingga Julai tahun ini
dalam mendapatkan maklum balas dari orang awam. Selain itu penyediaan Makmal
Pendidikan GTP 2.0 yang bakal dilaksanakan dari tahun 2013 hingga 2015 akan
menjadi sebahagian daripada pembaharuan Gelombang 1 pelan tersebut meliputi
seluruh tempoh 2013 hingga 2025.
''Kementerian Pelajaran kemudian akan mengkaji
semua cadangan daripada DNPN dan Makmal Pendidikan GTP 2.0 itu dengan
teliti," menurut laporan itu lagi.
Laporan awal itu menambah bahawa fasa ketiga
penyediaan pelan tersebut akan memberi tumpuan untuk menyiapkan Pelan
Pembangunan Pendidikan dengan melibatkan rundingan serta penglibatan dengan
guru, ibu bapa, murid dan pihak berkepentingan yang lain bagi mendapatkan
maklum balas mengenai laporan awal pelan berkenaan.
Katanya, rundingan awam secara meluas dan
segala maklum balas itu akan disatukan pada penyerahan laporan akhir pelan
berkenaan pertengahan Disember tahun ini.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan