Oleh : Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail
Optimisme, keberanian, adil perlu jadi pegangan
Nilai aspek utama dalam segenap
tindak-tanduk manusia. Tanpa nilai baik, sesuatu tindakan yang baik boleh
dilihat sebagai tidak baik dan tidak bermanfaat. Contohnya, menyiapkan minit
mesyuarat, laporan atau sesuatu projek yang dipertanggungjawabkan adalah suatu
usaha baik tetapi jika dihasilkan tanpa nilai ketelitian, ketelusan, kesahihan
fakta dan penjimatan kos, kerja itu walaupun siap tidak diterima secara baik
sebagai yang berkualiti.
Justeru, setiap tindakan dalam
Islam amat menekankan aspek nilai baik seperti
terkandung dalam pengertian akhlak yang sangat luas.
Sabda Rasulullah apabila ditanya
apa itu agama, Baginda menjawab dengan ringkas tetapi padat bahawa agama itu
akhlak yang baik. Maksudnya, keseluruhan mengenai Islam boleh difahami dan
terserlah dengan paparan amalan yang berakhlak.
Magnet kejayaan
Akhlak adalah ‘magnet kejayaan’.
Banyak sekali dalil al-Quran dan hadis yang menunjukkan mereka yang berakhlak
pasti berjaya. Besi beraninya pula tersangat kuat sehingga impak sebagai amal
salih kekal di akhirat kelak.
Sabda Rasulullah SAW: “Peniaga
yang jujur dan amanah berada bersama nabi, orang yang jujur dan syuhada.”
(Riwayat al-Tirmizi)
Berakhlak dalam segenap amalan
menatijahkan kejayaan yang boleh dan tidak boleh dijangkakan. Firman Allah SWT:
“Tidak ada seorangpun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah
dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang
dan menggembirakan sebagai balasan bagi amal soleh yang sudah dikerjakan oleh mereka.”
(Surah al-Sajdah, ayat 17)
Pengurusan nilai
Dalam pembangunan organisasi,
pengurusan nilai semakin ditekankan. Pandangan Tan Sri Ahmad Sarji dalam buku
bertajuk Sekadar Berpendapat menggariskan tiga nilai dalam tindakan operasi
iaitu optimisme, keberanian dan adil.
Nilai optimisme dalam bekerja membolehkan
seseorang mempunyai pelbagai pilihan bertindak dan bekerja tanpa rasa kaku atau
buntu. Usaha dan panduan untuk menerapkan nilai ini dalam organisasi kita boleh
dibuat melalui beberapa kaedah pendekatan yang disarankan.
Dunia hari ini juga menyedari
hakikat bekerja dan mengurus berasaskan nilai ini. Malah kejayaan operasi
syarikat konglomerat dunia seperti kajian dalam buku What Really Works - The
performance secrets of the world’s most successful companies oleh William
Joyce, Nitin Nohria dan Bruce Roberson menunjukkan kejayaan bersandarkan
kekuatan nilai didukung dalam tindakan dan strategi.
Bahkan ia juga penentu kepada
pengukuhan budaya kecemerlangan itu. Ertinya, untuk kekal berjaya juga mesti
mempraktikkan tindakan yang berakhlak. Selain sebagai pengukuh kejayaan, akhlak
juga adalah benteng kegagalan.
Firman Allah SWT: “Ketika Tuhanmu
memberitahu, jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahkan nikmat yang ada padamu,
tetapi jika kamu kufur, sesungguhnya seksaan-Ku amat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat
7)
Personaliti pekerja
Justeru, mari kita kenal pasti
nilai utama yang mendokong kerja seharian kita. Jika ditanyakan apakah tiga
nilai utama bagi tindakan kerja anda, barangkali dapat kita fikirkan apakah
yang sudah kita jadikan amalan dan rasa gembiralah dengannya serta
pertingkatkan lagi.
Pegangan nilai akan membentuk
akhlak atau personaliti pekerja. Personaliti yang baik adalah suatu keajaiban
bagi pekerja kerana ia potensi yang membuka banyak ruang dan peluang untuk
berjaya.
Abu Hurairah, sahabat Rasulullah
yang terkenal daripada kalangan Ahli Suffah, walaupun miskin tetapi mempunyai
nilai kekayaan personaliti antaranya beliau amat tekun mendampingi Rasulullah
dan dalam tempoh lima tahun bersama, beliau menghafal sabda Baginda.
Justeru, marilah kita terus
memupuk kerja berasaskan nilai kerana kemuliaan diri di sisi Allah SWT terletak
kepada usaha dan nilai baik dalam mengusahakannya walaupun kecil.
Firman Allah SWT: “Tentulah Kami
tidak mensia-siakan pahala orang yang mengerjakan amalannya dengan baik.”
(Surah al-Kahfi, ayat 30)
Penulis Prof Madya di Jabatan
Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan