Oleh : Rejal Arbee
Mutu pendidik dari India dipertikai
Kerajaan baru-baru ini menyatakan hasratnya untuk
mendapatkan guru dari India untuk mengajar Bahasa Inggeris di sekolah negara
ini.
Persoalan yang timbul kenapa dari India? Apakah bahasa
Inggeris dan pertuturan Inggeris guru dari India itu baik sangat hingga perlu
kita berfikir untuk menggunakan khidmat mereka mengajar anak kita belajar dan
bertutur bahasa Inggeris?
Difahamkan mereka masih menggunakan kaedah pengajaran tahun
60-an yang berfokus kepada pembelajaran ‘rote learning’ iaitu belajar
secara menghafal. Inikah yang kita kehendaki? Pada hal kaedah itu sudah
ketinggalan zaman.
Selain itu, pertuturan Inggeris kebanyakan daripada rakyat
negara itu bukan saja tidak seperti dikehendaki tetapi boleh mengelirukan
dengan telor pertuturan yang tentunya kita tidak mahu anak kita mengikutinya.
Apakah pihak berkuasa mahukan anak kita bertutur bahasa
Inggeris dengan telor India? Malah pertuturan ‘Manglish’ oleh sesetengah rakyat
negara ini adalah lebih baik daripada pertuturan mereka itu. Jadi bagaimana
agaknya cadangan itu boleh dibuat?
Sebelum ini kita juga pernah menimbulkan kemungkinan membawa
masuk guru dari Australia untuk mengajar bahasa itu.
Umum mengetahui bagaimana orang Australia berucap bahasa
mereka dengan sebutan yang amat mengelirukan. Misalnya ‘today’ dipertuturkan
sebagai ‘to die’.
Alangkah kelirunya murid kita nanti menerima pengajaran
bahasa Inggeris dengan pertuturan yang carca marba sedemikian iaitu ada yang di
pengaruhi guru dari India dan ada pula dari Australia dengan pertuturan
Inggeris yang unik bagi kedua negara itu.
Persoalan juga timbul apakah pertubuhan guru kita sudah
dibawa berbincang mengenai cadangan terkini itu?
Kenapa agaknya timbul pelbagai cadangan demikian ini? Apakah
kita betul-betul ketandusan guru untuk mengajar bahasa Inggeris? Kalau betul
berkurangan apakah yang telah diusahakan untuk meningkatkan jumlah mereka yang
berkebolehan untuk mengajar bahasa itu dengan baik?
Apa sebenarnya yang melanda Kementerian Pelajaran hingga
timbul pelbagai cadangan ini?
Wujud ‘red tape’
Sesetengah kalangan guru mengatakan negara tidak menghadapi
masalah kekurangan guru Bahasa Inggeris kiranya murid-murid sekolah hanya
dikehendaki dapat menghadapi peperiksaan kebangsaan.
Ada yang menyalahkan wujudnya ‘red tape’ di Jabatan
Pelajaran yang membawa kepada kekurangan guru Bahasa Inggeris di sesetengah
sekolah tertentu saja bukannya secara menyeluruh.
Kekurangan sebenarnya ialah terhadap guru yang fasih
bertutur bahasa itu dan guru yang mempunyai kebolehan berkomunikasi dengan
baik. Dikatakan juga bahawa walaupun ramai guru telah diberi latihan mengajar
Bahasa Inggeris tetapi malangnya ramai antara mereka tidak berusaha untuk
bertutur dalam bahasa Inggeris dalam kalangan mereka sendiri.
Perli penutur bahasa Inggeris
Malah mesyuarat antara guru yang mengajar Bahasa Inggeris
pun dikatakan dilangsungkan dalam bahasa Melayu. Tentunya penggunaan bahasa
Melayu ada tempatnya seperti juga penggunaan bahasa Inggeris.
Dikatakan ada pula guru yang suka memperli guru yang
berusaha bertutur bahasa Inggeris dalam kalangan mereka yang mengajar bahasa itu.
Inilah masalahnya kerana ada antara kita
yang suka merendah-rendahkan orang lain tanpa mahu mengakui kelemahan sendiri,
di samping tidak pula suka melihat orang lebih baik daripada diri sendiri.
Kini Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik
media sebagai berkata, kementeriannya akan mengkaji dahulu apakah guru dari
India itu perlu diambil dan ia tidak akan dilaksanakan dengan tergesa-gesa.
Inilah yang sepatutnya supaya apa-apa keputusan adalah yang terbaik
demi kepentingan negara dan kehendak murid-murid sekolah kita.
Dalam pada itu sepucuk surat di dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris
mendakwa ramai guru yang berkelayakan mengajar bahasa Inggeris tetapi tidak
pula diambil untuk mengajar hanya kononnya kerana tidak mempunyai cukup
pengalaman.
Kalau mereka ini tidak diambil untuk mengajar bagaimana
mereka mahu memperoleh pengalaman? Selain itu ada juga graduan yang
berkebolehan mengajar bahasa Inggeris tidak juga diambil, malah ada dalam
kalangan mereka ini berterusan menganggur. Kenapa pula perkara demikian boleh
berlaku?
Persoalan juga timbul apa sebenarnya yang kita mahu dengan
anak-anak lepasan sekolah kita? Sekiranya murid-murid itu dikehendaki boleh
memaham, menulis dan khususnya bertutur bahasa Inggeris dengan baik tentunya
bukanlah diajar oleh guru dari India.
Kalaupun benar kita mengalami kekurangan guru mahir untuk
mengajar bahasa Inggeris, apakah guru bahasa Inggeris yang sudah bersara tidak boleh diambil kembali
sebagai guru kontrak?
Penulis ialah Felo Kanan di UKM
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan