ISUNYA, isu lama dan masih sama yang sering dilalui oleh kebanyakan pengguna jalan raya - jenuh mengelak jalan berlubang.
Lebih-lebih lagi dalam musim
hujan ini, pengguna-pengguna jalan raya pasti merungut dan bosan meredah
jalan-jalan berlubang di sana sini tidak kira di jalan utama, jalan negeri,
jalan persekutuan atau jalan-jalan di kawasan perumahan.
Akhbar pun sudah kerap kali
menyiarkan berita dan laporan khas tentang jalan-jalan yang berlubang di
seluruh negeri, dan tidak terkecuali bandar metropolitan Kuala Lumpur dan
sekitar Lembah Klang, yang memang panjang senarai jalan-jalannya yang rosak.
Jalan berlubang, berlopak dan
tidak sekata bagaikan sudah menjadi satu pemandangan yang biasa di bandar raya
ini. Kita juga sudah biasa melihat kerja-kerja mengorek dan menurap jalan yang
sering dilakukan di sana-sini sehingga membuatkan kesesakan jalan raya walaupun
dilakukan pada malam hari dan kita juga sudah biasa melihat jalan yang sama
yang sudah ditampal itu rosak semula tidak sampai beberapa bulan.
Pun begitu dalam melalui semua
keluh kisah itu, Kuala Lumpur dikhabarkan sedang mengejar status antara 20
bandar raya terbaik di dunia pada tahun 2020. Maka timbul satu persoalan yang
amat besar setelah melihat keadaan jalan raya yang asyik dikorek dan ditampal
ini, bolehkah sasaran itu dicapai? Inilah menjadi cabarannya.
Sekiranya mahu memenuhi impian
yang tinggi-tinggi dan menjadi yang terbaik, perkara asas seperti
penyelengaraan dan kualiti jalan raya sewajarnya diberi fokus utama dan
didahulukan. Sedangkan, ciri-ciri terbaik itu menuntut kepada memenuhi soal
keselesaan dan keselamatan orang ramai. Barulah warga kota berpuas hati dan
tidak mempertikaikan mengapa bandar raya ini dikatakan yang terbaik.
Sakit mata yang memandang jalan
raya yang berlubang seperti yang dikatakan oleh seorang teman saya - ''sampai
keluasannya boleh buat mini kolam memancing'' , sakit lagi pemilik kenderaan
yang menanggung.
Bukan sahaja terpaksa
mengeluarkan perbelanjaan lebih kerana menanggung kos memperbaiki kenderaan
yang rosak kerana terbabas atau terlanggar lubang dan lopak, tetapi berisiko
menjadi mangsa kemalangan yang mengancam nyawa. Lebih-lebih lagi kepada
penunggang motosikal.
Kajian oleh Institut Penyelidikan
Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) turut mendapati faktor kemalangan jalan
raya bukan hanya tertumpu kepada faktor manusia, tetapi juga faktor keadaan
jalan raya.
Maka, selain menumpukan kepada
kempen mengenai keselamatan jalan raya dan menekankan kepada aspek-aspek
kecuaian manusia disamping melaksanakan penguatkuasaan, aspek penyelenggaraan
jalan raya janganlah terlepas pandang.
Bila jalan raya yang sudah
diturap, rosak semula, timbul tanda tanya, macam mana kerja-kerja penurapan ini
dilakukan, sekejap sahaja okey. Apakah kerja-kerja menurap dilakukan sekadar
menutup bahagian permukaan sahaja. Soal kualiti penurapan ini siapa yang jaga?
Kalau tiada kualiti kenapa pilih kontraktor terbabit?
Aspek kualiti turapan ini
sepatutnya tidak boleh dikompromi atau dipandang mudah kerana ia membabitkan
reputasi sistem jalan raya di negara ini dan yang lebih penting keselesaan dan
keselamatan orang ramai yang menggunakan kemudahan tersebut.
Mungkin ada wajarnya, kontraktor
serta pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak tahu dan tidak mahir membuat
serta menyelenggara jalan raya dengan baik dikenakan saman ratusan juta ringgit
seperti yang dilaksanakan di beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat,
Britain, dan Jepun.
Dalam pada itu, penguatkuasaan
juga perlu lebih tegas. Lori-lori bermuatan berat sepatutnya dilarang melalui
jalan-jalan yang tidak dapat menampung keupayaan berat melebihi 80 metrik tan
misalnya. Jika dibenarkan juga, sampai bila-bila pun kerja korek dan tampal ini
kerap kali dibuat.
Sekiranya keadaan jalan raya di
negara ini berterusan begini, mungkin kenderaan yang paling sesuai dan selamat
digunakan adalah kenderaan pacuan empat roda, yang cukup lasak tetapi tidak
semua orang mampu memilikinya.
PBT di lokasi-lokasi yang
terbabit sepatutnya peka terhadap aduan orang ramai atau menjalankan pemantauan
yang lebih kerap terhadap jalan-jalan di kawasan pentadbiran mereka.
Tidak perlulah menunggu pihak
media melaporkan dan menyiarkan gambar kerosakan- kerosakan jalan raya tersebut
baru mahu bertindak atau bertindak selepas jalan terbabit mengundang insiden
tragik kepada pengguna, yang membabitkan kehilangan nyawa, ini lagi haru.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan