Oleh : IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
KUALA LUMPUR: Semua
pelawat asing yang perlu memohon visa untuk datang ke Malaysia akan diwajibkan
mendaftar menggunakan sistem biometrik terlebih dahulu di kedutaan atau
konsulat Malaysia negara masing-masing pada masa akan datang, bagi menangani
isu pemalsuan identiti menggunakan dokumen perjalanan itu.
Pemalsuan visa merupakan antara
kesalahan di bawah Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/63 dan pelawat asing yang
berbuat demikian akan dikenakan Notis Tolak Kemasukan (Not To Land
Notice/NTL), yang tidak membenarkan mereka masuk ke negara ini dan akan
dihantar pulang ke negara asal dengan serta-merta.
Sejumlah 22,157 pelawat asing
termasuk mereka yang menggunakan visa dikenakan tindakan NTL pada 2011 manakala
17,828 NTL dicatatkan antara Januari hingga September tahun ini di pintu masuk
utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Syarikat
Penerbangan Tambang Rendah (LCCT).
Terdapat sebuah negara yang
mencatatkan jumlah NTL paling tinggi iaitu kira-kira 5,000 orang pada satu
tahun dan sebahagian besar kesalahan mereka adalah pemalsuan visa.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen,
Datuk Alias Ahmad berkata, pengesahan menggunakan sistem pengimbas cap jari itu
dikenali sebagai sistem Biometrik-Visa (Bio-Visa), yang merupakan
sebahagian daripada langkah kawalan keselamatan untuk kemasukan pelawat asing
ke negara ini.
Beliau berkata, sistem Bio-Visa
yang merupakan salah satu inisiatif utama dalam Pelan Transformasi (Fasa Kedua)
Jabatan Imigresen akan diumumkan sempena Hari Imigresen pada 1 Disember nanti.
Katanya, sistem Bio-Visa yang
akan diperkenalkan oleh Jabatan Imigresen nanti merupakan yang pertama
seumpamanya di dunia.
"Bagi sistem ini, UK
Border Agency (UKBA) hanya menjalankan pemeriksaan biometrik untuk pelawat
asing yang meragukan. Tetapi Jabatan Imigresen Malaysia pula mengenakan
pemeriksaan biometrik kepada semua pelawat asing yang menggunakan visa untuk
masuk ke negara ini dan pemeriksaan kedua akan dilakukan ke atas mereka apabila
mereka tiba di pintu masuk negara kita," katanya.
“Terdapat kes di mana segelintir
individu tidak layak mendapatkan visa dan mereka bertindak mempergunakan orang
lain bagi tujuan pemalsuan identiti. Jadi akhirnya orang lain yang buat visa,
orang lain pula yang datang ke Malaysia.
"Kenapa mereka perlu
menggunakan identiti orang lain? Mereka pastinya bukan pelawat yang tulen dan
berkemungkinan berhasrat melakukan aktiviti yang tidak baik apabila mereka
berada di negara kita," katanya kepada mStar Online dalam satu temuramah
eksklusif baru-baru ini.
Pengenalan Bio-Visa ini
dicadangkan oleh kerana pengeluaran visa di sesetengah negara yang dilihat sebagai
‘berisiko tinggi’ dan terdedah kepada aktiviti pemalsuan dokumen perjalanan
itu.
Alias berkata, di bawah peraturan
baru ini nanti, setiap pelawat asing yang mahu memohon visa perlu mendaftar
menerusi sistem biometrik terlebih dahulu sebelum permohonan mereka boleh
diproses dan diluluskan.
"Jika visa diluluskan,
mereka akan melalui pemeriksaan biometrik sekali lagi apabila mereka tiba di
pintu masuk Malaysia sebagai 'saringan kedua'. Hanya individu yang sama
berdasarkan permohonan visa yang dibuat sahaja akan dibenarkan masuk ke negara
ini," katanya lagi.
Menurut Alias, terdapat 38 negara
yang memerlukan visa untuk masuk ke Malaysia seperti China, India, Bangladesh,
Sri Lanka dan Myanmar.
"Pelancong dan pelawat dari
China dan India merupakan negara yang mempunyai jumlah paling tinggi datang ke
Malaysia menggunakan visa," katanya.
Seramai 1.25 juta pelawat dari
China dan 693,056 pelawat dari India berkunjung ke Malaysia pada tahun lepas
sahaja.
Alias berkata, sistem Bio-Visa
akan dilaksanakan secara berperingkat dan sebagai permulaan, akan dimulakan
pada negara tertentu berdasarkan jumlah kemasukan pelawat ke Malaysia.
"Pada masa ini, inisiatif
Bio-Visa sudah dirancang dengan teratur dan sedang menunggu pelantikan vendor
untuk sistem ini. Saya berharap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin,"
katanya.
Sementara itu ditanya mengenai
langkah pencegahan ke atas pelawat palsu yang memasuki negara ini tanpa
memerlukan visa, Alias menjelaskan, semua pelawat asing yang berhasrat memasuki
Malaysia tanpa visa akan dikenakan pemeriksaan biometrik di semua pintu masuk
utama negara.
Pemeriksaan biometrik ini ialah
sistem pengimbasan cap jari yang mempunyai ciri-ciri keselamatan bagi tujuan
pengenalpastian dan pengesahan identiti individu dengan memadankan data yang
direkodkan dalam pasport.
Sumber : http : //www.mstar.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan