Oleh NURUL ANUAR KARI
SUKAR dipercayai satu ketika
dahulu harga kuih-muih serendah lima sen sahaja tetapi kini sekurang- kurangnya
40 sen, sementara saiznya pula lebih kecil.
Melihat kemelesetan ekonomi dunia
pada 1990-an dan sekitar 2007, mungkin fenomena kenaikan harga tidak boleh
dibendung terutama apabila nilai mata wang ringgit jatuh mendadak ketika itu.
Namun, tidak kurang juga kes-kes
peniaga, peruncit dan orang tengah yang tamak menaikkan harga dengan pelbagai
alasan tidak munasabah atau tidak berkaitan langsung dengan produk atau
perkhidmatan mereka.
Ekoran pembentangan Bajet 2013
baru-baru ini, trend itu dilihat muncul semula dengan menggunakan alasan
pemberian imbuhan oleh kerajaan, bonus mahupun harga gula naik selepas subsidi
dikurangkan.
Trend itu sebenarnya sudah bertahun-tahun
berulang setiap kali pembentangan bajet, pengumuman kenaikan imbuhan, pemberian
bonus, kenaikan harga minyak, pilihan raya dan bermacam faktor lain yang boleh
dijadikan alasan.
Tidak cukup mengaut untung besar
dengan menggunakan pekerja asing yang dibayar gaji rendah, peluang memerah
setiap sen daripada pelanggan tidak akan dilepaskan.
Walaupun peniaga, peruncit
mahupun orang tengah yang mengamalkan trend keji itu adalah kumpulan minoriti
yang tamak, namun jumlahnya kini semakin meningkat sehinggakan ramai pengguna
terpaksa menanggung beban.
Mereka inilah yang paling bising
apabila kerajaan menggerakkan pelbagai program rakyat seperti kedai runcit,
kedai ikan, kedai kain, kedai buku, klinik rakyat, rumah mahupun menu rakyat
bagi menyekat tindakan mengaut untung mudah.
Boleh dikatakan semua benda mahu
dinaikkan harganya. Namun begitu, kenaikan harga makanan sama ada yang sudah
dimasak di kedai dan restoran atau bahan basah di pasar menjadi contoh terbaik
kerana secara langsung kenaikan itu memberi kesan kepada pengguna setiap hari.
Mengambil contoh mudah, air
kosong (tanpa ais) yang sepatutnya diberi percuma dikenakan bayaran 20 sen dan
di sesetengah kedai dicaj sehingga RM1.50 atau lebih, kononnya atas dasar kedai
makan eksklusif, sedangkan cuma kedai mamak biasa sahaja.
Apabila kerajaan mengurangkan
subsidi gula sebanyak 20 sen sekilogram, perlukah harga air minuman dinaikkan
20 sen juga bagi setiap gelas atau cawan? Adakah segelas atau secawan minuman
manis diisi dengan sekilo gula?
Tidak kurang juga harga makanan
seperti lauk-pauk dinaikkan atas alasan serupa tetapi kebiasaannya dalam
gandaan 50 sen bagi memudahkan kiraan.
Jika harga minyak RON97 dinaikkan
juga, semua harga barang mahu dinaikkan lagi kononnya kos pengangkutan
meningkat, sedangkan lori-lori menggunakan diesel.
Apa pula keperluan menaikkan
harga jika gaji ditingkatkan atau bonus diumumkan? Adakah pengumuman itu juga
'menambah kos' perniagaan?
Itu belum lagi ditambah dengan
perbuatan menyorokkan bekalan bagi meningkatkan harga di pasaran.
Secara logiknya, tidak ada sebab
untuk menaikkan harga barang disebabkan pengurangan subsidi, bonus, gaji
mahupun kenaikan harga minyak yang hanya meningkatkan kos kepada tauke-tauke
yang memandu kereta mewah.
Alasan tidak mampu menampung kos
juga umpama penipuan jelas kerana jika benar tidak mampu sudah tentu syarikat
atau pengusaha akan gulung tikar dan bukannya menambah lagi cawangan di seluruh
negara.
Dalam hal ini, bukan semua
peniaga itu tamak haloba dan gemar menaikkan harga sesuka hati tetapi komuniti
peniaga juga perlu bekerjasama dalam memantau peniaga lain yang memilih jalan
keji untuk mengumpul kekayaan.
Orang ramai pula seperti sudah
malas untuk mengadu kerana tidak nampak tindakan tegas diambil tetapi secara
diam, ramai yang memboikot peniaga-peniaga yang tamak itu.
Peniaga yang jujur boleh
mengambil kesempatan trend itu dengan mempromosikan produk dan perkhidmatan
mereka yang tidak dinaikkan harga bagi menarik pelanggan dan memberi alternatif
yang lebih besar kepada orang ramai.
Hakikatnya, perbuatan menaikkan
harga barang dan perkhidmatan sesuka hati umpama menggali kubur sendiri kerana
pengguna kini lebih peka dan tahu hak mereka.
Jika tamak dan tidak sabar
mengumpul kekayaan dengan memerah orang lain, lambat-laun peniaga, peruncit
mahupun orang tengah yang pentingkan diri ini akan ditinggalkan kerana pengguna
akan mencari produk atau perkhidmatan serupa di tempat lain.
Ditambah dengan pelbagai
kemudahan baru disediakan kerajaan, golongan peniaga tamak mungkin dapat
dihapuskan jika mendapat kerjasama rakyat dan komuniti peniaga.
Pihak berkuasa pula jangan tunggu
sehingga banyak laporan diterima, bergeraklah secara proaktif dan siasat setiap
kes yang dilaporkan atau sekurang-kurangnya dedahkan peniaga manakah yang tamak
haloba itu agar rakyat dapat bersatu memulaukannya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan