Graduan perlu buka minda
Oleh Ruhaiza Rusmin
JIKA dulu graduan dengan
keputusan cemerlang sering menjadi pilihan majikan, senario alaf baru
menyaksikan graduan bertahap sederhana pula laku seperti goreng pisang panas.
Meskipun dengan keputusan
cemerlang, bukan semua bernasib baik malah ada juga terpaksa berhempas pulas
bersaing dengan ribuan graduan lain mencari pekerjaan.
Sebaliknya, mereka hanya memiliki
sijil kemahiran serta kelayakan lebih rendah mudah pula memancing hati majikan
hingga menimbulkan pertanyaan, apakah kecemerlangan graduan ini tidak bermakna.
Adakah senario ini isyarat bahawa
keputusan cemerlang bukan lagi jaminan graduan itu tidak akan bergelar
‘penganggur terhormat’?
Atau adakah dunia pendidikan dan
kerjaya hari ini sebulat suara tidak mementingkan lagi keputusan cemerlang
sebagai syarat utama menawarkan pekerjaan sebaliknya perlu diseimbangkan dengan
kehendak semasa?
Ketua Program Komunikasi dan
Pengarah Kewartawanan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Siti Suriani
Othman, berkata trend majikan kini lebih mengkhusus kepada mereka yang
berkemahiran serta memiliki personaliti positif menjadikan graduan biarpun
mempunyai keputusan cemerlang sebagai pilihan kedua.
Beliau berkata, keputusan atau
ijazah bukan lagi jaminan mereka mudah diterima bekerja andai kata tidak
memiliki kriteria dikehendaki seperti pandai berkomunikasi, berani dan penuh
idea.
“Jika memiliki ijazah dengan
keputusan cemerlang, ia masih belum mencukupi untuk menambat hati majikan yang
hari ini begitu selektif memilih pekerja.
“Dulu, golongan ini memang
menjadi pilihan dan larisnya seperti goreng pisang panas. Kini, keadaan berbeza
kerana dunia pekerjaan juga sudah semakin mencabar dan kompetitif.
“Majikan bukan lagi mencari
seorang pekerja yang hanya tahu menurut perintah semata-mata namun lebih kepada
mereka yang mempunyai jiwa perjuangan supaya sama-sama boleh memajukan syarikat,”
katanya.
Justeru, tidak usah hairan jika
graduan yang memiliki keputusan cemerlang sukar bersaing mendapatkan pekerjaan
berbanding mereka yang hanya mempunyai kelayakan sederhana seperti sijil atau
diploma.
“Sekeping ijazah dan keputusan
cemerlang bukan lagi penanda aras graduan itu berkebolehan melaksanakan tugasan
sebaliknya majikan mencari sesuatu yang ‘istimewa’.
“Contohnya, personaliti calon
pekerja yang sentiasa optimis, pandai berkomunikasi dengan baik serta peka
cabaran sekeliling. Dengan kata lain, bukan seperti robot yang diprogramkan.
“Diakui, bukan semua graduan
cemerlang seperti itu tapi kebanyakan memang begitu kerana dunia mereka
dihabiskan untuk pencapaian akademik tanpa mengimbangi dengan keperluan sosial
dan kemahiran,” katanya.
Katanya, hari ini kita jarang
mendengar kesukaran graduan diploma atau sijil memperoleh pekerjaan sedangkan
lambakan graduan berijazah sentiasa berlaku.
“Hakikatnya, kita perlu melihat
senario ini sebagai satu isyarat tegas dari dunia pekerjaan bahawa ada kriteria
lain ditetapkan sebelum seseorang itu ditawarkan kerja. Dan, syarat itu perlu
diikuti tanpa kompromi.
“Justeru, graduan perlu membuka
minda supaya tidak lagi menganggap akademik sebagai nyawa kejayaan sebaliknya
kemahiran lain juga asas pemilihan,” katanya.
Biarpun bukan semua graduan
cemerlang berdepan risiko itu terutama daripada bidang kritikal, peningkatan jumlah
graduan berijazah saban tahun dikhuatiri mampu menimbulkan masalah
berpanjangan.
Berbanding graduan sijil atau
diploma atau mereka yang berkelayakan sederhana namun aktif, peluang untuk
meneroka pasaran kerjaya lebih luas hasil daripada kemahiran dimiliki.
Kemahiran itu, katanya, banyak
membantu mereka merencanakan masa depan dengan baik dan menjadi bonus
menampilkan keyakinan diri sekali gus menjadi aset menarik mata majikan.
“Sebab itu, di institusi sangat
ditekankan pelbagai aktiviti yang lari daripada konsep akademik dan peperiksaan
seperti khidmat komuniti dan kelab.
“Penubuhannya bukan sekadar
suka-suka sebaliknya membantu mahasiswa meneroka potensi diri juga sebagai
persediaan sebelum menempuh alam pekerjaan.
“Malangnya, bukan semua mahasiswa
tahu kepentingan kemudahan itu sebaliknya menganggap buku dan peperiksaan lebih
penting manakala kemahiran jatuh nombor dua,” katanya.
“Bukan kata tidak penting tapi
perlu diselarikan dengan kemahiran sebab sekarang majikan memang mencari calon
berkemahiran demi memenuhi tuntutan kerjaya globalisasi.
“Kemahiran adalah aset paling
mahal bagi majikan hari ini dan sudah tentu mereka mengkehendaki dan akan
menjaganya dengan baik,” katanya.
Ditanya mengapa tiada masalah
bagi graduan sijil dan diploma, katanya, golongan terbabit memang sudah
disediakan bagi tujuan pasaran pekerjaan.
“Sebab itu, permintaan keduanya
lebih laris. Tapi tidak bermakna mereka juga tidak berdepan cabaran mencari
pekerjaan tapi jarang mendengar mereka menganggur.
“Ubahlah stigma bahawa dengan
sekeping ijazah dan keputusan cemerlang, anda akan menjadi pilihan. Kini
semuanya mempunyai peluang sama rata.
“Yang penting, bagaimana kita
menampilkan diri untuk memikat hati majikan dengan kemahiran sedia ada.
Justeru, masih belum terlewat mengubah stigma sedia ada,” katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan