USAHA harus dilakukan untuk
memantapkan lagi mata pelajaran Sejarah di peringkat sekolah menengah bagi
mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar.
Sejarah harus difahami, dihayati
dan bukan dihafal atau mengingat fakta. Mempelajari sejarah bangsa dan negara
adalah teras kepada pembentukan jati diri dan asas kepada patriotisme serta
cintakan negara.
Tinjauan penulis, banyak faktor
menyebabkan pelajar di peringkat sekolah menengah tidak berminat mempelajari
sejarah. Menurut seorang guru yang berpengalaman mengajar subjek itu selama 25
tahun mengatakan antara faktor itu:-
Pertama, pelajar belajar sejarah
menghayati dan memahami jalur sejarah bangsa dan negara. Mereka belajar
berkaitan tokoh yang sudah meninggal dunia dan pelajar tidak mengenali mereka.
Kedua, mereka sering bertanya,
apabila lepas sekolah apa yang mereka boleh dapat melalui belajar Sejarah?
Adakah dapat menjamin menjadi pakar sejarah atau pakar arkeologi berbanding
mata pelajaran seperti Sains dan Matematik yang menjanjikan peluang pekerjaan
lebih baik.
Ketiga, banyak perkara yang
terpaksa di baca dan dihafal sebagai contoh, tingkatan satu ada lapan bab,
tingkatan dua, ada 10 bab, tingkatan tiga, ada tujuh bab, tingkatan empat ada
10 bab dan tingkatan lima ada sembilan bab. Jumlah bab ialah 44 bab.
Keempat, semasa di tingkatan satu
hingga tiga ada projek atau folio yang dibuat oleh pelajar sedangkan markah
tidak dikira dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Sekurang-kurangnya
berikan sebanyak 10 markah.
Kelima, tingkatan empat dan lima
tiada projek atau folio. Pelajar terpaksa membaca dan menghafal 19 bab
sedangkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hanya dua soalan
yang perlu dijawab oleh pelajar.
Sementara itu, menurut beberapa
pelajar mereka tidak minat belajar Sejarah disebabkan beberapa faktor.
Antaranya adalah sukar untuk mengingat fakta yang
banyak dan fakta yang diajar kurang diminati. Buku teks tidak menarik untuk dibaca
menyebabkan sukar untuk diingati.
Antara faktor lain adalah cara
pengajaran dan pembelajaran (P&P) guru Sejarah tidak membantu pelajar
mengingati fakta. Fakta yang diingati tidak digunakan dalam kehidupan
masyarakat. Pelajar merasakan subjek ini bosan dan membuang masa.
Selain itu, kebanyakan pelajar
tidak minat belajar Sejarah kerana tidak mengetahui manfaat mempelajarinya.
Bahan P&P tidak menarik dan membosankan. Pelajar berasa dipaksa untuk
mempelajarinya kerana subjek teras. Mereka juga mengambil masa terlalu lama
untuk mempelajarinya.
Beberapa cadangan diberikan
antaranya, menggubal semula sukatan pelajaran sejarah sedia ada. Kaedah, teknik
dan pendekatan yang lebih sesuai terkini dan mudah difahami oleh pelajar
melalui P&P sejarah.
Sebelum subjek Sejarah diajar di
tingkatan satu, guru Sejarah mestilah menekankan kepentingan sejarah sebagai
ilmu yang dapat memperkukuhkan jati diri, akar bangsa dan semangat patriotisme.
Selain itu, buku teks baharu yang
lebih menarik dengan pelbagai gambar, keterangan dan peristiwa penting. Buku
teks Sejarah yang berwarna dan menggunakan 'point form" fakta-fakta
penting dan bukan dalam bentuk karangan yang membosankan.
Buku-buku sejarah atau novel yang
bersifat kreatif seperti menceritakan detik-detik kemerdekaan, para pejuang
kemerdekaan patut diterbitkan lebih banyak.
Guru Sejarah diberi kursus untuk
teknik pengajaran kerana P&P guru Sejarah kurang berkesan memberikan
penghayatan dan pemahaman sejarah tanah air kepada para pelajar. Setiap guru
mestilah menggunakan pelbagai kaedah seperti aplikasi teknologi maklumat (IT)
dan P&P terkini seperti kaedah multimedia dalam pendidikan yang
menggabungkan teks, kesan bunyi, vokal, muzik, filem, animasi, video berserta
perisian komputer yang interaktif.
Proses P&P akan menjadi lebih
menarik, iaitu interaktif antara guru dan murid, interaktif guru dengan bahan
pengajaran, interaktif murid dengan bahan pengajaran dan interaktif murid
dengan murid. Sesekali lakukan interaktif tokoh sejarah dengan murid di sekolah.
Subjek Sejarah boleh dimulakan di
peringkat sekolah rendah iaitu pada tahun tiga, empat, lima dan enam serta
dimasukkan dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada masa
akan datang.
Menurut Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia, pihak kementerian memang bertegas menjadikan
mata pelajaran Sejarah sebagai teras dan wajib dipelajari oleh pelajar secara
berterusan bermula dari tingkatan satu hingga lima pada peringkat sekolah
menengah.
Kurikulum Sejarah dilaksanakan di
sekolah ketika ini digubal dengan memberi penekanan kurikulum Sejarah pada
peringkat sekolah menengah rendah. Ia mestilah mempunyai kesinambungannya pada
peringkat sekolah menengah atas supaya asas pengetahuan, nilai patriotisme,
kemahiran sejarah dan pengalaman yang diperoleh dapat diperkukuh dan
diperkembangkan lagi.
Maka, Kurikulum Baru Sekolah
Menengah (KBSM) menegaskan kesepaduan unsur pengetahuan, peningkatan daya
intelek, pemupukan nilai murni dan perkembangan kemahiran belajar.
Sehubungan itu, kurikulum Sejarah
yang sedang dilaksanakan ketika ini, diberikan penekanan berasaskan kesepaduan
dan kesinambungan. Di samping pengetahuan sejarah, konsep dan kemahiran asas
disiplin sejarah seperti pemikiran sejarah dan unsur patriotisme diperkukuh
dalam proses P&P.
Dalam usaha melahirkan generasi
yang dapat memenuhi matlamat dan aspirasi negara, pendekatan P&P Sejarah
menjurus kepada pemupukan pemikiran sejarah di kalangan pelajar di samping
kandungan kurikulum Sejarah. Apa yang paling penting pelajar dapat menghayati
dan memahami jalur sejarah bangsa dan negara sebagai asas membina jati diri, ke
arah pembinaan negara bangsa dan semangat patriotisme.
PENULIS ialah bekas pendidik
berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan